Sejak awal lagi, saya sedar bahawa memilih kepimpinan berteraskan Syariah bukanlah satu pilihan yang popular. Ia bukan jalan yang dipenuhi sokongan tanpa soal, bukan juga laluan yang menjanjikan keselesaan emosi atau tepukan khalayak.
Sebaliknya, ia adalah jalan yang sering sunyi, penuh pertanyaan dan memerlukan keteguhan dalaman yang berpanjangan. Namun, dengan penuh kesedaran, saya tetap memilihnya.
Dalam hampir tiga dekad saya terlibat secara langsung dalam dunia perancangan harta Islam di Malaysia, dan lebih dua dekad memimpin Wasiyyah Shoppe Berhad sejak tahun 2004, saya mempelajari satu hakikat yang tidak pernah berubah, iaitu kepimpinan berteraskan Syariah bukan tentang populariti, tetapi tentang amanah.
Namun sebelum itu, saya ingin menekankan satu perkara yang jarang diketahui ramai. Latar belakang saya sebenarnya bukan dalam bidang Syariah. Saya datang dari dunia perbankan, di mana angka, risiko dan proses menjadi nadi utama.
Saya bukan sarjana Syariah dan pada awalnya, ramai yang bersikap skeptikal terhadap saya apabila saya mula memperjuangkan prinsip-prinsip Syariah dalam pengurusan harta dan kepimpinan.
Mereka bertanya, “Bagaimana seorang bekas banker boleh memahami kedalaman Syariah dan maqasidnya?”
Pertanyaan itu wajar, malah kritikan terhadap saya pada waktu itu lebih keras kerana mereka meragui kredibiliti dan niat saya. Skeptisisme ini menjadikan perjalanan saya lebih sunyi, tetapi juga lebih berharga.
Dari Dunia Perbankan ke Amanah Syariah
Apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan kepimpinan berteraskan Syariah?
Bagi saya, kepimpinan berteraskan Syariah bukan sekadar memastikan sesuatu keputusan itu “patuh hukum” dari sudut teknikal. Ia jauh lebih mendalam. Ia merupakan pendekatan kepimpinan yang meletakkan Syariah sebagai kerangka nilai, prinsip, tujuan dan arah, bukan sekadar sebagai sempadan halal dan haram.
Pendekatan ini menuntut pemimpin melihat sesuatu keputusan bukan hanya dari sudut keuntungan, kecekapan atau penerimaan pasaran, tetapi dari sudut maqasid Syariah, iaitu kesannya terhadap agama, nyawa, akal, keturunan dan harta manusia.
Dalam metod kepimpinan ini, soalan yang sering diajukan bukanlah “bolehkah kita lakukan?”, tetapi “patutkah kita lakukan?”. Bukan sekadar “sah atau tidak sah?”, tetapi “adil atau tidak adil?”, “memudahkan atau membebankan?”, “menenangkan atau mencetuskan konflik?”.
Kepimpinan berteraskan Syariah menuntut pemimpin bertanggungjawab bukan hanya kepada pemegang kepentingan hari ini, tetapi juga kepada waris, masyarakat dan generasi akan datang.
Apabila Prinsip Tidak Selari dengan Populariti
Pendekatan inilah yang menjadikan perjalanan kepimpinan itu sering sunyi.
Kesunyian itu tidak hadir kerana ketiadaan tindakan, tetapi kerana keberanian untuk membuat keputusan yang tidak selari dengan kebiasaan. Apabila seorang pemimpin memilih untuk berpaut kepada prinsip, maqasid dan maslahah jangka panjang, dia harus bersedia untuk tidak seiring dengan kehendak pasaran, tekanan industri atau emosi awam.
Di sinilah jarak mula terbentuk; jarak antara prinsip dan populariti, antara amanah dan keselesaan. Skeptisisme masyarakat terhadap saya sebagai “bekas banker” menambahkan beban ini kerana mereka meragui niat saya.
Ada ketika saya dilabel terlalu tegas. Ada masa pula saya dianggap terlalu idealistik dan “mendahului zaman”. Istilah ini sering digunakan bukan sebagai pujian, tetapi sebagai sindiran, seolah-olah apa yang dilakukan terlalu awal, terlalu berisiko atau terlalu jauh daripada kebiasaan masyarakat.
Namun, saya belajar bahawa dalam kepimpinan berteraskan Syariah, mendahului zaman sering kali bermaksud mendahului kefahaman umum, bukan mendahului hukum.
Inovasi Syariah dan Ujian Skeptisisme
Salah satu pengalaman paling jelas tentang hal ini ialah pembangunan dan pelaksanaan aplikasi dokumen digital hibah pada tahun 2023. Pada ketika itu, idea untuk melaksanakan akad hibah secara digital, tanpa kertas, melalui sistem yang tersusun dan selamat, dianggap sesuatu yang terlalu radikal.
Kritikan datang bertubi-tubi. Ada yang mempersoalkan kesahihan hukumnya. Ada yang menyatakan ia bercanggah dengan tradisi. Tidak kurang juga yang menuduh kami mencemarkan kesucian Syariah hanya kerana menggunakan teknologi.
