Syariah Islam bukanlah satu sistem yang gagal, lapuk atau tidak relevan dengan realiti semasa. Sebaliknya, cabaran sebenar yang kita hadapi hari ini ialah bagaimana prinsip dan hukum Syariah yang telah dipersetujui keabsahannya diterjemahkan ke dalam sistem pelaksanaan yang berfungsi, mudah difahami dan memberi manfaat nyata kepada masyarakat.
Tanpa sistem yang berkesan, maqasid Syariah berisiko kekal sebagai wacana akademik, bukannya realiti yang membentuk kesejahteraan kehidupan umat.
Perbincangan ini menuntut kita keluar daripada perbahasan sama ada sesuatu amalan itu sekadar sah atau tidak di sisi hukum, kepada persoalan yang lebih mendasar: adakah pelaksanaan hukum tersebut benar-benar melindungi agama, nyawa, akal, keturunan dan harta?
Di sinilah jurang antara fatwa dan sistem pelaksanaan perlu dinilai dengan jujur dan bertanggungjawab.
Perbincangan kita minggu ini agak akademik tetapi kritikal. Bentuk penulisan kali ini lebih ilmiah namun pragmatis. Saya memohon para pembaca membaca dengan perlahan dan melakukan refleksi terhadap apa yang cuba saya sampaikan.
Sepanjang hampir tiga dekad saya terlibat dalam pembangunan perancangan harta secara Syariah di Malaysia, saya sering merenung bagaimana prinsip Syariah, khususnya dalam industri yang saya ceburi, dapat diterjemahkan ke dalam bentuk praktis yang relevan, berfungsi dan memberi manfaat menyeluruh kepada masyarakat.
Renungan ini membawa saya kepada satu kesimpulan penting: inovasi dalam Syariah bukan sekadar soal mematuhi hukum, tetapi juga soal memastikan maqasid Syariah — perlindungan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta — benar-benar dapat dicapai dalam kehidupan nyata.
Institusi fatwa dan para ulama, termasuk Panel Syariah di Wasiyyah, memainkan peranan penting dalam memastikan setiap inovasi berada di landasan Syariah yang betul. Mereka menetapkan sempadan, memberi panduan hukum dan menjadi rujukan utama dalam menilai keabsahan sesuatu amalan.
Antara Fatwa dan Sistem: Jurang yang Perlu Dijambatani
Peranan institusi fatwa dan ulama amat penting bagi menjamin setiap inovasi menghormati prinsip dan tujuan Syariah.
Namun, di samping kepatuhan hukum, realiti moden menuntut pembangunan satu sistem atau prosedur operasi standard (SOP) yang memudahkan masyarakat mengamalkan hukum tersebut agar maqasid Syariah benar-benar dapat direalisasikan, bukan sekadar menjadi topik perbincangan di atas kertas atau dibentangkan di seminar semata-mata.
Fatwa memberi jawapan kepada soalan “Adakah sesuatu perkara itu sah dan patuh Syariah?”, manakala sistem membantu menjawab soalan “Bagaimana ia boleh dilaksanakan dengan berkesan, mudah difahami dan memberi manfaat sebenar kepada masyarakat?”
Apabila kedua-duanya berjalan seiring, masyarakat bukan sahaja mematuhi hukum, tetapi turut menikmati maslahah yang melindungi kesejahteraan mereka, selaras dengan tujuan maqasid Syariah.
Sejarah Islam sendiri memperlihatkan pendekatan yang seimbang antara prinsip dan pelaksanaan. Rasulullah SAW bukan sekadar menyampaikan hukum, tetapi membina struktur dan mekanisme yang membolehkan hukum tersebut diamalkan secara praktikal.
Pasar Madinah, pengurusan zakat dan sistem pentadbiran masyarakat berjalan dalam satu kerangka yang tersusun. Struktur ini memastikan keadilan, amanah dan manfaat dapat dicapai, iaitu pencapaian maqasid Syariah secara praktikal.
Pendekatan ini menunjukkan bahawa sejak awal, Syariah tidak pernah terpisah daripada sistem pelaksanaan yang tersusun dan berfungsi. Hukum dan sistem berjalan seiring demi mencapai keadilan sosial dan kesejahteraan umat.
Realiti Perancangan Harta: Hukum Ada, Sistem Tertinggal
Dalam bidang perancangan harta secara Syariah, walaupun fatwa dan pandangan ulama berkaitan hibah, wasiat dan faraid telah lama wujud sama ada di Malaysia mahupun di peringkat antarabangsa, pengalaman saya di lapangan menunjukkan bahawa sistem atau SOP pelaksanaannya masih agak ketinggalan dan, jika pun ada, tidak mesra masyarakat.
Ramai umat Islam memahami kepentingan perancangan harta, namun mereka memerlukan sistem yang memudahkan urusan tersebut — mudah, sah dan memberi manfaat kepada semua waris.
Tanpa sistem yang berkesan, niat yang baik mungkin tidak mencapai matlamat sebenar, termasuk perlindungan harta, keharmonian keluarga dan keadilan antara waris, yang kesemuanya merupakan sebahagian daripada maqasid Syariah.
