Selama 27 tahun berkecimpung di dalam industri perancangan harta secara Syariah di Malaysia, saya bersyukur kerana direzekikan dapat melihat landskap industri ini berubah di hadapan mata saya.
Sejak 1998, saya melihat sendiri bagaimana trend masyarakat dalam menyediakan dokumen perancangan harta mereka berubah dari semasa ke semasa.
Pada peringkat awal dahulu, jika masyarakat memilih untuk merancang harta, maka wasiatlah menjadi pilihan utama. Namun perlahan-lahan masyarakat mulai faham fungsi sebenar wasiat bagi orang Islam iaitu wasiat untuk melantik pentadbir dan wasiat 1/3 kepada bukan waris.
Apabila Wasiyyah ditubuhkan pada 5 Mei 2004, Wasiyyah mulai memperkenalkan kaedah hibah sebagai instrumen perancangan harta yang lebih berkesan berbanding wasiat.
Ingin saya peringatkan bahawa di saat fungsi wasiat terhad bagi dua tujuan di atas sahaja, fungsi hibah lebih fleksibel iaitu ia berkuat kuasa bagi tujuan membahagikan harta kepada sesiapa pun yang kita ingini sama ada waris atau bukan waris (mengikut hukum faraid) dan pada apa kadar sekalipun.
Harta yang telah sempurna dihibahkan mengikut rukun dan syaratnya akan terkeluar daripada harta pusaka dan tidak akan diagihkan kepada waris mengikut hukum faraid.

Rekod prestasi Wasiyyah
Sehingga hari ini, Wasiyyah merupakan penyedia dan pelaksana dokumen hibah harta terbanyak di Malaysia. Daripada 100,000 orang pelanggan yang telah menggunakan perkhidmatan Wasiyyah, sebanyak 50,000 daripada mereka menyediakan dokumen hibah harta manakala lebih daripada 400 perintah pengesahan hibah telah diperoleh daripada Mahkamah Syariah seluruh Malaysia.
Masyarakat yang mula memahami kepentingan merancang harta hari ini mulai mencari-cari hibah sebagai kaedah terbaik bagi mereka membahagikan harta ketika masih hidup.
Atas sebab disiplin penyelidikan ilmiah yang agresif, patuh Syariah dan istiqamah, Wasiyyah telah membangunkan pelbagai perkhidmatan hibah yang meliputi harta seperti hibah hartanah sama ada bercagar atau tidak bercagar, hibah untuk saham perniagaan Sdn. Bhd. atau Berhad, hibah untuk barang kemas, hibah untuk akaun pelaburan saham amanah, hibah saham koperasi, hibah untuk pelaburan private equity atau private mandate, hibah untuk akaun pelaburan CDS di Bursa Malaysia, hibah untuk barang berharga, hibah untuk kenderaan dan hibah untuk akaun bersama di bank.
Beberapa perkhidmatan hibah yang inovatif namun patuh Syariah juga sedang agresif dibangunkan dan akan diperkenalkan kepada masyarakat dalam jangka masa terdekat.
Sejak 2004, kami telah membelanjakan lebih daripada RM2 juta dalam usaha berkaitan penyelidikan dan pembangunan (R&D) perkhidmatan kami. Ia merupakan bukti komitmen dan keseriusan kami dalam memastikan apa yang kami tawarkan adalah patuh Syariah dan boleh dikuatkuasakan mengikut undang-undang.
Kesemua perkhidmatan yang dibangunkan ini pula mempunyai SOP dan tatacara kerja yang unik kerana setiap harta itu sifatnya unik dan ada undang-undang tertentu yang mengawalselianya. Namun yang lebih mencabar ialah setiap seorang daripada 50,000 orang pelanggan yang telah membuat hibah dengan Wasiyyah ini juga mempunyai situasi yang unik.
Sejak 2004, Wasiyyah telah berusaha keras memastikan apa sahaja yang kami lakukan menepati kerangka kepatuhan Syariah dan SOP yang telah ditetapkan oleh Panel Syariah Wasiyyah. Kerana kerencaman jenis harta dan situasi unik setiap pelanggan, aplikasi kedua-dua standard ini lebih mudah diperkatakan daripada dilaksanakan.
Namun begitu, di atas pengalaman kami melalui pelbagai kerencaman inilah menjadikan Wasiyyah sebagai syarikat amanah patuh Syariah paling berpengalaman dengan rekod prestasi terbaik di Malaysia dalam urusan hibah.
Kami telah berdepan dengan pelbagai situasi yang menjadikan kami lebih faham bagaimana untuk berdepan dengan situasi penghartaan umat Islam yang semakin mencabar dari hari ke hari.
Kenapa rekod prestasi itu penting dari perspektif perkembangan undang-undang?
Apabila anda merancang pembahagian harta melalui kaedah hibah, anda perlu faham bahawa proses pengesahan hibah ini perlu dilakukan di Mahkamah Syariah manakala penguatkuasaannya pula dibuat melalui undang-undang Sivil.

