Malaysia tersenarai dalam 5 negara terbaik Anugerah Gold Circle Agoda ke-14 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malaysia tersenarai dalam 5 negara terbaik Anugerah Gold Circle Agoda ke-14

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 13 Dis - Malaysia muncul dalam senarai 5 negara terbaik menerusi 174 premis penginapan bagi Anugerah Gold Circle Agoda (GCA) ke-14 anjuran platform percutian digital itu.

 

Dengan pembukaan semula pelancongan antarabangsa di seluruh dunia, anugerah itu telah dianugerahkan kepada lebih 2000 premis penginapan di 41 buah pasaran. 

 

Anugerah tahunan tersebut diberikan kepada premis penginapan yang berjaya membuktikan kecemerlangan dari segi nilai, harga, perkhidmatan dan fleksibiliti yang ditawarkan kepada tetamu.

 

Hotel-hotel ini telah bekerjasama secara proaktif dengan Agoda untuk sentiasa merebut peluang yang tersedia kepada para rakan niaga dan menetapkan tanda aras baharu bukan sahaja untuk mereka sendiri tetapi juga untuk industri. 

 

Naib Presiden Perkhidmatan Rakan Niaga Agoda, Liyana Jamil berkata, Anugerah Gold Circle telah memberi peluang kepada Agoda untuk mengiktiraf rakan niaga yang memajukan perkhidmatan dan hospitaliti.

 

"Anugerah Gold Circle juga meneruskan tradisi untuk membantu pasukan Agoda di seluruh dunia untuk menilai perubahan dinamik industri, menghasilkan produk dan perkhidmatan yang lebih baik, serta memacu amalan inovasi kami dengan lebih berkesan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Selain Malaysia, negara Thailand berjaya mengekalkan kedudukan teratas selama empat tahun berturut-turut, diikuti oleh Taiwan yang melonjak ke tempat kedua, dan Jepun di tempat ketiga. 

 

 

agoda

 

 

Sementara itu, India memasuki senarai 10 terbaik buat kali pertama manakala Korea Selatan, Amerika Syarikat, Indonesia, Filipina dan Vietnam mengekalkan kedudukan masing-masing dalam senarai sepuluh terbaik tersebut.

 

Selain itu, China mencatatkan jumlah premis penginapan tertinggi yang memenangi anugerah selama empat tahun berturut-turut, diikuti oleh Filipina, Thailand, Jepun, Taiwan, Maldives, Vietnam, Indonesia dan Korea Selatan. 

 

Para pemenang akan dipaparkan di laman khas Agoda (tersedia pada 1 Disember hingga 31 Disember 2022) dan menerima lencana digital Anugerah Gold Circle sebagai penghormatan, bersama-sama Agoda Growth Express (AGX), kredit khas untuk meningkatkan pemasaran di laman web tersebut. - DagangNews.com