KUALA LUMPUR 22 Dis - Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) telah memberi surat hasrat kepada rakan usaha sama Citaglobal Bhd dan Reneuco Bhd untuk menjadi pengeluar tenaga bebas (IPP) bagi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Penganugerahan itu tertakluk kepada pelaksanaan perjanjian kontrak rasmi yang akan dimeterai antara Citaglobal dan Reneuco dengan MRL dalam masa terdekat.
Pengerusi Eksekutif dan Presiden serta pemegang saham utama Citaglobal, Tan Sri Dr Mohamad Norza Zakaria berkata, kontrak itu dimenangi menerusi kaedah pembidaan yang kompetitif.
Katanya, Citaglobal pasti akan memainkan peranannya dalam melaksanakan dan merealisasikan projek IPP ECRL bersama rakan kongsi, Reneuco.
"Memenangi kontrak ini adalah sejajar dengan fokus serta visi perniagaan Citaglobal iaitu menjadi pemain utama dalam segmen tenaga boleh diperbaharui, dan pada masa yang sama membina asas pendapatan berulang bagi syarikat," katanya dalam kenyataan semalam.
ECRL sepanjang 640 kilometer menghubungkan Pantai Timur ke Lembah Klang di Pantai Barat Semenanjung Malaysia.
Projek itu akan menghubungkan ibu negeri, pusat bandar utama, hab perindustrian, pelabuhan, lapangan terbang serta zon pelancongan dan ia boleh bertukar dengan landasan kereta api sedia ada di Semenanjung Malaysia.
Sementara itu, dalam makluman di Bursa Malaysia, Citaglobal memaklumkan MRL berhasrat untuk melibatkan usaha sama 50:50 itu ke arah merancang, mereka bentuk, membiayai, membangun, membina, memasang, menyelesaikan, mentauliahkan dan mengendalikan Projek IPP ECRL.
MRL merupakan entiti Kementerian Kewangan dalam melaksanakan ECRL. Ia adalah pemilik projek ECRL.
MRL, dalam membangunkan ECRL, akan mengendalikannya sebagai usaha sama 50:50 dengan China Communications Construction Company.
Kementerian Pengangkutan, melalui Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), akan mengawal selia projek itu. - DagangNews.com








