KUALA LUMPUR 13 April - Hasil tawaran awam permulaan (IPO) pada suku pertama 2022 menyaksikan Malaysia mendahului negara-negara ASEAN yang lain berikutan bursa dalam blok itu mencatatkan kemerosotan jumlah hasil tahun ke tahun sebanyak 57% dalam tempoh itu, menurut Ernst & Young (EY) dalam kenyataan hari ini.
Pasaran bursa ASEAN menyaksikan jumlah IPO yang lebih tinggi iaitu 29 IPO pada suku pertama 2022 berbanding 22 pada tahun sebelumnya, tetapi hasil merosot kepada AS$1 bilion daripada AS$2.4 bilion sebelum ini.
Pada suku tahun ini, Bursa Saham Indonesia (IDX) adalah yang paling aktif dengan jumlah urus niaga (12 IPO meraih AS$219 juta) manakala Bursa Malaysia mendahului dengan hasil (AS$362 juta melalui 5 IPO).
Hasil IPO ASEAN merosot dengan ketara disebabkan kekurangan IPO mega pada suku pertama 2022 berbanding satu IPO mega pada tahun lalu.
Bernama melaporkan, Rakan Pengurusan Ernst & Young LLP Singapura dan Brunei serta Ketua IPO EY ASEAN, Max Loh berkata, ketegangan geopolitik, situasi COVID-19 yang berterusan, masalah rantaian bekalan, dasar monetari yang ketat dan kos yang meningkat merupakan beberapa faktor yang menjejaskan aktiviti ekonomi dan IPO di ASEAN.
"Pasaran IPO kekal terbuka kepada syarikat pertumbuhan tinggi yang berkualiti, tetapi situasi tidak menentu dan jangkaan penilaian perlu diatasi sebelum aktiviti IPO meningkat," jelasnya.
Pada masa sama, pasaran IPO global turut menyaksikan prestasi yang lemah pada suku pertama 2022, dengan 321 urus niaga meraih hasil AS$54.4 bilion, masing-masing merosot 37% dan 51% tahun ke tahun.
Sebaliknya, rantau Asia Pasifik melepasi prestasi hasil IPO pada suku pertama 2021, apabila ia meraih hasil tertinggi pada suku pertama dalam tempoh 21 tahun dengan mencatatkan 188 IPO meraih AS$42.7 bilion (hasil naik 19%) pada suku tahun terbabit.
Rantau tersebut menyumbang 78% daripada hasil IPO global berikutan penyenaraian 4 IPO mega.
Sementara itu, Ketua IPO EY Global, Paul Go berkata, kemerosotan aktiviti IPO bukan sesuatu yang tidak dijangka jika dibandingkan dengan suku pertama 2021 berikutan suku tahun berkenaan adalah suku tahun yang paling aktif sejak 21 tahun lalu.
"Bagaimanapun, kejutan pasaran daripada ketegangan geopolitik dan kebimbangan ekonomi lain pada separuh kedua suku tahun berkenaan mewujudkan turun naik dan memberi impak kepada pasaran modal," katanya.
Menurutnya, pasaran IPO global akan terus turun naik pada suku kedua 2022 dalam persekitaran yang banyak ketidaktentuan, dengan tunggakan calon IPO, dan urus niaga akan terus meningkat.
"Dengan cabaran semasa yang wujud daripada ketegangan dan konflik geopolitik, inflasi dan kenaikan kadar faedah, adalah penting kepada syarikat yang terikat dengan IPO untuk melihat semula bagaimana cabaran ini akan memberi impak kepada pasaran, pelanggan dan pembekal mereka terhadap perniagaan mereka," katanya. - DagangNews.com








