Mercury Securities nilai harga sasaran NationGate pada 61 sen  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Mercury Securities nilai harga sasaran NationGate pada 61 sen 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 13 Dis - Mercury Securities Sdn. Bhd. memberi harga sasaran pada 61 sen terhadap pembekal perkhidmatan pembuatan elektronik sehenti (EMS), NationGate Holdings Bhd., yang akan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia. 

 

Saranan itu adalah berdasarkan kepada pendapatan sesaham (EPS) bagi tahun kewangan 2023 (FY23) sebanyak 3.8 sen dan harga perusahaan 16 kali sejajar dengan purata pemain industri lain. 

 

Menurut firma itu, harga sasaran itu mewakili pulangan sebanyak 60.5% daripada harga tawaran awam permulaan (IPO). 

 

"Kami menyukai saham ini kerana ia menawarkan prospek pertumbuhan yang menarik dan berada dalam kedudukan yang baik untuk meraih manfaat daripada pertumbuhan industri perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS).

 

"Sektor itu seperti diunjur Protege akan berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) sebanyak 10.5% bagi tempoh 2022 hingga 2027," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

NationGate ialah pusat sehenti EMS, mampu menyediakan pelbagai perkhidmatan seperti pemasangan papan litar bercetak (PCB), pemasangan akhir dan perkhidmatan nilai tambah yang menyokong aktiviti pemasangan dan ujian seperti pengacuan suntikan plastik berketepatan tinggi, prototaip untuk kebolehkilangan, pengurusan rantaian bekalan dan perkhidmatan pembungkusan.

 

Syarikat itu mempunyai keupayaan teknikal yang kukuh, dapat memberi perkhidmatan kepada kumpulan pelanggan yang pelbagai daripada industri termasuk telekomunikasi, pengkomputeran data, elektronik pengguna, automotif, instrumen perindustrian dan semikonduktor.

 

Dalam pelancaran prospektus syarikat sempena penyenaraiannya, NationGate dijangka meraih dana RM165.5 juta menerusi IPO dengan 29.2% (RM48.4 juta) daripada hasil itu akan digunakan untuk keperluan modal kerja bagi membeli pelbagai bahan mentah, bahan guna habis dan komponen elektronik yang digunakan untuk aktiviti EMS.

 

Sebanyak RM5.9 juta (3.6%) akan digunakan untuk membeli jentera dan peralatan tambahan untuk mengembangkan kapasiti pemasangan teknologi peletakan permukaan (SMT) sehingga 38.4 juta titik pelekap kepada maksimum 1.3 bilion titik lekap sebulan dan meningkatkan kecekapan pengeluarannya di Loji 5, selaras dengan peningkatan permintaan daripada pelanggan sedia ada dan baharunya.

 

Menurut Mercury Securities, syarikat mahu mengembangkan perniagaan EMS dengan menambah barisan pemasangan SMT untuk perkhidmatan pemasangan papan litar bercetak (PCBA).

 

Katanya, penambahan mesin dan peralatan itu akan meningkatkan kecekapan EMS dan pengeluaran daripada 1.2 bilion kepada maksimum 1.3 bilion titik lekap setiap bulan.

 

"Pembelian jentera ini juga akan membolehkan syarikat memenuhi lebih ramai pelanggan baharu pada masa hadapan," katanya.

 

Setakat 14 November 2022, NationGate mempunyai kapasiti pengeluaran bulanan untuk perkhidmatan SMT sehingga 1.257 bilion titik lekap setiap bulan.

 

Di bawah penyenaraian itu, syarikat itu akan menerbitkan terbitan awam sebanyak 435.5 juta saham baharu mewakili 21% daripada modal saham yang diperbesarkan. - DagangNews.com