Lazada, Islamic Relief Malaysia jalin kerjasama kumpul dana RM2.3 juta untuk Rezeki Ramadan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Lazada, Islamic Relief Malaysia jalin kerjasama kumpul dana RM2.3 juta untuk Rezeki Ramadan

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 5 April - Lazada Malaysia bekerjasama dengan Islamic Relief Malaysia untuk mengumpulkan dana sebanyak RM2.3 juta menerusi LazadaForGood bagi membantu lebih daripada 40,000 penerima sumbangan Rezeki Ramadan yang mengandungi bekalan makanan asas dan keperluan harian.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Islamic Relief Malaysia, Zairulshahfuddin Zainal Abidin berkata, sempena Ramadan dan Syawal, pihaknya menggandakan usaha untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan dalam bentuk pek makanan yang akan diedarkan kepada keluarga berpendapatan rendah dan komuniti yang kurang berkemampuan. 

 

"Justeru itu, peluang untuk bekerjasama sekali lagi dengan Lazada Malaysia amatlah bermakna kepada Islamic Relief Malaysia dan manfaatnya pasti membawa impak besar buat mereka yang memerlukan. 

 

"Dana tersebut akan dimanfaatkan untuk membiayai ribuan pek makanan Rezeki Ramadan yang mengandungi beras, tepung, makanan dalam tin, minyak masak, gula, buah kurma dan barang keperluan harian untuk mereka berbuka puasa dan bersahur,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Ketua Pegawai Operasi Lazada Malaysia, Darren Rajaratnam pula berkata, kolaborasi dengan Islamic Relief Malaysia memberi peluang untuk mengoptimumkan daya kekuatan unik e-dagang dalam membantu komuniti dan mendekatkan diri dengan para pelanggan menerusi pendekatan yang bermakna. 

 

“Usaha membantu perkembangan dan keperluan masyarakat yang memerlukan adalah nadi dalam misi strategik Lazada Malaysia. Dengan pelancaran inisiatif ini pada bulan Ramadan yang mulia, kami berharap ia dapat menggalakkan para pelanggan Lazada untuk bersama-sama menyumbang ke arah kebajikan sosial dengan menghulurkan bantuan kepada golongan memerlukan,” katanya.

 

 

lazada

 

 

Dengan hanya beberapa klik mudah di platform dalam talian LazadaForGood, anda boleh berkongsi sinar Ramadan dan Syawal dengan penerima sumbangan pek makanan Ramadan di bawah Islamic Relief Malaysia. 

 

Layari LazadaForGood dan pilih Islamic Relief Malaysia di senarai badan amal, klik nilai sumbangan yang ingin didermakan, pilih antara RM5, RM10, RM20, RM30, RM50, RM100 atau lebih, samada untuk Rezeki Ramadan, mySedekah atau bantuan kecemasan bencana tempatan, tambah ke dalam kart sumbangan dan 'check out'. 

 

 

lazada

 

 

lazada

 

Sumbangan tersebut akan disalurkan kepada dana yang dikumpulkan oleh Islamic Relief Malaysia.

 

Orang ramai juga boleh menyumbangkan derma ikhlas kepada MyFundAction, UNICEF, dan badan-badan amal yang lain di LazadaForGood menerusi https://s.lazada.com.my/s.eKYQu. - DagangNews.com