KUALA LUMPUR 7 April - Hong Leong Investment Bank Research mengunjurkan Kuala Lumpur Kepong Bhd. (KLK) akan merekodkan pengeluaran buah tandan segar (BTS) sebanyak 4.75 juta tan metrik bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2022 (FY22).
Unjuran itu bagaimanapun lebih rendah berbanding sasaran ditetapkan kumpulan sebanyak 5.9 juta tan metrik bagi tempoh tersebut.
Menurutnya, masalah buruh yang belum diselesaikan merupakan antara faktor utama yang akan menyukarkan KLK mencapai sasaran pengeluaran BTS bagi tahun ini.
"Pada masa sama, kami dapati pengeluaran BTS hanya berkembang 28.4% kepada 1.98 juta tan metrik dalam tempoh 5 bulan pertama FY22.
"Ini menunjukkan pengeluaran bulanan hanya berkembang 70% tahun ke tahun bagi baki lagi 7 bulan tahun kewangan," katanya dalam nota kajian hari ini.
Dalam taklimat secara maya bersama KLK baru-baru ini, kumpulan menyasarkan untuk mencapai pertumbuhan pengeluaran BTS sebanyak 5.9 juta tan metrik bagi FY22, meningkat 53.3% daripada 3.85 juta tan metrik pada FY21.
Sasaran itu terutamanya akan dipacu menerusi sumbangan pengeluaran BTS daripada pengambilalihan ladang IJM Plantations (dijangka menyumbang 20% kepada BTS kumpulan).
Ia juga didorong dengan penambahan kawasan penuaian kira-kira 8 hingga 10,000 hektar yang akan matang dan pemulihan hasil (dengan menganggap masalah buruh dapat dikurangkan).
Firma itu juga mendapati KLK baru-baru ini memperoleh sebahagian besar keperluan bajanya untuk separuh kedua FY22 pada harga yang lebih tinggi secara mendadak (50% daripada FY21).
Katanya, ini akan menyebabkan kos pengeluaran FY22 meningkat antara 20% hingga 25% kepada RM1,800 hingga 1,900 satu tan metrik.
"Kenaikan gaji minimum yang diumumkan baru-baru ini, sebaliknya, hanya memberi impak kecil kepada kos pengeluaran MSM bagi FY22 (kira-kira RM25 satu tan, berdasarkan anggaran kami)," katanya.
HLIB berkata, sinergi kos daripada pengambilalihan IJM Plantation pula hanya akan dicapai dalam jangka masa panjang, memandangkan ia perlu memulihkan kawasan ladang brownfield.
Oleh itu, setakat ini, ia mengekalkan anggaran harga minyak sawit mentah (MSM) bagi FY22-FY24 masing-masing pada RM3,742, RM3,256 dan RM3,097 satu tan metrik.
"Berdasarkan anggaran kami, setiap kenaikan RM100 satu tan dalam anggaran MSM kami akan menyaksikan untung bersih teras KLK mengalami perubahan antara 3% hingga 4% bagi FY22-FY24," tambahnya.
Firma tersebut bagaimanapun mengekalkan saranan 'beli' terhadap KLK dengan harga sasaran RM32.43 sesaham.
Setakat 10.35 pagi ini, harga sahamnya menokok 42 sen atau 1.57% kepada RM27.14 dengan 300,000 saham diniagakan. - DagangNews.com








