Lupus pegangan dalam ElectraNet, peluang kepada YTL Power optimumkan portfolio perniagaan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Lupus pegangan dalam ElectraNet, peluang kepada YTL Power optimumkan portfolio perniagaan

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 9 Feb - Cadangan YTL Power International Bhd. melupuskan 33.5% kepentingan dalam ElectraNet Pty Ltd. dilihat sebagai satu peluang yang baik kepada kumpulan untuk mengoptimumkan portfolio perniagaannya. 

 

Penganalisis CGS-CIMB, Ngo Siew Teng menilai perkembangan tersebut adalah positif kerana membolehkan kumpulan merealisasikan keuntungan daripada pelaburan yang matang di samping meneroka perniagaan baharu yang boleh dilaksanakan bagi melengkapkan aset sedia ada.

 

Katanya, apabila urus niaga itu dimuktamadkan kelak, ElectraNet bukan lagi merupakan syarikat bersekutu YTL Power.

 

"ElectraNet menyumbang untung bersih sebanyak AS$16 hingga AS$24 juta kepada YTL Power bagi tempoh tahun kewangan 2019 (FY19) hingga FY21. 

 

"Oleh itu, ia akan menyaksikan unjuran pendapatan sesaham (EPS) kami bagi FY23 hingga FY24 susut kira-kira 6 hingga 7% selepas mengambil kira ketiadaan sumbangan daripada ElectraNet dan pendapatan faedah yang lebih tinggi daripada hasil kasar," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Firma itu bagaimanapun mengekalkan saranan 'tambah' terhadap YTL Power dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada 82 sen. 

 

Ia berpendapat pendapatan kumpulan bagi FY22 hingga FY24 adalah kukuh dengan hasil dividen yang baik. 

 

Semalam, YTL Power dan anak syarikat tidak langsung milik penuhnya, YTL Power Investments Ltd mengumumkan cadangan untuk melupuskan kepentingan ekuiti dan nota pinjaman dalam ElectraNet pada nilai A$1.03 bilion (RM3.06 bilion) kepada Australian Utilities Pty Ltd (AUP) yang juga pemegang amanah Australian Utilities Trust.

 

Apabila selesai kelak, usaha itu dijangka menjana kira-kira RM2.21 bilion.

 

Penjualan kepentingan tersebut menyumbang 16.8% ke atas aset bersih proforma YTL Power sesaham dengan nilainya meningkat kepada kira-kira RM1.88 sesaham selepas selesai usaha melupuskan kepentingan daripada RM1.61 bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2021 yang menghasilkan pendapatan proforma sesaham sebanyak 26.02 sen.

 

ElectraNet menguruskan sistem bekalan elektrik voltan tinggi di serata Australia Selatan yang juga antara sistem wilayah paling meluas di negara itu dan di bawah pajakan selama 200 tahun.

 

Sementara itu, penganalisis MIDF Research, Hafriz Hezry berkata, sebahagian besar daripada hasil pelupusan tersebut (sebanyak RM2.7 bilion atau 89%) dijangka digunakan semula untuk pelaburan pada masa hadapan delam tempoh 3 tahun akan datang dan selebihnya bagi tujuan korporat am.

 

"Meskipun, masih terlalu awal untuk membuat spekulasi di mana modal itu akan disalurkan, tetapi kami mendapati YTL Power baru-baru ini meneroka perniagaan pusat data melalui pengambilalihan Dodid Pte. Ltd, yang memiliki pusat data Tier-3 12.5 megawatt (MW) di Singapura. 

 

"Perancangan jangka panjangnya adalah untuk membina pusat data hijau dengan kapasiti 300 merentasi rantau ini menjelang 2030," jelasnya. 

 

Bagaimanapun, secara keseluruhan, firma itu mengekalkan saranan 'beli' terhadap YTL Power dengan TP pada 80 sen. 

 

Setakat 9.41 pagi ini, harga saham YTL Power menokok 6 sen atau 10% kepada 66 sen dengan 8 juta saham diniagakan. - DagangNews.com