Ketika artikel ini ditulis, saya sudahpun kembali ke tanahair selepas 16 hari berada di luar negara. Selepas selesai urusan di London, saya berangkat pula ke Oman.
Ini adalah pemusafiran saya yang paling lama setakat ini. Ramai rakan yang beranggapan saya suka-suka sahaja makan angin ke luar negara. Sebenarnya saya memegang bahawa apa yang saya lakukan ini ialah satu ibadat fardu kifayah.
Di Malaysia, Alhamdulillah Wasiyyah Shoppe Berhad sudah pun berada di landasan yang tepat dengan kaedah operasi yang stabil selepas perjuangan getir 20 tahun dilalui.
Kini saya rasa bertanggungjawab untuk menyebarkan pula ilmu fiqh mawarith ini kepada saudara seIslam seluruh dunia. Saya menetapkan 2025 sebagai tahun permulaan untuk saya mengorak langkah ini.

Ini kunjungan saya ke Oman yang ketiga. Oman sebuah negara Islam yang tenang dan damai. Keindahan alam semulajadinya juga sangat memukau.
Oman memiliki kawasan pergunungan memukau persis Grand Canyon di Amerika, laut membiru yang luas dengan ikan lumba-lumba yang jinak, bentuk muka bumi pesisiran pantai dengan pemandangan mengkagumkan dan pastinya sejarah panjang yang menjadi kebanggaan mereka.

Orang-orang Oman sangat mesra tetamu dan ‘very accomodative’. Walaupun baru bertemu kali pertama, mesranya seperti sudah kenal bertahun-tahun lama malah mereka tidak teragak-agak untuk mengajak kita datang ke rumah untuk makan dan berkenalan dengan keluarga mereka.
Minggu ini saya akan berkongsi pengalaman kami berurusan di Oman. Oman ialah di antara negara teluk yang konservatif. Mereka tidak terburu-buru mengejar kejayaan dan membina negara mereka mengikut acuran negara teluk yang lain. Walaupun mereka juga dikurniakan dengan kekayaan gas dan minyak, mereka sangat berhati-hati dalam mengorak langkah ke hadapan.
Tidak ramai orang yang datang melawat ke Oman mungkin kerana kadar pertukaran wangnya yang sangat mahal. Matawang Oman Riyal jauh lebih kuat berbanding dengan US Dollar dan Pound Sterling.
Dengan Ringgit Malaysia, kadar pertukarannya jauh lebih tinggi iaitu OMR 1 bersamaan hampir RM12 ! Mungkin juga kerana itu tidak ramai orang Malaysia yang menjadikan Oman sebagai destinasi lawatan.
Di dalam kunjungan saya kali ini, saya membawa bersama rombongan ahli-ahli Jawatankuasa Teknikal Syariah Wasiyyah Shoppe Berhad iaitu Dr Mohd Zamro Muda, Dr Noorlizza Mohamed Said dan Dr Nik Abdul Rahim Nik Abdul Ghani. Kami berpeluang berkongsi pengalaman aplikasi hibah di Malaysia yang dipelopori Wasiyyah Shoppe Berhad semenjak 21 tahun lepas.
Perkongsian ini meliputi aspek penyelidikan ilmiah yang telah kami lakukan terutamanya aplikasi hibah dari sudut Hukum Syarak. Kami juga berkongsi pengalaman Malaysia mengaplikasi instrumen hibah di dalam sistem kewangan Islam.
Apa yang paling menarik ialah kerana kami berpeluang membentangkan kertas-kertas kami dan berbincang dengan Penolong Mufti Besar Oman, Dr Sheikh Kahlan Al-Kharusi dan sebahagian daripada ahli-ahli di dalam majlis fatwanya serta sebahagian ahli Pihak Berkuasa Syariah Tertinggi Bank Pusat Oman ( Higher Sharia’ Authority of Central Bank Of Oman)

