Malaysia perlu segera lakukan transformasi ke arah ekonomi digital - Muhyiddin | DagangNews Skip to main content

Malaysia perlu segera lakukan transformasi ke arah ekonomi digital - Muhyiddin

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 Jan - Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Malaysia perlu melaksanakan proses transformasi ke arah ekonomi digital atau berdepan risiko ketinggalan kepada negara jiran yang lain.

 

Beliau berkata, sekiranya perubahan tidak dilakukan, pelabur akan mencari peluang di negara lain kerana suasana ekonomi sentiasa berada dalam keadaan dinamik dan sesiapa yang berjaya melihat gambaran lebih luas, mahu berubah bagi mengisi keperluan pasaran selain menyediakan tawaran menarik kepada pengguna akan sentiasa berada di atas.

 

Muhyiddin berkata, perniagaan yang bergerak seiringan dengan ekonomi digital adalah keperluan asas untuk bersaing terutama dalam dunia tanpa sempadan dan ia memerlukan keyakinan dalam usaha untuk mencapai sasaran yang tinggi.

 

"Saya pernah bercakap mengenai kesediaan dan keperluan untuk menyesuaikan diri, semuanya tidak akan berjaya sekiranya kita tidak memiliki sikap yang betul untuk berjaya.

 

"Jika dilihat kepada kisah kejayaan di zaman pandemik ini, meskipun berdepan pelbagai cabaran namun ada yang bergerak proaktif dalam mencari peluang untuk maju dan bersedia menghadapi perubahan selain tidak terlalu bergantung kepada kejayaan lalu demi mencipta kejayaan pada masa hadapan," katanya pada Forum Malaysian Economic and Strategic Outlook 2021, hari ini.

 

Pada masa sama, Muhyiddin memberitahu, keyakinan merupakan satu lagi kunci utama kepada kemajuan ekonomi dan krisis ekonomi yang melanda negara pada 2007 atau 1997 merupakan kesan daripada kurang keyakinan terhadap instisusi kewangan yang menyebabkan nilai ringgit menyusut dan perkara itu membuatkan pengguna takut untuk berbelanja selain kehilangan pelabur akibat risiko yang tidak diketahui.

 

muhyidin
Tan Sri Muhyiddin Yassin

 

Beliau berkata, situasi itu menimbulkan ketakutan, menyebabkan ramai individu mahu mengeluarkan kesemua simpanan mereka daripada bank dan tidak mahu berbelanja menyebabkan kitaran ekonomi terganggu secara keseluruhan.

 

"Dalam situasi itu meskipun ramai boleh menunding jari ke aara Adik-beradik Lehman atau penurunan nilai ringgit, namun punca sebenar kegagalan ekonomi adalah kita sendiri iaitu kurang keyakinan," katanya.

 

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan akan sentiasa memainkan peranan mereka dalam membina keyakinan menerusi perancangan projek pembangunan serta infrastruktur, mewujudkan pusat perniagaan yang boleh menghimpunkan usahawan kecil dan besar dalam suasana yang kondusif.

 

"Ini adalah sebab Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) diperkenalkan kerana ia dirancang oleh kerajaan untuk pembangunan dalam tempoh lima tahun.

 

"Menerusi kerangka kerja asas ini, lebih banyak projek akan dilaksanakan bukan hanya untuk tujuan pemulihan tetapi untuk memajukan negara pada masa akan datang.

 

"Percambahan idea baharu serta peluang perniagaan akan meningkat tahap keyakinan dan menjadi harapan saya untuk forum hari ini membantu meningkatkan keyakinan dengan menyediakan analisis mengenai pembangunan ekonomi negara selain penyediaan langkah-langkah berkaitan untuk mengukuhkan kedudukan Malaysia," katanya. - DagangNews.com