“Portal Berita adalah perniagaan yang kami harus elak!” kata pengurus sebuah bank maha kaya di Malaysia ketika ditanya syarat dan terma memohon pembiayaan.
Jawapan dia terus mematikan kata-kata. Dokumen kontrak sah yang dibawa, tidak jadi diletak atas meja.
Bahasa pengurus bank maha kaya itu mengisyaratkan `to stop asking’. Tak perlu tunjuk apa-apa sudah. Bank maha kaya tidak layan perniagaan portal berita!
Kelaziman bagi syarikat sendirian berhad baharu bermula ialah aliran tunai. Kontrak bernilai RM1 juta, RM10 juta setahun tetapi syarat pembayaran ialah paling cepat 3 bulan. Ada yang 9 bulan progress payment.
Ini menyebabkan wujud isu aliran tunai yang mencengkam. Bukan hendak minta duit saja-saja.
Sebagai portal berita yang melaporkan usaha-usaha kerajaan membantu syarikat kecil dan sederhana dengan menyediakan pembiayaan `mudah’ menerusi bank-bank, jawapan pengurus bank maha kaya itu benar-benar menusuk menikam perasaan.
Serta-merta teringat ucapan Presiden dan CEO bank maha kaya itu bahawa bank pimpinannya sentiasa prihatin dan akan membantu usahawan kecil. Hmmm.... itu semua skrip golongan maha kaya semata-mata.
Pengalaman perit cuba memohon pembiayaan di bank maha kaya itu menjadi penyedar bahawa:
a) berniaga portal berita `must be avoided’ oleh bank
b) ada collateral, ada kontrak sah berjuta ringgit pun tidak laku
c) konon prihatin kepada usahawan kecil, semua skrip propaganda Komunikasi Korporat mereka semata-mata
d) kalau masih juga nak berniaga portal berita, carilah tauke ada cash berkoyan-koyan supaya tak perlu meminta sedekah simpati kepada bank maha kaya
e) berhenti siar berita puji puja keuntungan bank maha kaya yang tak tolong usahawan kecil
Kejadian memilukan di bank maha kaya ini berlaku tahun lepas. Sengaja tunggu kemarahan dan kekesalan reda baharu menceritakannya supaya artikel ini kekal objektif dan menurunkan suhu emosi.
Artikel ini hanya ditulis sempena kejayaan Dewan Rakyat pada 26 Feb lepas meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Media Malaysia 2024, yang antara lain bertujuan menjamin kebebasan media dalam memastikan masyarakat mendapat informasi sahih, berintegriti dan adil.
ARTIKEL BERKAITAN: Industri Media cipta lembaran baharu, Dewan Rakyat lulus RUU Majlis Media Malaysia 2024
Apa kaitan cerita nak pinjam duit bank dengan Rang Undang-Undang ini? Apa tiada kaitannya? `Survival’.
Kesinambungan hidup pengamal media hendaklah juga menjadi agenda utama Majlis Media Malaysia. Bukan minta subsidi atau geran. Hanya minta bank permudahkan capaian ke atas aliran tunai!
"Kompeni Media Kecik"
Ada organisasi media bukan arus perdana yang memang bergantung hidup kepada kontrak kerajaan, ada yang bernasib baik dapat juga kontrak syarikat-syarikat swasta. Ini terserah kepada keupayaan masing-masing memperoleh keyakinan pelanggan untuk datang kepada mereka.
Acapkali, pelanggan atau `media-buyer’ tidak membayar up-front. Biasanya progress payment. Kerajaan lagi ketat. Boleh saja. Apa saja mode of payment kita akur dan terima.

Organisasi media bukan arus perdana, ada yang dibiayai oleh taikun. Ada yang diurus baik dan ia terserlah kepada mutu pemberitaan.
Matematiknya mudah. Wartawan dibayar gaji baik, syarikat ditadbir urus cekap pasti menjadikan mutu berita juga baik.
Ada organisasi media dikendali secara sendirian berhad tanpa ada financier berstatus taikun. Berbekalkan pengalaman lebih tiga dekad dan pernah menjadi editor kanan, beberapa portal berita berdiri hari ini dalam industri media negara.
Mereka ini mahir menulis, arif strategi media, faham sepak terajang politik negara dan selalunya cermat dalam menyiarkan berita. Ringkasnya, mereka adalah well trained journalists kalau tidak pun, seasoned journalists. Mereka ini kian menjadi spesies terancam sama ada sudah bersara, sakit teruk atau meninggal dunia.
Dan masalah kronik yang dihadapi sendirian berhad ialah aliran tunai. Kontrak ada. Jualan ada. Tapi sebab bina sahsiah diri lebih sebagai wartawan, bukan ahli perniagaan... banyaklah selok-belok perniagaan harus dipelajari pantas. Kena reject bank pun satu pelajaran.
Ada juga dikesan beberapa portal berita yang ditubuhkan BUKAN daripada kalangan yang ada bimbingan rasmi kewartawanan. Asalkan boleh menulis sikit, pernah menulis di Meta... matlamat utama dapat LIKE berjuta-juta. VIRAL meluas hingga ke benua Antartika. Mereka juga dilabel sebagai Geng Jack Sparrow.

Tidak apa. Pandailah mereka survive walaupun prinsip kewartawanan mereka tidak kita ketahui di tahap mana.
Lakukah isu ini hendak diambil pusing oleh Majlis Media Malaysia nanti?
Bukankah mereka akan lebih fokus kepada isu kebebasan media Malaysia? Bukankah isu media Malaysia dikawal kerajaan lebih penting?
Anda sendiri fikirlah. Semua hujah sudah dibentangkan di atas.
Jika isu kesinambungan hidup ini tidak menjadi antara agenda utama Majlis Media Malaysia, nanti dikhuatiri ahli-ahli media yang ada pun golongan media maha kaya sahaja yang tinggal. Yang kecil dan sederhana tidak kekal lama atau lebih sulit, bergerak secara gerila.
Majlis Media Malaysia boleh menegur secara berkesan bank-bank maha kaya yang mengklasifikasikan `news portal as a segment we must avoid’ dan menghentikan diskriminasi ke atas usahawan kecil portal berita bonafide. - DagangNews.com
Johardy Ibrahim adalah Editor DagangNews.com yang pernah berkhidmat di Utusan Malaysia, Bernama, TVS dan The People's Mirror dalam kerjaya lebih 32 tahun sebagai wartawan. Merrepak adalah kolum pojok beliau - pertama kali diperkenalkan di Mingguan Malaysia pada 2009 yang menyentuh apa sahaja isu mencuit jiwa minda seminggu ini atau yang menyebabkannya mendengar lagu SEJUTA WAJAH oleh SWEET CHARITY berulang-ulang kali.








