Leonardo Paiva diumum sebagai CEO baharu Vale Malaysia Minerals | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Leonardo Paiva diumum sebagai CEO baharu Vale Malaysia Minerals

Oleh JOHARDY IBRAHIM

MANJUNG 3 Nov – Vale, satu daripada syarikat perlombongan terkemuka dunia, mengumumkan pelantikan Leonardo Paiva sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu anak syarikat Malaysianya, Vale Malaysia Minerals Sdn. Bhd.

 

Dengan pengalaman selama 22 tahun di Vale, Leonardo mempunyai rekod prestasi pemanduan transformasi dalam bidang operasi pelabuhan dan logistik.

 

Pengalaman Leonardo memuncak dalam peranan terbarunya sebagai Pengurus Eksekutif Perlombongan di Kompleks Parapoeba, Brazil; satu daripada lombong Vale di wilayah selatan Brazil.

 

Leonardo mengambil alih peranan kepimpinan di Malaysia daripada Rodrigo Ribeiro de Araújo. Dilantik sebagai CEO Vale in Malaysia pada 2019, Rodrigo memainkan peranan penting dalam pemulihan selamat operasi Terminal Maritim Teluk Rubiah (TRMT) semasa pandemik, dan kejayaan pelancaran pelbagai teknologi automasi di pelabuhan, termasuk kapal pemunggah yang ketiga automatik sepenuhnya di dunia. 

 

 

Rodrigo Ribeiro de Araújo
                                                Rodrigo Ribeiro de Araújo

 

 

Sejajar dengan tujuan baharu Vale di semua negara tempat ia beroperasi, Rodrigo turut menyelia penyampaian program pemulihan pandemik ‘Vale Bersama Manjung’ bernilai RM2 juta untuk komuniti Manjung.

 

Baru-baru ini, beliau mengumumkan pelaburan RM5 juta untuk menaik taraf Vale Eco Centre (VEC) menjadi salah satu hab ekopelancongan terkemuka di Perak.

 

“Vale komited terhadap kehadiran yang mampan dan berdaya maju di Malaysia, dan kami berharap untuk membina kemajuan yang telah kami capai bersama masyarakat dan institusi tempatan sejak kami memulakan kehadiran kami di Perak sedekad lalu,” kata Leonardo.

 

"Keselamatan dan kebolehpercayaan akan terus menjadi tumpuan kami, seperti biasa," kata beliau.

 

 

vale
Terminal kendalian Vale Malaysia bagi menyalurkan bijih besi ke kapal-kapal pengangkut di Manjung, Perak.

 

 

Direka untuk mengendalikan sehingga 30 juta tan bijih besi, TRMT ialah pelaburan langsung asing (FDI) tunggal terbesar di negeri Perak.

 

Terminal itu, yang mula beroperasi pada 2014, dikendalikan oleh tenaga kerja yang terdiri daripada 97% rakyat Malaysia; lebih 60% dari Manjung.

 

“Pada 2019, 90% daripada tenaga kerja kami adalah Malaysia. Hari ini, angka itu ialah 97%.

 

"Saya memberi jaminan kepada anda bahawa membangunkan bakat tempatan dan memperkasakan mereka untuk menjadi sebahagian daripada komuniti bakat global yang dinamik Vale akan terus menjadi keutamaan kami untuk bergerak ke hadapan,” kata Leonardo. - DagangNews.com