Walaupun secara umumnya Mahkamah Syariah itu terletak di bawah penyeliaan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) yang berpusat di Putrajaya, namun setiap negeri tertakluk kepada peruntukan fatwa atau enakmen yang berkaitan di negeri masing-masing.
Dalam erti kata lain, 14 negeri ini akan mempunyai ciri-ciri unik tersendiri dalam proses pengesahan hibah. Cabaran ini bertambah apabila ada antara negeri-negeri ini sudah pun mempunyai enakmen hibah atau sedang dalam proses membangunkan enakmen hibah sendiri.
Atas sebab dinamika perubahan dan kerencaman undang-undang inilah anda perlu pastikan pihak yang menyediakan dokumen hibah dan melaksanakan proses pengesahannya ialah pihak yang berpengalaman dan mempunyai rekod prestasi terbukti di seluruh Malaysia.
Wasiyyah menepati ciri-ciri ini kerana demografi pelanggan kami yang berselerak di seluruh Malaysia mendorong kami membuat sesi libat urus dengan kesemua 14 Mahkamah Syariah negeri sejak 21 tahun lalu. Sebagai peneraju industri, kami juga sentiasa mendapat maklumat tentang perkembangan undang-undang yang terbaru.
Kenapa rekod prestasi itu penting dari perspektif kes yang sudah terbukti?
Apabila anda ingin menyediakan hibah, anda perlu lihat rekod prestasi kejayaan syarikat amanah yang anda pilih dalam menguruskan kes-kes hibah mereka.
Urusan perancangan harta ini bukanlah ibarat urusan membeli makanan. Penyedia makanan memang akan mempromosikan bahawa makanannya sedap. Jika anda membeli makanan itu dan mendapati rasanya tidak sesedap seperti dipromosikan, anda boleh sahaja tidak membeli lagi makanan itu pada masa hadapan.
Namun bagi urusan hibah, jika anda sudah pun membuat dokumen hibah, ia hanya akan diketahui boleh berkuat kuasa atau tidak selepas anda meninggal dunia. Proses ini mungkin akan berlaku 5 tahun, 10 tahun ataupun 30 tahun yang akan datang.
Pastinya anda tidak boleh bangkit daripada kubur untuk membuat dokumen hibah yang baharu dengan syarikat yang baharu jika proses ini gagal dilaksanakan ketika itu! Kerana itulah anda perlu benar-benar pastikan bahawa syarikat amanah yang anda berurusan itu mempunyai rekod prestasi kes-kes yang sudah pun terbukti.
Dengan status sebagai pelopor hibah di Malaysia serta perintah pengesahan hibah pertama daripada Mahkamah Syariah yang diperoleh seawal 2005, Wasiyyah jelas memenuhi kriteria sebagai penyedia dan pelaksana hibah yang mempunyai rekod prestasi terbaik.

Dokumen hibah kami pernah dicabar dan dibuktikan sah oleh Mahkamah Syariah. Lebih daripada 400 perintah pengesahan hibah yang telah kami peroleh sejak 21 tahun lalu ialah testimoni kepada keberkesanan hibah yang disediakan Wasiyyah. Jadi anda tidak perlu merasa ragu-ragu apabila menggunakan perkhidmatan hibah Wasiyyah.
Anda boleh memilih untuk membuat dokumen hibah dengan mana-mana pihak pun, baik individu ataupun organisasi. Setiap pihak ini pastinya mempunyai kelebihan masing-masing sama ada dari sudut caj mahupun perkhidmatan.
Namun saya suka untuk mengingatkan para pembaca bahawa faktor terpenting yang mesti anda ambil kira dalam memilih organisasi atau individu yang akan menyediakan atau melaksanakan dokumen hibah anda ialah REKOD PRESTASI YANG TERBUKTI. - DagangNews.com
KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH









