MARC Ratings beri penarafan A+ dan A+IS bagi program sukuk RM5 bilion MBSB Bank | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MARC Ratings beri penarafan A+ dan A+IS bagi program sukuk RM5 bilion MBSB Bank

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 

KUALA LUMPUR 17 Jan -  Penganalisis Malaysian Rating Corp Bhd (MARC), MARC Ratings telah memberikan penarafan institusi kewangan (FI) A+ kepada MBSB Bank dan penarafan awal A+IS bagi program sukuk RM5 bilion yang dicadangkan oleh anak syarikat milik penuh Malaysia Building Society Bhd (MBSB) MBSB Bank Bhd (MBSB Bank).

 

Firma penarafan itu berkata, kekuatan MBSB Bank, khususnya dalam pembiayaan peribadi selain permodalan kukuhnya yang telah disokong dengan baik oleh pemegang sahamnya Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), merupakan faktor penarafan utama bagi MBSB Bank.

 

"Kami menjangkakan KWSP, sebagai pemegang saham utama MBSB dengan pegangan 65.4%, akan menyediakan sokongan mudah tunai kepada bank jika perlu.

 

 "Nisbah perlindungan mudah tunai bank kekal jauh melebihi keperluan Bank Negara Malaysia, iaitu pada 284.6% setakat ini,” kata MARC Ratings. 

 

MBSB Bank telah mencadangkan untuk menerbitkan bon atau sukuk Islam bernilai RM5 bilion di bawah prinsip wakalah bagi mengumpul wang bagi membiayai operasi penyedia perkhidmatan kewangan itu.

 

Menurut MARC Ratings, MBSB Bank telah ditubuhkan pada Februari 2018, hasil daripada pengambilalihan MBSB terhadap Asian Finance Bank (AFB), sebuah bank Islam sepenuhnya. 

 

Pada masa yang sama, aset patuh syariah MBSB bernilai RM41.2 bilion telah dipindahkan ke MBSB Bank, tambah MARC Ratings.

 

 "Pemerolehan AFB didorong terutamanya oleh keperluan untuk lesen perbankan Islam sejajar dengan rancangan kumpulan MBSB untuk menjadi Bank Islam sepenuhnya," kata MARC Ratings.

 

MBSB mencatatkan kerugian selepas cukai sebanyak RM104.58 juta pada 3Q21, penurunan daripada keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM403.41 juta pada 2Q21 disebabkan pelaksanaan semula langkah pembendungan COVID-19 yang ketat pada suku ketiga tahun itu. 

 

Kerugian pengusuaian tambahan sebanyak RM46.97 juta pada 3Q21 berbanding RM13.20 juta pada 2Q21 kerana anak syarikat utamanya, MBSB Bank Berhad meneruskan pemberian moratorium dan bantuan pembayaran balik kepada pelanggan di bawah pakej PEMULIH.  -DagangNews.com