KUALA LUMPUR 12 Dis - Maxis mengumumkan sebagai syarikat telekomunikasi pertama untuk mewujudkan seni bina rangkaian Teras Serantau di Kuching dan Kota Kinabalu dengan salinghubungan kandungan antarabangsa secara langsung.
Ia membolehkan kapasiti trafik pengguna mudah alih yang lebih besar di wilayah itu, memberikan pengalaman pengguna lebih baik dengan kelajuan lebih tinggi terutamanya aktiviti berkaitan video.
Rangkaian teras ialah bahagian tengah rangkaian mudah alih keseluruhan yang membolehkan pelanggan mendapat akses kepada perkhidmatan yang mereka perlukan.
Ia bertanggungjawab untuk fungsi kritikal seperti pengesahan perkhidmatan dan pemindahan perkhidmatan Internet pada kelajuan tinggi ke dan dari serata dunia.
Purata penggunaan data mudah alih bulanan pengguna Maxis di Sabah dan Sarawak adalah lebih tinggi daripada purata nasional, dengan 32 gigabait (GB) setiap pengguna dan pertumbuhan konsisten suku ke suku tahun.
Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Goh Seow Eng berkata, mereka gembira melihat hasil prestasi rangkaian terkemuka industri daripada pelayan baharu itu.
“Teras serantau baharu kami ialah pelaburan penting untuk meningkatkan pengalaman Internet pelanggan kami dan akan memenuhi volum data yang tinggi serta pertumbuhan yang dijangkakan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sepanjang tempoh penilaian selama tiga bulan, pelayan teras yang dilancarkan di Kuching dan Kota Kinabalu menghasilkan peningkatan ketara pada kependaman internet dan kelajuan keseluruhan untuk pengguna di kedua-dua negeri, terutamanya penstriman video serta permainan mudah alih.
Di Sarawak, kependaman bertambah baik daripada 48 milisaat (ms) kepada 23 ms manakala kelajuan muat turun meningkat daripada 31 Mbps kepada 43 Mbps.
Begitu juga di Sabah, kependaman ialah 25 ms berbanding 53 ms, dan kelajuan muat turun melonjak daripada 25 Mbps kepada 40 Mbps.
Maxis memperoleh persetujuan daripada banyak penyedia kandungan antarabangsa popular untuk memasang pelayan mereka di pusat data Malaysia Timur Maxis untuk capaian kandungan terus, menghasilkan peningkatan dramatik dalam muat naik dan muat turun tapak web mereka.
Maxis juga telah meningkatkan persediaan dan proses operasinya untuk mengurus teras serantau baharu, dengan pasukan sokongan medan berdedikasi disediakan serta pengurusan prestasi dan papan pemuka untuk memantau trafik mudah alih. - DagangNews.com








