KUALA LUMPUR 14 April - Lazada Malaysia dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) memeterai memorandum persefahaman (MOU) pelancaran Lazada4Youth, sebagai satu inisiatif yang dirangka khas untuk merangsang keusahawan digital dan daya inovasi dalam kalangan belia di Malaysia.
MoU tersebut ditandatangani Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Ts. Dr Hajah Roziah Mohd Janor dan Ketua Pegawai Kewangan Lazada Malaysia, Cheang Kiat Cheong di hadapan Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Datuk Seri Abdul Razak Jaafar yang berlangsung di UiTM Kampus Puncak Alam, baru-baru ini.
Lazada4Youth menampilkan beberapa siri bengkel untuk usahawan digital muda, dengan peluang untuk menyertai Lazada sebagai penjual baharu atau ahli sekutu gabungan pemasaran digital.
Seramai 400 pelajar UiTM telah menyertai bengkel tersebut secara bersemuka, manakala lebih dari 3,500 pelajar turut menyertai bengkel pertama tersebut secara dalam talian menerusi saluran YouTube rasmi Fakulti Pengurusan dan Perniagaan.
Sesi tersebut memfokuskan kepada perkongsian tentang industri e-dagang, penjenamaan digital, kehadiran digital, pemasaran sekutu gabungan dan aruhan peniaga (seller onboarding).
Ikon tersohor industri fesyen dan seni reka bentuk dalaman, Datuk Rizalman Ibrahim yang juga merupakan Ahli Lembaga Pengarah UiTM dan pereka kreatif terkemuka, Anisah Farid turut berkongsi pengalaman, kisah sukses serta cabaran yang direntasi.
Sementara itu, Abdul Razak berkata, pelaksanaan yang berkesan dan potensi impak baik program itu akan menjuruskan kepada pendedahan positif dan pengalaman berharga bagi para pelajar universiti demi membina peluang kerjaya bersama peneraju industri e-dagang seperti Lazada.
"Ini adalah selaras dengan inisiatif KPT iaitu 'Entrepreneurship-Integrated-Education (EIE)' yang menumpukan kepada pembentukan ekosistem keusahawanan lebih sinergistik dan holistik, di samping mencetuskan daya keusahawan berimpak tinggi dengan penglibatan pelbagai rakan strategik yang menekankan kepada keterampilan inovasi dan perniagaan berasaskan teknologi," katanya.
Cheang pula berkata, penglibatan aktif dan keterangkuman para belia dalam sektor ekonomi digital negara memainkan peranan amat penting untuk merangsang pertumbuhan mampan bagi mewujudkan generasi e-dagang yang akan datang.
"Lazada4Youth dibentuk demi memperkasakan dan menggalakkan usahawan muda agar mereka mampu mencari jalan dan peluang baharu untuk berdikari membina perniagaan mereka dalam skop yang lebih inklusif, dengan daya saing yang teguh, di samping mencorakkan pertumbuhan ekonomi digital negara," katanya.
Prof. Datuk Roziah berkata, bersama Lazada4Youth, UiTM akan terus berusaha menjadi pemangkin untuk mengembangkan potensi pelajar dan seterusnya memupuk pemimpin masa hadapan.
“Sebagai pembimbing bakat dinamik ke arah merangsang keupayaan keusahawanan digital yang lebih kukuh, UiTM sentiasa konsisten mencari jalan bagi menyediakan platform yang lebih baik untuk memupuk dan menggiatkan bakat baharu," katanya. - DagangNews.com







