Masalah pekerja asing masih 'kabur', Public Investment jangka harga MSM kekal tinggi 1H sekitar RM5,000 satu tan metrik | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Masalah pekerja asing masih 'kabur', Public Investment jangka harga MSM kekal tinggi 1H sekitar RM5,000 satu tan metrik

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 18 Feb - Harga minyak sawit mentah (MSM) diunjur berlegar pada paras tinggi dalam tempoh 5 bulan pertama 2022 sekitar RM5,000 satu tan metrik setelah niaga hadapan minyak sawit berakhir setinggi RM6,000 satu tan metrik dalam penutupan semalam buat kali pertama, yang menyaksikan pusingan 'super-cycle' yang tidak pernah berlaku sebelum ini, demikian menurut Public Investment Bank Research. 

 

Setakat 9.36 pagi ini pula, harga MSM bagi Mac 2022 meningkat RM75 kepada RM6,042 satu tan metrik selepas harga komoditi itu diniagakan antara RM6,000 hingga RM6,054. 

 

Penganalisisnya, Chong Hoe Leong menjangkakan harga MSM kekal kukuh bagi tempoh separuh pertama 2022 (1H) berikutan bekalan minyak sayuran yang ketat dan kekangan bekalan yang dihadapi 2 pengeluar utama dunia.

 

Bagaimanapun, katanya, harga MSM akan kembali perlahan pada separuh kedua sekitar RM4,000 satu tan metrik apabila pengeluaran kembali pulih. 

 

"Susulan harga MSM yang lebih kukuh berbanding jangkaan, kami menyemak semula unjuran MSM bagi 2022 kepada RM4,300 satu tan metrik berbanding RM3,500 sebelum ini manakala bagi 2023 pula, ia disemak naik kepada RM3,800.

 

"Kami berpendapat, harga MSM akan kekal tinggi pada separuh pertama, dan selepas itu, kembali perlahan kerana kami menjangkakan pengeluaran meningkat apabila pekerja asing mula pulang ke Malaysia. 

 

"Dengan kembalinya pekerja asing ini, boleh memainkan peranan dalam inventori kerana isu kekurangan pekerja yang berpanjangan boleh terus mengheret pengeluaran di Malaysia," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

 

sawit

 

 

Kerajaan Malaysia sebelum ini bersetuju untuk membawa masuk 32,000 pekerja asing dalam sektor perladangan bagi mengurangkan masalah kekurangan pekerja. 

 

Bagaimanapun, semakan yang dijalankan Public Investment mendapati tiada tanda-tanda kemasukan pekerja asing ini, malah tiada sebarang memorandum persefahaman ditandatangani sehingga kini susulan rundingan kerajaan kepada kerajaan. 

 

Pada 24 Januari lalu, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, Malaysia dan Indonesia bersetuju, kemasukan kumpulan pertama pekerja atau Perkhidmatan Domestik Indonesia (PDI) dilaksanakan seminggu selepas memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani pada 7 dan 8 Februari nanti.

 

Sebagai permulaan melalui projek rintis, ia akan membabitkan pengambilan sejumlah 10,000 PDI.

 

Pemeteraian MoU PDI perlu dilaksanakan segera kerana Indonesia hanya akan membenarkan kemasukan Tenaga Kerja Indonesia (TKI) ke Malaysia bagi sektor perladangan selepas MoU PDI dimuktamadkan.

 

Bagaimanapun, menurut Hoe Leong, terdapat beberapa laporan menunjukkan berlakunya isu teknikal antaranya membabitkan dasar gaji minimum, kos berkaitan, prosedur standard operasi baharu dan isu berkenaan visa.

 

"Terdapat kira-kira 5.8 hektar kawasan perladangan di Malaysia dengan nisbah 1 pekerja kepada 8 hektar, yang bermakna sektor yang bergantung kepada buruh ini memerlukan 725,000 pekerja. 

 

"Tidak ada sebarang pengambilan dibuat sejak Mac 2020 dan kami menganggarkan kekurangan semasa akan meningkat kepada paras 90,000 hingga 100,000," jelasnya. 

 

 

sawit

 

 

Dalam pada itu, beliau berkata, pelaksanaan dasar baharu di Indonesia yang mengenakan mandatori kepada pengeluar tempatan untuk menjual 20% daripada pengeluaran kepada pasaran domestik pada harga tetap, semakin menambah kekangan dalam bekalan minyak sawit global.

 

Situasi ini, katanya, akan menjejaskan lagi bekalan yang sudah terkesan akibat kurangnya aktiviti penanaman baharu sejak akhir-akkhir ini.

 

"Paras inventori Malaysia juga dijangka terus kekal ketat (ketika ini berada pada paras 1.61 juta tan metrik) dalam tempoh terdekat, terutama disebabkan tempoh pengeluaran yang rendah pada separuh pertama dan permintaan tinggi menjelang Ramadan," katanya. 

 

Mengenai elaksanaan gaji minimum akhir tahun ini, beliau berkata, ia tidak memberi kesan ketara kepada sektor minyak sawit.

 

Ini kerana katanya, 75% daripada pekerja sektor tersebut sudah menikmati gaji melebihi paras minimum yang dicadangkan kerajaan sebanyak RM1,500. 

 

"Kos buruh kebiasaannya merangkumi kira-kira 20 hingga 30% daripada jumlah kos operasi. Tetapi, kami menjangkakan kenaikan hanya 5 hingga 7% dari segi kos buruh sebaik sahaja gaji minimum dilaksanakan," tambahnya.

 

 

sawit

 

 

Secara keseluruhan, Public Investment menyemak naik penarafan sektor perladangan kepada 'overweight' berbanding 'neutral' sebelum ini. 

 

"Kami beralih kepada pandangan kukuh terhadap sektor ini kerana kami menjangkakan trajektori pendapatan yang kukuh bagi syarikat-syarikat perladangan," katanya.

 

Firma itu mengunjurkan pendapatan sesaham (EPS) yang lebih tinggi bagi tahun kewangan 2022 (FY22) hingga FY24 sebanyak 25 hingga 65% bagi syarikat perladangan di bawah liputannya berikutan semakan harga MSM yang lebih tinggi.

 

Pilihan utamanya adalah pemain huluan Malaysia iaitu Sarawak Plantation Bhd. dan Ta Ann Holdings Bhd. memandangkan harga MSM mereka yang direkodkan lebih mencerminkan harga semasa di Malaysia kerana tidak tertakluk kepada pengurangan yang mendadak di Indonesia dan majoriti jualan MSM mereka berdasarkan harga spot.

 

Ini membolehkan Public Investment memberi saranan 'outperform' terhadap Sarawak Plantation dan Ta Ann dengan harga sasaran masing-masing lebih tinggi pada RM4.27 dan RM5.96. - DagangNews.com