Dalam keadaan ini, kelemahan bukan terletak pada hukum, tetapi pada cara hukum itu diterjemahkan dalam kehidupan seharian masyarakat.
Inovasi Digital sebagai Pemudah Cara Maqasid
Pengalaman saya memimpin Wasiyyah Shoppe Berhad sejak tahun 2004 telah memperkukuh kefahaman ini. Kami mendapati bahawa inovasi Syariah bukan sahaja tentang mematuhi hukum, tetapi juga memastikan hukum tersebut memberi kesan yang nyata terhadap kesejahteraan manusia melalui strategi digital yang inovatif dan memudahkan.
Atas dasar inilah, Wasiyyah tidak pernah berhenti berinovasi, yang membawa kepada pengenalan Usra Hibah Digital Document (UsraHDD), iaitu aplikasi mudah alih akad hibah tanpa kertas yang pertama di dunia, pada tahun 2023.
Sehingga artikel ini ditulis, lebih 10,000 orang Islam telah mendapat manfaat daripada sistem ini.
Sistem ini membolehkan pelaksanaan akad hibah dilakukan secara digital, selamat, teratur dan mudah diakses oleh masyarakat, sekali gus memastikan perlindungan harta, keadilan antara waris dan amanah dapat dijaga, yang semuanya merupakan manifestasi praktikal pencapaian maqasid Syariah.
Teknologi seperti UsraHDD bukan sekadar alat untuk mempercepatkan proses, tetapi juga menjadi pemangkin kepada penegakan tujuan Syariah dalam kehidupan sebenar.
Ia membantu mengukuhkan tadbir urus, meningkatkan ketelusan dan memudahkan pematuhan, sekali gus menyokong kesejahteraan keluarga, integriti dokumen dan perlindungan hak semua pihak yang terlibat.
Berani Berinovasi, Berpegang pada Prinsip
Saya akui usaha ini bukan sesuatu yang mudah. Kami dikritik hebat kerana melakukan sesuatu yang tidak pernah dibuat di Malaysia, iaitu penggunaan dokumen digital.
Namun, kami tetap tegar mempertahankan pandangan bahawa dokumen digital ini adalah sah mengikut hukum Syarak. Hakikat bahawa tiada pihak melakukannya sebelum ini tidak bermakna ia tidak sah.
Tambahan pula, teknologi ini telah diluluskan oleh Panel Syariah Wasiyyah selepas melalui proses penyelidikan dan pembangunan selama hampir dua tahun.
Alhamdulillah, hari ini Wasiyyah telah memperoleh beberapa perintah pengesahan hibah daripada Mahkamah Syariah yang mengesahkan bahawa akad hibah yang dilaksanakan melalui sistem ini adalah patuh Syariah dan sah dari segi hukum Syarak.
Kerjasama Ulama dan Pelaksana: Kunci Inovasi Mampan
Inovasi Syariah yang mampan memerlukan kerjasama dan sokongan harmoni daripada pelbagai pihak. Ulama, institusi fatwa dan Panel Syariah syarikat menyediakan panduan dan prinsip, manakala institusi pelaksana seperti Wasiyyah menterjemahkan panduan tersebut ke dalam sistem yang boleh berfungsi dalam kehidupan seharian.
Hubungan yang saling melengkapi ini memastikan setiap inovasi bukan sahaja sah dari segi hukum, tetapi juga memberi manfaat sebenar, seiring dengan matlamat maqasid Syariah.
Pendekatan berasaskan maqasid membantu kita menilai keberkesanan sesuatu inovasi bukan hanya dari segi keabsahan, tetapi juga dari segi kesannya terhadap kesejahteraan masyarakat.
Adakah sistem ini memudahkan urusan masyarakat dan waris mereka? Adakah ia mengurangkan konflik dan kebimbangan? Adakah ia melindungi harta dan kepentingan semua pihak? Adakah ia memudahkan proses pengurusan harta pusaka?
Dengan mengemukakan soalan-soalan ini, kita memastikan setiap usaha inovasi Syariah benar-benar memberi manfaat sejati — menjaga agama, akal, nyawa, keturunan dan harta.
Dari Hukum kepada Kesejahteraan
Kesimpulannya, inovasi dalam Syariah bukanlah pertentangan antara fatwa dan sistem, dan bukan juga pertembungan antara golongan konservatif dan kontemporari.
Sebaliknya, ia merupakan satu perjalanan bersama untuk memastikan hukum Syariah memberi manfaat yang nyata dan realistik dalam kehidupan manusia.
Fatwa berperanan sebagai panduan, manakala sistem berfungsi sebagai alat pelaksanaan dan pemudah cara.
Apabila kedua-duanya digabungkan dengan baik, Syariah akan terus relevan, ditegakkan secara berkesan dan mencapai maqasidnya — iaitu kesejahteraan individu, keluarga dan masyarakat — selaras dengan tujuan yang ditetapkan oleh Allah SWT. - DagangNews.com
KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH









