SERDANG 18 Ogos - Persatuan Sains dan Teknologi Keadaan Pepejal Malaysia (MASS) Chapter dengan kerjasama Jabatan Fizik, Fakulti Sains Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan The International Materials Technology Challenge (ICTC) dan The International Materials Technology Challenge (iMTC) 8.0 bagi mencungkil bakat dalam bidang inovasi yang dianjurkan di kampus induk UPM.
The International Materials Technology Challenge (iMTC) 8.0 disertai oleh para pelajar universiti dan ahli akademik manakala ICTC 1.0 pula memberi peluang kepada para peserta dalam kalangan pelajar sekolah untuk mempamerkan projek inovasi mereka.
Menurut pengarah program, Ts. Dr. Muhamammad Kashfi Shabdin, para pelajar sekolah ini menghasilkan buah fikiran inovatif dan kreatif dalam penyelidikan yang dijalankan.
"Antara projek-projek menarik yang dicipta oleh pelajar sekolah ini adalah penghasilan kanta daripada botol plastik bersesuaian dengan kelestarian alam sekitar bagi mengatasi isu perubahan iklim yang kian menjadi kegusaran utama manusia pada zaman sekarang.

"Pertemuan antara para peserta yang terdiri daripada pakar mahupun pemula dari segenap bidang memberikan platform perkongsian idea dan perspektif baharu dalam usaha mengembangkan projek ke arah hasil yang praktikal dan boleh dipasarkan.
"Selain itu, matlamat program yakni untuk memberi pengiktirafan kepada mereka yang telah mencapai kecemerlangan dalam bidang penyelidikan masing-masing telah tercapai," katanya.
Pertandingan ICTC yang dikhususkan kepada pelajar sekolah ini julung kalinya dianjurkan bertema "Materials for Innovation Enhancement" manakala iMTC 8.0 bertema 'Materials Beyond Borders".
Beliau berkata, program sebegini dilihat mampu mencetus buah fikiran inovatif dan kreatif dalam kalangan peserta seterusnya bakal mencorakkan masa hadapan penyelidikan sains dan teknologi bahan.
"Selain itu, ia juga diharapkan berjaya menginspirasikan generasi baharu untuk menceburi bidang STEM demi mencapai wawasan negara saintifik yang bukan sahaja menggunakan, tetapi juga menjana teknologi maju. - DagangNews.com








