MARA buka 1,500 peluang pekerjaan bidang kejuruteraan dan teknologi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MARA buka 1,500 peluang pekerjaan bidang kejuruteraan dan teknologi

KUALA LUMPUR 3 Ogos - Majlis Amanah Rakyat (MARA) mengambil inisiatif menyediakan lebih 1,500 peluang pekerjaan kepada graduan dalam bidang kejuruteraan dan teknologi pada Pameran Kerjaya anjurannya hari ini.

 

Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, peluang kerjaya itu ditawarkan MARA menerusi kerjasama Lembaga Pembangunan Industri Malaysia (MIDA) dan 10 syarikat swasta terkemuka.

 

"Penganjuran seminar dan pameran kerjaya ‘Career Crafting - Engineering & Technology’ ini adalah untuk memberi peluang penempatan pekerjaan sekali gus menyokong kepada kadar kebolehpasaran yang tinggi kepada graduan di bawah MARA.


 
"Syarikat ternama seperti Prasarana Malaysia Berhad, KPMG Malaysia, Micron Memory Malaysia Berhad, Perusahaan Otomobil Nasional (Proton), Genting Malaysia Berhad dan beberapa lagi turut serta menawarkan peluang pekerjaan yang bersesuaian dengan tahap pendidikan graduan," katanya.

 

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Penutup Seminar dan Pameran Kerjaya Bidang Kejuruteraan & Teknologi di sini hari ini.

 

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Che Murad Sayang Ramjan; Ketua Pengarah MARA, Datuk Azhar Abdul Manaf dan Pengarah Eksekutif MIDA (Fasiliti Pelaburan) Jasbir Kaur.

 

Mahdzir berkata, sejumlah 1,200 graduan dan pelajar telah mendapat padanan kerjaya masing-masing sepanjang dua hari penganjuran program tersebut.

 

 

mahdzir

 

 

mahdzir

 

 

Manakala keseluruhannya kira-kira 3,000 pelajar dan graduan MARA hadir untuk mencari padanan kerjaya mereka.

 

"Anjuran program seperti ini adalah selaras dengan usaha kerajaan dalam mengurangkan kadar pengangguran graduan Bumiputera dengan mengurangkan masalah ketidakpadanan bidang pengajian dan skop kerja dalam industri.

 

 

mahdzir

 

 

"Tahun lalu, kebolehpasaran graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan profesional yang dilahirkan MARA mencapai 94%, sekali gus membuktikan mereka mempunyai kemahiran asas yang tinggi, cekap dan sentiasa memenuhi kehendak industri," katanya.


 
Jelasnya, penganjuran program padanan kerjaya MARA itu juga sebagai sebahagian Agenda Keluarga Malaysia di bawah Inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia yang dilancarkan bulan lalu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.


 
MARA katanya, memberi tumpuan kepada tiga program utama iaitu Inisiatif Pengajian, Latihan dan Penempatan (MySTEP) serta Program Latihan dan Peningkatan Kemahiran (Upskill Malaysia).

 

 

mahdzir
Datuk Seri Mahdzir Khalid


 
"Kerajaan sentiasa komited untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada graduan dan saya percaya usaha berterusan MARA akan memastikan graduan Bumiputera tidak tercicir dan mendapat pekerjaan mengikut bidang berdasarkan kelayakan. 

 

"Selain itu, ia juga akan membantu mengurangkan isu ketidakpadanan antara bekalan buruh dengan permintaan tenaga kerja di pasaran,” kata Mahdzir. - DagangNews.com