Maxis eKelas iktiraf pelajar ‘penjelajah angkasa’ paling inovatif dalam pertandingan STEM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Maxis eKelas iktiraf pelajar ‘penjelajah angkasa’ paling inovatif dalam pertandingan STEM

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 18 April - Maxis telah mengumumkan pemenang pertandingan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) pertama di seluruh negara, iaitu Misi Jelajah Digital. 

 

Seramai empat pemenang hadiah utama dan 83 pemenang di seluruh negara telah dianugerahkan hadiah menarik yang terdiri daripada komputer riba, gajet dan produk digital.

 

Dalam tempoh pertandingan, pencabar muda turut menerima sokongan menyeluruh dengan modul pembelajaran, demonstrasi, dan sesi perkongsian bersama pakar STEM, termasuk Prof Datuk Seri Dr Mazlan Othman yang juga ahli astrofizik pertama Malaysia yang memberi ceramah khas dan merasmikan pertandingan, termasuk pakar dari Maxis dan Lenovo.

 

Ketua Pegawai Hal Ehwal Korporat Maxis, Mariam Bevi Batcha berkata, syarikat mengucapkan tahniah kepada semua pemenang dan peserta yang telah menunjukkan kreativiti dan inovasi yang luar biasa dalam pertandingan itu.

 

"eKelas didorong oleh semangat pendidikan, dan kami ingin terus memupuk inovasi dan membantu pelajar meluaskan minda mereka melalui kandungan pembelajaran digital yang bertenaga dan menyeronokkan. 

 

"Pertandingan ini adalah platform yang hebat untuk memenuhi tujuan ini dan kami berharap untuk mempunyai lebih banyak inisiatif sedemikian pada tahun akan datang,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Sementara itu, pemenang hadiah utama, Arif Iskandar yang juga pelajar tingkatan 4 dari Sekolah Menengah Teknik Melaka mengucapkan terima kasih kepada eKelas kerana menganjurkan pertandingan dan cabaran yang membuat dia teruja untuk menang.

 

"Bahagian paling menyeronokkan mengenai cabaran ini ialah ia membolehkan saya mencipta rumah, perbandaran dan pulau berdasarkan budaya Melayu kita yang unik," katanya.

 

 

maxis

 

 

Dilancarkan pada September 2021 untuk pelajar berumur 10 hingga 17 tahun, pertandingan yang julung kali diadakan itu adalah sebahagian daripada eKelas, program jangkauan komuniti unggul Maxis. 

 

Ia bertujuan untuk memupuk pemikiran kritis dalam kalangan pelajar dan menggalakkan mereka untuk berinovasi melalui kemahiran pemikiran pengekodan, kreatif dan reka bentuk, yang semakin menjadi komoditi baharu dalam masa hadapan digital. 

 

 

maxis

 

 

Kempen itu menarik hampir 5,000 pendaftaran baharu ke eKelas dalam tempoh tiga bulan. Mereka yang mendaftar turut menerima kepujian Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK).

 

Untuk maklumat lanjut mengenai eKelas, layari www.ekelas.com.my - DagangNews.com