KUALA LUMPUR 20 Dis - Kulim (Malaysia) Berhad membina rumah hijau khas bernilai RM40,000 dalam kawasan Persatuan Cerebral Palsy Johor (CPJ) bagi membantu persatuan tersebut menyediakan agroterapi untuk pelajar-pelajar 'cerebral palsy' di samping membuka peluang menjana pendapatan tambahan melalui penjualan hasil tanaman.
Kulim dengan sokongan divisyen Agrofarm dan Yayasan Johor Corporation (Yayasan JCorp) telah mengadakan perbincangan bersama CPJ bagi mengenalpasti dan mengusulkan bantuan yang bersesuaian dengan rancangan CPJ untuk menjana pendapatan mampan persatuan itu.
Tujuan utama rumah hijau ini adalah untuk dimanfaatkan sebagai kemudahan untuk sesi terapi kepada para pelajar melalui agroterapi.
Agroterapi adalah bentuk terapi menyediakan aktiviti berstruktur dalam suasana pertanian dan membantu mereka meningkatkan koordinasi motor, kekuatan dan daya tahan serta komunikasi melalui hubungan penyembuhan dengan manusia, tumbuh-tumbuhan dan ekosistem sekitarnya.
Kulim akan memberikan khidmat nasihat, latihan serta pemantuan berkala, selain tanaman yang akan ditanam adalah salad dengan rancangan untuk menanam rock melon tidak lama lagi.
Pengerusi CPJ, Tunku Fatimah Faridah berkata, inisiatif terbaharu ini sejajar dengan komitmen mereka untuk mendidik, melatih, merawat dan menyediakan keperluan khas untuk pelajar-pelajar cerebral palsy.
"Memandangkan manfaatnya yang meluas, kami berharap masyarakat sekitar akan menyokong projek rumah hijau ini dengan memilih untuk membeli buah-buahan dan sayur-sayuran di CPJ," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Pengarah Urusan Kulim, Mohd Faris Adli Shukery pula berkata, pihaknya berbesar hati untuk kerjasama yang berterusan bersama Yayasan JCorp dalam membantu usaha CPJ menjaga dan mendidik pelajar-pelajar yang menghidap cerebral palsy.
"Kami mahu menggalakkan masyarakat untuk membuat kebaikan yang mewujudkan perbezaan serta impak yang bermakna dalam masyarakat sama ada melalui sumbangan, perbelanjaan bermatlamat, atau menyumbang masa mereka, selaras dengan komitmen ESG serta kempen CSR #KULIMPEDULI," katanya.

Pengerusi Yayasan JCorp, Rozaini Mohd Sani berharap impak positif daripada pembangunan mesra alam dan aktiviti kebajikan masyarakat ini memberi banyak manfaat kepada pelajar-pelajar cerebral palsy, CPJ dan juga masyarakat sekitar. - DagangNews.com








