Larangan merokok dan vape kepada generasi akan datang langgar hak pengguna - Paneir | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Larangan merokok dan vape kepada generasi akan datang langgar hak pengguna - Paneir

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 26 Julai - Keputusan unilateral kerajaan melarang produk merokok, termasuk vape dan rokok bagi mereka yang lahir selepas 2007 adalah tindakan melanggar hak asasi yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan (FC) dan Akta Perlindungan Pengguna (CPA) 1999.

 

Kolumnis undang-undang, R. Paneir Selvam berkata, dengan meletakkan larangan menyeluruh terhadap individu yang dilahirkan selepas 2007, kerajaan keliru dalam isu kesaksamaan yang penting untuk sebarang perkara berkaitan pengguna.

 

“Walaupun kerajaan mempunyai hak untuk menyekat pelbagai jenis produk bukan haram, kuasa ini mesti digunakan secara bertanggungjawab. Mereka tidak seharusnya mengarahkan generasi individu tertentu di dalam sesebuah negeri untuk mematuhi larangan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Menurut Artikel 5(1) FC 1957, 'tiada seorang pun boleh dicabut nyawanya atau dilucutkan kebebasan peribadinya kecuali menurut undang-undang,' yang bermaksud hak untuk kebebasan peribadi termasuk hak untuk privasi. 

 

Dalam kes Tan Tek Seng melawan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan & Lain-lain [1996] 1 MLJ 261, beliau menegaskan bahawa 'kehidupan' di bawah Perkara 5 bermakna lebih daripada kewujudan semata-mata, ia boleh diperluaskan kepada hak pengguna.

 

Perkara 8(1) FC 1957 menyatakan bahawa ‘semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan undang-undang yang sama,’ bermaksud mereka yang lahir sebelum atau selepas 2007 harus dilayan sama rata undang-undang.

 

“Kerajaan mesti mengelak daripada menggubal apa sahaja undang-undang yang menjejaskan kesaksamaan dalam kalangan rakyatnya,” kata Paneir yang juga merupakan juruperunding utama bagi kumpulan pemikir tempatan, Arunachala Research & Consultancy Sdn Bhd (ARRESCON).

 

 

paneir
R. Paneir Selvam

 

 

Akta Perlindungan Pengguna 1999 (CPA) telah direka bentuk untuk memberi perlindungan yang lebih baik kepada pengguna, dan hak yang diberikan akta itu tidak boleh dibatalkan. 

 

Ini dinyatakan dalam Seksyen 6 CPA, yang menyatakan bahawa akta itu akan mempunyai kuasa walaupun ada kontrak yang cuba mengehadkannya.

 

Paneir menambah, pengguna harus menjadi orang yang memutuskan apa yang mereka mahu makan, bukannya kerajaan. 

 

“Akhirannya nanti, pengguna hendaklah mempunyai kebebasan untuk memilih, yang merupakan hak mereka sebagai pengguna. Negara tidak boleh bertindak sebagai pengasuh kepada rakyatnya. 

 

"Sebaliknya, mereka harus memberi tumpuan kepada pendidikan pengguna, yang merupakan strategi perlindungan pengguna yang paling berkesan kerana ia membantu mencipta kemahiran yang membolehkan pelanggan berkelakuan secara bertanggungjawab. Berbanding dengan mengganggu proses membuat keputusan mereka.

 

"Kerajaan harus mengutamakan isu yang lebih mendesak seperti pemulihan ekonomi, peningkatan pengangguran dan jenayah kolar putih daripada menumpukan kepada larangan merokok untuk individu yang lahir selepas 2007," katanya. - DagangNews.com