KUALA LUMPUR 18 April - Kuala Lumpur tersenarai sebagai salah satu bandar utama yang kerap dilawati di Asia Tenggara pada tahun 2022, kata Airbnb.
Data baharu Airbnb menunjukkan kebangkitan dan evolusi industri pelancongan di Asia Tenggara yang membuka peluang baharu kepada komuniti di seluruh rantau tersebut.
Menurut tinjauan YouGov anjuran Airbnb, sejumlah 91% rakyat Malaysia percaya kebangkitan semula sektor pelancongan akan memberi manfaat kepada masyarakat tempatan dan ekonomi negara.
“80% rakyat Malaysia optimis terhadap pemulihan pelancongan di Asia Tenggara dengan hampir 4 daripada 10 orang teruja untuk melancong di rantau ini dengan lebih kerap pada masa akan datang, selepas tidak dapat berbuat demikian bagi tempoh yang lama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kaji selidik YouGov mendapati keperluan masyarakat Malaysia merangkumi pilihan penginapan dan tawaran pelancongan yang menggalakkan tempoh lebih lama serta pelbagai penginapan unik pada harga berpatutan untuk menarik pelancong dan membezakan destinasi mereka.
Di samping itu, didapati rakyat Malaysia memerlukan akses mudah dan berpatutan ke tempat-tempat terpencil supaya komuniti tersebut dapat menikmati manfaat daripada sektor pelancongan dan memberi sokongan kepada usahawan pelancongan tempatan.
Carian tetamu Airbnb untuk musim Ramadan ini mencatat peningkatan hampir 600% di Malaysia, menunjukkan momentum pelancongan yang kukuh dalam kalangan tetamu untuk melancong.
Kaji selidik Airbnb juga mendapati peralihan trend pelancongan di seluruh rantau, merangkumi peningkatan pelancongan berkumpulan dan solo serta penginapan lebih lama.
Pelancongan secara berkumpulan di Asia Tenggara meningkat lebih tiga kali ganda tahun ke tahun pada 2022, sejajar dengan pelancongan bersama keluarga yang meningkat 60% di seluruh dunia di platform Airbnb berbanding sebelum pandemik, dengan lebih banyak keluarga menempah penginapan disebabkan nilai dan ruangnya.
Sementara itu, pelancongan solo di rantau ini juga meningkat lebih daripada 2.6 kali pada tahun 2022 berbanding tahun, manakala pengembara di seluruh Asia Tenggara menginap lebih lama dan lebih terlibat dengan komuniti tempatan, melebihi 28 hari iaitu peningkatan lebih 2.5 kali dari tahun ke tahun.

Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Strategi Airbnb, Nathan Blecharczyk berkata syarikat itu komited bekerjasama dengan komuniti dan kerajaan tempatan bagi menyokong kebangkitan semula sektor pelancongan di rantau ini dengan membolehkan warga tempatan menikmati manfaat sosio-ekonomi daripada pelancongan.
“Kami juga memberi tumpuan kepada inovasi berterusan untuk membantu meluaskan pelancongan dan menggalakkan pemulihannya dengan bertanggungjawab, mewujudkan hubungan sesama manusia dan memperkasakan ekonomi penduduk tempatan,” tambahnya. -DagangNews.com


