Malaysian Genomics Resource kembali untung Q2, catat hasil lebih tinggi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malaysian Genomics Resource kembali untung Q2, catat hasil lebih tinggi

KUALA LUMPUR 16 Feb - Malaysian Genomics Resource Centre Bhd. merekodkan prestasi kewangan yang lebih bagi suku kedua berakhir 31 Disember 2021 apabila perolehannya meningkat kepada RM7.49 juta berbanding RM140,000 bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Peningkatan itu adalah menerusi segmen biofarmaseutikal kumpulan, yang menyumbang 78% daripada keseluruhan perolehan dan kebanyakannya hasil pengedaran immuniterapi dan terapi sel serta pengedaran dan pentadbiran vaksin COVID-19.

 

Ini menyaksikan pakar peneraju genom dan biofarmaseutikal itu mencatat keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM1.01 juta bagi suku tersebut berbanding kerugian RM1.55 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

 

Bagi tempoh 6 bulan berakhir 31 Disember 2021, kumpulan mencatat perolehan sebanyak RM16.94 juta daripada RM220,000 manakala PAT berjumlah RM1.25 juta berbanding kerugian RM2.39 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Pengarah Eksekutif MGRC, Datuk Alvin Nesakumar berkata, kemajuan besar dalam perolehan adalah disebabkan aliran perolehan baharu berikutan langkah kumpulan mempelbagaikan produk terutama ke sektor biofarmaseutikal pada akhir 2020.

 

Katanya, kumpulan turut kembali merekodkan keuntungan didorong oleh kejayaan meningkatkan margin lebih tinggi pengedaran immunoterapi dan terapi sel. 

 

"Prestasi kewangan kami bagi suku dikaji ini berjalan dengan positif dan kami yakin ia adalah cukup kukuh untuk kami mengatur semula status saham penyenaraian kami," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Dalam pada itu, MGRC turut mengumumkan pelantikan semula jawatan Noor Azri Azerai sebagai Pengarah Eksekutif daripada Pengarah Bebas sebelum ini berkuat kuasa 16 Februari 2022. 

 

Azri Azerai pada masa ini merupakan Pengarah Eksekutif Bintai Kinden Corp. Bhd. dan Pengarah Bebas Bukan Eksekutif di Serba Dinamik Holdings Bhd. dan NWP Holdings Bhd. 

 

Alvin mengalu-alukan Azri Azerai sebagai pengarah eksekutif dan berkongsi wawasan yang sama untuk masa hadapan MGRC sebagai syarikat peneraju perkhidmatan penjagaan kesihatan di rantau ini. 

 

"Beliau memiliki pengalaman di dalam membantu memulihkan prestasi kewangan Bintai Kinden kembali kepada keuntungan sejurus pelantikannya ke Lembaga Pengarah syarikat pada Julai 2021, susulan penjawatan semulanya sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif dalam tempoh setahun.

 

"Dengan ekonomi terus menunjukkan pemulihan, kami melihat peluang penting bagi perkongsian dan kerjasama komersial inovatif di dalam bidang genom dan biofarmaseutikal dan berharap untuk mengumumkan inisiatif baharu ini beberapa bulan akan datang," katanya. - DagangNews.com