Mah Sing umum pemberian rebat lebih RM14.5 juta untuk pakej perabot, hiasan dalaman | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Mah Sing umum pemberian rebat lebih RM14.5 juta untuk pakej perabot, hiasan dalaman

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 Ogos - Mah Sing Group Berhad mengumumkan pemberian rebat dan diskaun bernilai lebih RM14.5 juta untuk pakej perabot dan hiasan dalam untuk ahli M Previlege daripada M Vertica, Kuala Lumpur dan Sensory Residence, Southville City.

 

Pemberian rebat itu adalah hasil kerjasama Mah Sing dan SofaX iaitu platform visualisasi reka bentuk dalaman untuk meningkatkan aplikasi MY Mah Sing.

 

Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan, Datuk Ho Hon Sang berkata, menerusi kerjasama itu, pemilik kediaman boleh merasai sendiri pengalaman mereka bentuk hiasan dalaman bersama SofaX.

 

Katanya, Mah Sing sentiasa mencari pendekatan baharu menggunakan teknologi untuk menyokong rakyat Malaysia dalam mewujudkan rumah idaman mereka.

 

"Aplikasi MY Mah Sing  sentiasa bersama oemilik rumah dalam setiap langkah.

 

"Kini, platform SofaX meningkatkan lagi aplikasinya, dengan menukar pelan rumah 2D menjadi ruang maya dengan pemilik rumah boleh menyelami sepenuhnya dan bereksperimen dengan memadankan perabot, kelengkapan, warna dinding dan jubin," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Ahli M Previlege daripada M Vertica and Sensory Residence akan menerima 3,000 mata SofaX menerusi aplikasi MY Mah Sing dan tambahan 500 mata.

 

Mata itu bersamaan dengan nilai ringgit dan akan membolehkan ahli menerima rebat RM3,500 setiap satu, bagi semua pembelian di vendor rumah dan kediaman yang mengambil bahagian yang disenaraikan di aplikasi SofaX.

 

Selain itu, ahli juga akan mendapat akses eksklusif kepada Program Pembeli-belah Peribadi SofaX. 

 

Program itu menawarkan sesi selama 120 minit dengan pembeli peribadi SofaX untuk memberikan bantuan peribadi serta nasihat tentang memanfaatkan sepenuhnya ruang dan bajet untuk pemilik rumah. - DagangNews.com