Dr Sheikh Kahlan yang berkelulusan PhD Pengajian Islam daripada Universiti Oxford United Kingdom dan salah seorang ahli jawatankuasa Sharia’ Accounting and Auditing Organization of Islamic Financial Institutions (AAOIFI), berpengalaman luas di dalam ilmu fiqh kontemporari dan muammalat. Beliau ialah antara tokoh agamawan yang sangat dihormati di Oman dan negara-negara teluk.
Walaupun Oman mempunyai latarbelakang budaya dan undang-undang yang sangat jauh berbeza daripada Malaysia serta berpegangan Mazhab Ibhadi ( bukan ahli sunnah wal-jamaah), namun beliau dan rakan-rakannya sangat terbuka menerima pembentangan kami mengenai hibah. Mereka dapat melihat bagaimana aplikasi berkesan hibah dapat membantu mengatasi cabaran-cabaran penghartaan di Oman.
Pengalaman saya membentangkan pelbagai kertas di Malaysia, Brunei, Indonesia, Singapura, Australia, United Kingdom, Turkiye, Qatar, Dubai dan sekarang di Oman pula, memang saya dapati umat Islam seluruh dunia berdepan dengan pelbagai cabaran-cabaran ini. Persoalannya sekarang, bagaimana kita boleh memainkan peranan signifikan membantu umat Islam.
Memang diakui bahawa ada beberapa cabaran besar yang perlu diatasi sebelum hibah boleh diaplikasi secara berkesan di Oman. Tambahan pula Oman ialah negara Islam yang sangat ketat berpegang kepada standard seperti yang ditetapkan oleh AAOIFI iaitu standard yang menjadi pegangan semua negara Islam di dunia.
Dr Sheikh Kahlan sempat menasihati apa yang saya perlu lakukan untuk bergerak lebih jauh di Oman bagi memperkenalkan hibah sebagai sebahagian daripada instrumen perancangan harta yang berkesan. Alhamdulillah, pembentangan kami di hadapan tokoh-tokoh agama ini dipermudahkan.

Di dalam satu sesi yang berlainan, saya juga berpeluang untuk bertemu dengan wakil-wakil bank Islam Oman bagi sekali lagi berkongsi pengalaman Wasiyyah Shoppe Berhad.
Kami juga berkesempatan mendemonstrasikan sistem UsraHDD, apliksi mudah alih akad hibah pertama di dunia.

Sesi ini berjalan dengan sangat interaktif. Sambutan sangat baik malah ada di antara bank-bank ini sudah pun menunjukkan minat untuk bekerjasama dengan Wasiyyah Shoppe Berhad bagi memperkenalkan hibah kepada pelanggan-pelanggan mereka.
Strategi dan ketegaran kami mengaplikasi hibah semenjak 2004 di dalam keadaan pasaran di Malaysia tiada pendedahan, tiada pengetahuan, tiada kerangka undang-undang dan tiada kesedaran masyarakat, ternyata sangat menarik perhatian mereka.
Bagi memastikan kami dapat memahami situasi Oman dengan lebih baik, kami juga mengunjungi College of Sharia’ Science (CSS) Oman bagi menggerakkan inisiatif penyelidikan bersama dengan Pusat Kajian Syariah Fakulti Pengajian Islam UKM yang diketuai oleh Dr Nik Abdul Rahim Nik Abdul Ghani. Alhamdulillah inisiatif ini juga disambut baik pihak berkenaan.

Bagi pihak Malaysia, Wasiyyah Shoppe Berhad akan memperuntukkan geran bagi tujuan penyelidikan ini. Seperti disiplin biasa kami di Malaysia, dapatan penyelidikan bersama inilah yang akan dikemaskini dan dibangunkan sebagai produk patuh Syariah yang bakal diaplikasi di Oman.
Alhamdulillah saya rasa sangat puas hati dengan permusafiran kali ini walaupun ia sangat memenatkan kerana tempoh yang lama.
Bukanlah potensi bisnes itu yang membuatkan saya ‘excited’ sehingga tidak boleh tidur malam (sebenarnya tidak boleh tidur malam kerana masih ‘jetlag’ sebab perubahan waktu biologi kerana perbezaan masa di antara Malaysia-London-Oman), namun peluang Wasiyyah Shoppe Berhad untuk membantu umat Islam seluruh dunia di dalam perancangan harta itulah yang sangat mengujakan.
Saya menjangkakan tempoh di antara sekarang sehingga 5 tahun yang akan datang saya akan kerap bermusafir ke luar negara bagi tujuan dakwah ilmu fiqh mawarith ini.
Baru sahaja pulang ke tanahair, kini ada pula jemputan untuk saya ke salah sebuah negara Afrika untuk membangunkan sistem perancangan harta secara Syariah di negara berkenaan.
Semoga Allah kurniakan kesihatan fizikal, mental dan spiritual yang baik untuk saya berdepan segala cabaran juga diketemukan Allah SWT dengan orang yang baik-baik di sepanjang perjalanan ini, hasbunallahi waniqmal wakil. - DagangNews.com
KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH









