KUALA LUMPUR 27 Jun - Walaupun Kesatuan Eropah (EU) menentang perdagangan minyak sawit sejak 2003, Malaysia berazam untuk memupuk hubungan baik dengan blok perdagangan itu demi penyelesaian menang-menang untuk industri sawit negara.
Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, ia sedang dilakukan melalui pelbagai platform, antaranya Kumpulan Kerja Bersama ASEAN-EU, program seminar atau webinar dan dialog serta perbincangan melalui misi promosi ekonomi dan minyak sawit di EU.
Jelasnya, Malaysia bertekad untuk terus menyalurkan pelbagai maklumat terkini mengenai industri minyak sawit khususnya aspek kesihatan serta pemakanan dan kemampanan, bagi menghapus tanggapan yang salah mengenai minyak sawit dan produk berkaitannya dalam kempen anti-minyak sawit di EU.
"Sejajar dengan usaha ini, dua inisiatif program perkongsian Malaysia-EU yang bertujuan untuk meningkatkan kelestarian perdagangan minyak sawit dan kerjasama di bawah Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) telah dilakukan kementerian.
"Di bawah inisiatif perkongsian Malaysia-EU, terdapat dua program yang penting iaitu projek Kelestarian Minyak Sawit Malaysia dan Indonesia, yang juga dikenali sebagai Keberlanjutan Sawit Malaysia dan Indonesia (KAMI) dan Inisiatif Kebangsaan Pekebun Kecil Kelapa Sawit Mampan dan Pintar Iklim (NI-SCOPS) dengan Belanda.
"Dalam inisiatif CPOPC, Malaysia bekerjasama rapat dengan Indonesia untuk menentang kempen anti-minyak sawit di peringkat global dengan pelbagai program untuk mengagalkan kempen anti-minyak sawit," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Zuraida, antara program penting di bawah CPOPC adalah misi bersama ke Eropah di bawah CPOPC dengan penyertaan Malaysia dan Indonesia untuk mengadakan perbincangan dan perundingan dengan EU dalam pengurusan isu berkaitan minyak sawit di Eropah.

Beliau berkata, program tersebut turut meliputi penyerahan surat bantahan secara bersama kepada negara/blok perdagangan yang mendiskriminasi minyak sawit iaitu EU.
"Selain itu, ia termasuk pelaksanaan program Advokasi EU, strategi komunikasi dan promosi di China, Pakistan, India dan Bangladesh serta kempen media sosial di kalangan negara anggota CPOPC," katanya.
Beliau berkata, Malaysia dan Indonesia, dua pengeluar minyak sawit terbesar dunia telah pun menghantar surat bantahan kepada EU pada April 2019 mengkritik keputusan untuk tidak lagi menganggap minyak sawit sebagai biofuel, yang juga mengancam hubungan blok itu dengan kedua-dua negara.
Katanya, ini berlaku selepas Suruhanjaya Eropah (EC) memutuskan bahawa minyak sawit telah mengakibatkan penebangan hutan yang berlebihan dan ia tidak lagi boleh dianggap sebagai bahan api pengangkutan boleh diperbaharui, kecuali untuk beberapa pengecualian.
"Perkara ini telah menyebabkan Malaysia mengambil tindakan undang-undang terhadap EU dan dua ahlinya – Perancis dan Lithuania – pada 15 Januari 2021 di bawah Mekanisme Penyelesaian Pertikaian Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).
"Tindakan ini diambil berikutan keputusan EU untuk mengklasifikasikan minyak sawit sebagai tanaman yang berisiko tinggi untuk perubahan status guna tanah tidak langsung. EU juga menganggap industri minyak sawit menyumbang kepada penebangan hutan dan kehilangan biodiversiti dan negara-negara EU juga menggunakan European Union Renewable Energy Directive II dalam proses perundangan mereka.
"Semua ini adalah sebahagian daripada usaha Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Malaysia, yang selaras dengan gerakan global untuk memperjuangkan kebaikan minyak sawit.
"Mengambil kira situasi terkini Ukraine-Rusia dan perubahan cuaca yang menyebabkan kekurangan bekalan minyak soya dan bunga matahari, ini merupakan peluang keemasan untuk Malaysia mempromosikan kebaikan minyak sawit kepada EU agar dapat dapat mengisi kelompangan bekalan minyak masak dunia," katanya.
Tambahnya, dunia seharusnya meyakini potensi minyak sawit Malaysia kerana inisiatif kemampanan minyak sawit negara.
"Ini dilakukan menerusi pelbagai kempen berterusan kementerian yang giat dilaksanakan bagi mempertahankan imej minyak sawit yang memiliki reputasi harga komoditi yang tinggi selain situasi pengeluaran minyak masak dunia yang tidak stabil buat masa ini," katanya. - DagangNews.com