Skeptisisme ini menjadi lebih kuat kerana saya bukan berlatarbelakangkan Syariah, tetapi perbankan. Ramai yang menganggap saya tidak “layak” atau tidak cukup berkelayakan untuk memimpin inovasi Syariah.
Hakikatnya, kritikan tersebut tidak datang kerana ketiadaan asas Syariah, tetapi kerana tiada siapa pernah melakukannya sebelum ini. Dalam banyak keadaan, sesuatu yang baharu sering ditolak bukan kerana ia salah, tetapi kerana ia mencabar kebiasaan.
Di sinilah saya benar-benar memahami bahawa kepimpinan berteraskan Syariah menuntut keberanian intelektual dan keteguhan spiritual; keberanian untuk mempertahankan kebenaran walaupun ia belum diterima secara meluas.

Syariah Tidak Terikat pada Bentuk, Tetapi Tujuan
Keputusan membangunkan sistem dokumen digital hibah bukan dibuat secara tergesa-gesa. Ia melalui proses penyelidikan dan pembangunan yang panjang, perbincangan mendalam dengan Panel Syariah, serta penelitian terhadap rukun dan syarat hibah, mekanisme akad, saksi, dokumentasi dan tadbir urus.
Pendekatan ini berpaksikan satu keyakinan asas: Syariah tidak terikat pada bentuk, tetapi terpelihara melalui prinsip dan tujuan.
Namun, memilih jalan ini bermakna saya harus bersedia menanggung kesunyian. Tidak ramai yang berdiri di sisi apabila keputusan itu diumumkan. Sokongan datang secara perlahan, senyap dan berhati-hati. Dalam masa yang sama, suara-suara yang mempertikai lebih lantang dan terbuka.
Di sinilah saya benar-benar memahami bahawa kepimpinan berteraskan Syariah bukan sekadar soal ilmu, tetapi soal ketahanan jiwa dan keikhlasan niat.
Kesunyian sebagai Harga Amanah Jangka Panjang
Kesunyian itu semakin terasa apabila kita sedar bahawa keputusan yang dibuat bukan untuk kepentingan jangka pendek, tetapi untuk manfaat jangka panjang umat. Sistem digital hibah ini dibangunkan bukan semata-mata untuk kecekapan organisasi, tetapi untuk memudahkan umat Islam melaksanakan amanah harta secara sah, teratur dan mengurangkan konflik waris.
Namun, manfaat seperti ini jarang dapat dilihat serta-merta, dan inilah yang menjadikan perjalanan itu sunyi.
Kepimpinan berteraskan Syariah juga menuntut pemimpin berani berkata “tidak” kepada jalan pintas walaupun ia lebih menguntungkan. Ia menuntut kesabaran terhadap proses walaupun hasilnya lambat. Ia menuntut ketegasan mempertahankan prinsip walaupun kita terpaksa berdiri sendirian buat seketika.
Dalam semua ini, kesunyian bukan tanda kegagalan, tetapi tanda bahawa keputusan itu dibuat dengan penuh tanggungjawab.
Ketenangan Jiwa dan Keyakinan pada Maqasid
Namun, di sebalik kesunyian itu, saya menemui satu nikmat yang tidak dapat ditukar dengan apa pun, iaitu ketenangan jiwa. Ketenangan kerana mengetahui bahawa setiap keputusan yang dibuat dengan niat menjaga maqasid Syariah bukan sahaja menatijahkan kecekapan operasi, malah memberi kesan kepada keberkesanan pengurusan amanah yang diberikan masyarakat kepada Wasiyyah.
Saya percaya, pemimpin yang memilih kepimpinan berteraskan Syariah mesti bersedia melalui perjalanan jauh yang serba mencabar.
Bersedia kehilangan sokongan jangka pendek demi membina kepercayaan jangka panjang. Bersedia disalahfahami kerana kebenaran sering memerlukan masa untuk diterima. Dan bersedia dianggap mendahului zaman kerana perubahan yang betul jarang berlaku seiring dengan penerimaan segera.
Hari ini, apabila saya melihat aplikasi dokumen digital hibah yang suatu ketika dahulu dikritik hebat kini mula diterima dan memberi manfaat kepada ribuan umat Islam, saya semakin yakin bahawa kesunyian itu ada nilainya. Ia adalah harga yang perlu dibayar untuk memastikan Syariah terus relevan, berfungsi dan memberi manfaat sebenar dalam realiti moden.
Jalan Sunyi yang Dipilih dengan Sedar
Akhirnya, saya memilih kepimpinan berteraskan Syariah bukan kerana ia mudah, tetapi kerana ia benar. Saya memilihnya bukan kerana ingin dipuji, tetapi kerana ingin menunaikan amanah.
Dan jika pilihan ini menuntut saya berjalan di laluan yang sunyi, malah dianggap mendahului zaman, saya menerimanya dengan penuh kesedaran dan reda.
Kerana dalam kesunyian itulah prinsip diuji, amanah dipelihara dan maqasid Syariah terus hidup, bukan sekadar dalam wacana, tetapi dalam sistem dan realiti kehidupan manusia. - DagangNews.com
KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH









