KUALA LUMPUR 25 Mei - MCIS Life Malaysia Women Marathon (MWM) bermula sedekad lalu dengan matlamat menggalakkan wanita meraikan Hari Wanita Antarabangsa melalui sukan, kerana gaya hidup aktif secara fizikal boleh mewujudkan minda dan harga diri yang lebih sihat untuk memperkasakan wanita.
Kini, acara yang memberi lebih perhatian dalam menjalani gaya hidup holistik selain mendidik orang ramai tentang kesaksamaan jantina serta hak wanita.
Pengasas MCIS Life MWM, Karen Loh berkata, selama bertahun-tahun acara tersebut telah memberikan tujuan yang lebih besar untuk mendidik orang ramai tentang kesaksamaan jantina.
"Ia juga memberi lebih perhatian untuk menjalani gaya hidup holistik serta mengambil langkah berjaga-jaga yang perlu untuk menguruskan penyakit yang boleh dicegah melalui pemeriksaan awal.
“Tahun ini, larian fizikal akan diadakan di Selangor, Perak dan Johor dengan kelainan kerana kami membolehkan 500 pelari pertama menerima saringan kanser secara percuma hasil kerjasama strategik kami dengan National Cancer Society Malaysia,” katanya.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah MCIS Life, Prasheem Seebran, secara tradisi pihaknya menandakan Hari Wanita Antarabangsa dengan melancarkan larian yang meraikan kepentingan kesihatan yang baik, gaya hidup yang seimbang dan menghormati wanita atas pencapaian sepanjang hayat mereka.
Selain itu, buat pertama kalinya tahun ini, MCIS Life MWM 2022 membenarkan lelaki bertanding dalam larian tradisional wanita sahaja ini dalam edisi akan datang.

Keputusan itu dibuat untuk memupuk keterangkuman, dan juga untuk menggalakkan lelaki menunjukkan sokongan mereka terhadap hak wanita dan kesaksamaan jantina.
MCIS Life MWM 2022 adalah larian fizikal pertama yang diadakan sejak sekatan pandemik bermula pada 2020 yang menawarkan hadiah wang tunai untuk para pemenang.
Maraton penuh itu akan disiapkan melalui dua gelung sejauh 21km di sekitar Petaling Jaya, yang bermula dan berakhir di Padang Timur.

Marathon itu menampilkan kategori Marathon Penuh (42km), Half Marathon (21km) dan 10km, serta larian maya, yang terbuka kepada peserta tanpa had, bagi mereka yang memilih untuk tidak menghadiri komponen fizikal.
Selepas siri PJ pada 29 Mei 2022, MCIS Life MWM 2022 akan berlangsung di Ipoh pada 31 Julai, diikuti Iskandar Puteri, Johor pada 2 Oktober.

Yuran pendaftaran untuk acara fizikal tersebut adalah antara RM50 dan RM60. Untuk butiran lanjut, orang ramai boleh melayari MalaysiaWomenMarathon di Facebook. - DagangNews.com








