L&P Global sasar kumpul RM33.9 juta daripada IPO  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

L&P Global sasar kumpul RM33.9 juta daripada IPO 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 13 Dis - Penyedia penyelesaian pembungkusan industri bersepadu, L&P Global Bhd. menyasarkan untuk mengumpul sehingga RM33.9 juta daripada tawaran awam permulaan (IPO) menerusi penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia. 

 

Dijangka disenaraikan pada 3 Januari 2023, L&P merancang untuk menggunakan sebanyak RM10 juta daripada hasil tersebut untuk perbelanjaan modal terutamanya bagi pembinaan kilang baharu di Johor manakala RM2 juta bagi mengembangkan operasi perniagaan. 

 

Sementara itu, sebanyak RM13 juta akan diperuntukkan sebagai modal kerja bagi membeli bahan mentah, membayar semula pinjaman (RM5 juta) dan perbelanjaan penyenaraian (RM3.9 juta).

 

Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif L&P, Ooi Lay Pheng berkata, langkah penyenaraian itu adalah sejajar dengan pelan pertumbuhan kumpulan untuk meningkatkan kapasiti bagi memenuhi permintaan menggalakkan dalam produk pembungkusan perindustrian.

 

Katanya, kumpulan juga menyasarkan untuk mengembangkan pasaran di Malaysia dan Singapura.

 

"Tambahan pula, untuk memenuhi keperluan yang semakin meningkat untuk pembungkusan yang lebih mampan, kami menyasarkan untuk mengembangkan perkhidmatan bekalan, di mana kami membaiki, mengitar semula dan menggunakan semula sebarang bahan kayu yang boleh digunakan. 

 

"Hasil daripada inisiatif ini, sumber kayu diurus dengan lebih baik dan sisa dikurangkan," katanya dalam kenyataan hari ini sempena pelancaran prospektus kumpulan.

 

 

L&P global
Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif L&P, Ooi Lay Pheng (lima dari kiri) bersama barisan pengurusan syarikat sempena pelancaran prospektus L&P Global, hari ini.

 

 

IPO L&P merangkumi terbitan awam sebanyak 113 juta saham baharu, mewakili 20.2% daripada modal saham yang diperbesarkan, serta tawaran untuk penjualan 33.8 juta saham sedia ada, mewakili 6% daripada saham yang diperbesarkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.

 

Sebanyak 24 juta saham akan disediakan kepada orang awam melalui pengundian manakala 13 juta saham kepada pengarah, pekerja dan individu yang layak yang telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan.

 

Dalam pada itu, sebanyak enam juta saham diperuntukkan untuk penempatan persendirian kepada pelabur terpilih manakala baki 70 juta saham dikhaskan melalui penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera terpilih yang diluluskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

 

Berdasarkan harga terbitan 30 sen sesaham dan modal saham yang diperbesarkan sebanyak 560 juta saham, L&P akan mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM168 juta selepas penyenaraian tersebut.

 

Alliance Islamic Bank Bhd. ialah penasihat utama, penaja, penaja jamin tunggal dan ejen penempatan bersama bagi langkah IPO L&P. - DagangNews.com