KUALA LUMPUR 2 Mac - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan dividen Simpanan Konvensional sebanyak 6.10 peratus manakala Syariah pula 5.65% selepas mencatatkan prestasi kukuh dalam operasi dan kewangan bagi 2021.
Prestasi itu mengatasi agihan tahun 2020 sebanyak 5.20% bagi Simpanan Konvensional dan 4.90% Syariah.
Bagi 2021, ia membabitkan agihan dividen berjumlah RM56.92 bilion, iaitu RM50.45 bilion bagi Simpanan Konvensional dan RM6.47 bilion bagi Simpanan Syariah.
Kadar dividen KWSP 2021 turut mengatasi agihan pendapatan lima sen seunit oleh Amanah Saham Bumiputera (ASB) yang diumumkan Permodalan Nasional Bhd untuk 2021.

Ketua Pegawai Eksekiutifnya Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dalam sidang media hari ini berkata, keseluruhan aset pelaburannya meningkat kepada RM1.008 trilion pada 2021, meningkat 0.8% tahun ke tahun daripada RM1 trilion pada tahun sebelumnya.
Pada Februari 2021, KWSP berkata keseluruhan aset pelaburannya meningkat 7.9% kepada RM998 bilion daripada RM924.75 bilion pada 2019.
“Pertumbuhan yang lebih perlahan dalam jumlah aset pelaburannya, walaupun prestasi pelaburan yang kukuh, adalah disebabkan pengeluaran berkaitan COVID-19, termasuk pengeluaran i-Sinar Akaun 1 yang belum pernah berlaku sebelum ini berjumlah RM58.7 bilion," jelasnya seperti dilapor Astro Awani.
Data KWSP menunjukkan kira-kira 7.3 juta ahli KWSP telah memohon sekurang-kurangnya 1 atau ketiga-tiga pengeluaran khas berkaitan COVID-19, iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra, yang secara kolektif menyaksikan RM100.9 bilion dikeluarkan daripada KWSP antara April 2020 dan Februari 2022.
Jumlah yang tidak disimpan dengan KWSP meningkat kepada RM110 bilion apabila termasuk RM9 bilion yang dikeluarkan kepada ahli kerana pengurangan kadar caruman berkanun pekerja (daripada 11% kepada 7% mulai April hingga Disember 2020, dan daripada 11% kepada 9% mulai Januari 2021 hingga Jun 2022). - DagangNews.com








