Martabat BN sebagai wadah politik perlu dibangkitkan semula demi kegemilangan negara, bangsa - PM | DagangNews Skip to main content

Martabat BN sebagai wadah politik perlu dibangkitkan semula demi kegemilangan negara, bangsa - PM

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerima tepukan gemuruh dan sokongan padu daripada perwakilan BN yang hadir pada Konvensyen BN 2022 di WTCKL, hari ini. Gambar Twitter Ismail Sabri
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 1 Jun - Martabat Barisan Nasional (BN) sebagai wadah politik perlu dibangkitkan semula agar berupaya mengembalikan kegemilangan negara dan bangsa, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

 

Beliau berkata, BN adalah sebuah parti yang sarat dengan pengalaman dalam perjuangan politik tanah air sejak ditubuhkan pada 1 Januari 1973 dan memenangi setiap Pilihan Raya Umum (PRU) kecuali PRU-14.

 

Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO berkata, beliau menzahirkan penghargaan kepada kepimpinan UMNO dan BN kerana telah memberikan kepercayaan kepadanya sebagai Perdana Menteri bagi menerajui tampuk kepimpinan negara pada 21 Ogos 2021. 

 

"Terima kasih juga kepada semua parti kompenen kerana menyokong saya sebagai calon Perdana Menteri ke-10 bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), seperti mana yang telah diputuskan sebulat suara oleh Majlis Kerja Tertinggi UMNO dan direstui oleh semua parti kompenen BN.

 

"Amanah yang diberikan ini bukanlah mudah. Ia merupakan tanggungjawab yang berat. Bukan hanya untuk saya tetapi dipikul bersama anggota BN," katanya ketika berucap pada Konvensyen BN 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.

 

Ismail Sabri berkata, agenda Keluarga Malaysia yang beliau gagaskan adalah selari dengan konsep permuafakatan dan perkongsian kuasa BN, yang di dalamnya terdapat kepelbagaian agama, bangsa dan budaya. 

 

"Gandingan BN sebati dengan DNA Keluarga Malaysia. Konsep inilah yang menjamin kestabilan parti kita. Marilah kita terus bersama-sama memperkasakan Keluarga BN bagi menghadapi PRU-15.

 

 

pm

 

 

"Berdasarkan keputusan beberapa Pilihan Raya Kecil dan Pilihan Raya Negeri, jelas rakyat kembali memberi kepercayaan kepada BN. Ini membuktikan kita mampu menawarkan kestabilan politik, kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan negara," katanya.

 

Beliau berkata, walaupun rakyat sudah kembali kepada BN, parti tidak boleh berasa selesa kerana masih banyak yang perlu dilakukan untuk memenangi hati rakyat bagi menjamin kejayaan dalam PRU-15. 

 

 

pm

 

 

Tambah beliau, kekalahan PRU-14 adalah satu detik hitam yang memberi pengajaran paling bernilai kepada BN. 

 

 

pm

 

 

pm

 

 

"Tragedi pada tahun 2018 itu menyaksikan perubahan landskap politik negara. Buat pertama kali selepas lebih 60 tahun mentadbir, BN gagal mengekalkan kuasa.

 

"Demi memastikan mimpi buruk 22 bulan tidak berulang, kita wajib bekerja keras, bersiap siaga dan bersatu padu, dalam menghadapi PRU-15 yang akan tiba bila-bila masa dari sekarang bagi mengekalkan rentak kemenangan yang telah kita capai mutakhir ini," katanya. - DagangNews.com