Krisis politik dan ekonomi: Apa masa depan Malaysia? (SURAT PEMBACA) | DagangNews Skip to main content

Krisis politik dan ekonomi: Apa masa depan Malaysia? (SURAT PEMBACA)

Tuan Pengarang,



1. Dengan fokus terhadap krisis politik dan ekonomi tanah air serta masa depan Malaysia; Forum Ekonomi Manusiawi (FEM) dengan kerjasama Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Wadah Pencerdasan Umat (WADAH) Selangor telah bekerjasama dengan WAPtv dalam penganjuran forum Wacana Ekonomi Manusiawi (Wem) Siri Ke-5 bertajuk: “Krisis Politik Dan Ekonomi: Apa Masa Depan Malaysia?” pada 14 Ogos 2021.

 



2. Ucapan apresiasi disampaikan oleh Nik Mohd Yusoff Nik Ismail (Pengerusi WADAH Selangor) dalam forum yang diadakan secara dalam talian ini. Beliau menekankan berkenaan model ekonomi manusiawi yang menekankan nilai-nilai kemanusiaan. Reformasi politik diperlukan bagi mengatasi ketamakan dan kesombongan sehingga tidak mahu melepaskan jawatan meskipun sudah nyata gagal serta tidak mempunyai sokongan majoriti.

 



3. Forum ini merupakan sebahagian daripada siri forum yang dilancarkan bagi memberi tumpuan kepada pembangunan komuniti dan mengarusperdanakan budaya fikir Ekonomi Manusiawi.

 



4. Falsafah utamanya ialah membangunkan ekonomi berpaksikan kepada pembangunan insan itu sendiri dengan mengambilkira maslahah umum masyarakat melalui pemahaman dan penghayatan prinsip maqasid syariah. Ianya merupakan satu perspektif ekonomi yang inklusif, adil dan mampan.

 



5. Seramai tiga orang ahli panel yang terdiri daripada Muhammad Faisal Abdul Aziz (Presiden ABIM); Prof. Jomo KS (Ahli Ekonomi); dan Prof. Emeritus Khoo Boo Teik (National Graduate Institute for Policy Studies, Japan).

 



6. Prof. Dr. Saadiah Mohamad (Konvenor Wacana Ekonomi Manusiawi) selaku moderator menyentuh berkenaan tiada jawapan dan penyelesaian mudah kepada tiga krisis yang melanda negara kini iaitu krisis kesihatan, ekonomi dan politik. Hal ini demikian kerana ia sebenarnya menyerlahkan masalah yang telah lama meruncing. Hikmahnya, ia membawa kesedaran terhadap masalah-masalah dan kepentingan mencari jalan penyelesaian segera kepada hal-hal yang mustahak, bahkan menerbitkan kecaknaan untuk mencorakkan masa hadapan yang lebih cerah.

 


7. Selain itu, Prof. Saadiah juga menjelaskan terhadap keperluan pendekatan baharu yang kolektif dan holistik dengan melibatkan masyarakat madani dan ilmuan yang memberi suara kesedaran selain suara rakyat untuk menegak keadilan. Krisis ini menuntut penyelesaian yang segera kepada krisis politik kerana hanya kepimpinan yang kompeten dan membawa keberanian reformasi institusi berupaya membawa perubahan politik yang diperlukan untuk menyelesai pandemik, krisis kesihatan dan ekonomi.

 


8. Muhammad Faisal Abdul Aziz (Presiden ABIM) berkongsi pandangan bahawa sekatan suara demokrasi sebagai contoh menerusi penggantungan Parlimen yang tidak mengikut lunas Perlembagaan Persekutuan, membawa kepada kegagalan pihak pemerintah untuk mentadbir negara. Beliau juga menekankan peri pentingnya gagasan Bangsa Malaysia yang melangkaui acuan serta tafsiran politik diangkat; bagi memberi nafas baharu untuk mengatasi kemelut sedia ada. Selain itu, beliau menegaskan bahawa idealisme segar yang disaluti keimanan yang mendalam sebagaimana yang dinyatakan dalam Surah al-Kahfi, perlu disuburkan dalam kalangan para pemimpin yang ingin membawa perubahan.  

 



9. Prof. Jomo KS (Ahli Ekonomi) berkata bahawa pandemik kini sudah menjadi andemik, di mana ia akan berpanjangan untuk satu tempoh yang belum diketahui lagi. Kita perlu ada komitmen politik yang jitu dan ikhlas untuk mengadakan perubahan bagi mengatasi kegagalan sedia ada. Nilai-nilai murni yang menjadi asas kepada perpaduan harus dikembalikan dalam kalangan bangsa Malaysia, selain semangat semak dan imbang yang perlu dibudayakan bagi membangunkan tanah air ke mercu kejayaan.  

 


10. Sementara itu, Prof. Emeritus Khoo Boo Teik (National Graduate Institute for Policy Studies, Japan) menyatakan bahawa kestabilan politik gabungan tidak lagi terjamin pada hari ini. Beliau juga menyentuh bagaimana perlunya kita menganalisis krisis semasa kepada kaitannya dengan kemelut politik serta ekonomi yang berlarutan sejak 1998. Usaha akar umbi yang merentas etnik perlu dihargai dan dipergiat bagi mengatasi politik perkauman sempit yang ditiup sejak berdekad lamanya oleh golongan elit. Kita mesti membentuk sebuah kerajaan yang mampu mengambalikan keyakinan majoriti wakil rakyat dalam sidang Parlimen yang terbuka, selain keyakinan rakyat terhadap kejujuran serta kewibawaan kerajaan tersebut.

 



11. Sebagai kesimpulan, para panelis menekankan bahawa semua pihak perlu memainkan peranan bagi menyelesaikan kemelut politik sedia ada dengan segera, memandangkan kestabilan politik mempunyai perkaitan yang erat dengan krisis ekonomi serta kesihatan pada hari ini. Kita sebenarnya mesti melihat krisis pada hari ini sebagai krisis kemanusiaan yang memerlukan pendekatan manusiawi bagi mencapai solusi terbaik.

 


Sekian, terima kasih.


 

Prof. Dr. Saadiah Binti Mohamad, Konvenor Wacana Ekonomi Manusiawi
Prof. Dr. Saadiah Binti Mohamad,
Konvenor Wacana Ekonomi Manusiawi