Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 3 Jan - Serba Dinamik Holdings Bhd boleh berada dalam kedudukan yang lebih baik jika penggantungan dagangan sekuritinya di Bursa Malaysia ditarik balik, menurut Minoriti Shareholders Watch Group (MSWG).
Menurut laporan New Straits Times, Ketua Pegawai Eksekutif MSWG, Devanesan Evanson berkata, Serba Dinamik telah digantung selama lebih dua bulan dan setakat ini, tidak banyak maklumat mengenai pemansuhan tersebut.
"Pemansuhan penggantungan itu akan membolehkan penemuan harga berlaku, di samping membolehkan pemegang saham minoriti membuat keputusan pelaburan termaklum," katanya kepada New Straits Times baru-baru ini.

Tambahnya, pemansuhan penggantungan itu boleh memberikan penyelesaian tepat pada masanya bagi kes mahkamah Serba Dinamik.
Penyedia perkhidmatan minyak dan gas bersepadu itu telah berada di bawah pengawasan kawal selia dan awam di tengah-tengah beberapa isu yang dibangkitkan oleh juruaudit luar KPMG ketika itu yang melibatkan akaunnya untuk tempoh 12 bulan berakhir 31 Disember 2020.
Serba Dinamik kali terakhir didagangkan pada 35 sen, memberikannya modal pasaran sebanyak RM1.31 bilion.
Bursa Malaysia telah mengarahkannya untuk mendedahkan penemuan semakan bebas khas ke atas akaun yang enggan dillakukan, dengan alasan Ernst & Young Consulting Sdn Bhd masih melaksanakan semakan.
Rabu lalu, Suruhanjaya Sekuriti (SC) mendakwa Ketua Pegawai Eksekutif Serba Dinamik Datuk Mohd Abdul Karim Abdullah di Mahkamah Sesyen di sini kerana didakwa memberikan penyata kewangan palsu kepada Bursa.
SC juga mendakwa Serba Dinamik, bersama Pengarah Eksekutifnya, Datuk Syed Nazim Syed Faisal, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Azhan Azmi dan Naib Presiden Akaun dan Kewangan, Muhammad Hafiz Othman berhubung dakwaan penyata palsu yang terkandung dalam laporan kewangannya bagi suku dan tahun berakhir pada 31 Disember 2020.
Kenyataan palsu yang didakwa itu adalah berhubung hasil sebanyak RM6.014 bilion dalam laporan suku tahunan. Mereka semua minta dibicarakan atas pertuduhan itu. -DagangNews.com


