Setiap kali PKR bercakap soal prinsip, reformasi dan ketelusan, rakyat cuba percaya. Tapi bila tiba masa menguji prinsip dalam pemilihan parti sendiri, yang tinggal cuma nostalgia perjuangan dan nama-nama besar yang berlegar dalam orbit kuasa.
Tahun 2025 bukan sekadar pemilihan dalaman. PKR kini mengetuai kerajaan. Jika dalam parti pun keliru menentukan pemimpin, bagaimana rakyat boleh percaya mereka layak mentadbir negara?
Meritokrasi Tidak Berkait Dengan Nama Keluarga
Dalam siri jelajah ini, Rafizi Ramli turun padang, membawa naratif rakyat secara langsung. Nurul Izzah pula hanya muncul secara sporadik. Walau begitu, beliau masih dianggap sebagai simbol perpaduan.
Adakah ini kerana Nurul Izzah anak kepada Presiden? PKR perlu jelas. Jawatan parti bukan untuk diwarisi, tetapi untuk digalas oleh mereka yang mampu bekerja serta membuktikan keupayaan.
Jika PKR masih memilih berdasarkan nama keluarga, rakyat tidak lagi teragak-agak melabelkannya sebagai parti keluarga.
Angka Berbicara, Siapa Mahu Mendengar?
Siri HIRUK yang dibawa oleh Rafizi Ramli menghidangkan angka kejatuhan sokongan dengan nada tegas.
Demografi | PRU15 (%) | 2025 (%) | Perubahan |
Melayu | 33 | 27 | -6 |
Cina | 63 | 31 | -32 |
India | 69 | 31 | -38 |
Gen Z (18–25) | 42 | 8 | -34 |
Undi Melayu menurun 6%, pengundi Cina dan India menyusut lebih 30%, manakala segmen Gen Z merosot dari 42% kepada 8%.
Di hujung pembentangan, hadir satu kesimpulan kontroversi; bahawa pengundi Cina dan India tidak akan keluar mengundi sekiranya tiada perubahan dalam parti.
Kenyataan ini terlalu mutlak untuk realiti politik yang tidak pernah statik. Tingkah laku pengundi bukan persamaan linear dan sesuatu yang boleh diramal seakan algoritma.
Tahun 2013 menyaksikan tsunami sokongan Cina, tahun 2018 mencatat kebangkitan pengundi bandar, manakala tahun 2022 menyaksikan lonjakan undi muda kepada PAS. Sifat pengundi Malaysia bukan hitam putih. Mereka bergerak mengikut keyakinan, bukan jangkaan.
Statistik harus dijadikan panduan, bukan jaminan. Ia alat tafsiran, bukan alat tekanan. Apabila angka digunakan untuk mewajarkan naratif dalaman atau mengunci hala tuju pemilihan, analisis berubah menjadi manipulasi.
Politik bukan semata-mata angka. Ia gabungan emosi, persepsi, dan keyakinan yang sentiasa berubah.
Rakyat Hilang Keyakinan, Bukan Hilang Akal
Perubahan paling ketara dalam landskap politik adalah persepsi generasi muda terhadap isu rasuah. Data dari jelajah HIRUK memperlihatkan jurang kepercayaan yang kian melebar dalam kalangan pengundi muda dan milenial.
Siapa Lebih Serius Perangi Rasuah? | Gen Z (%) | Milenial (%) |
PAS | 29 | 26 |
PKR | 8 | 21 |
Angka ini tidak mencerminkan sokongan mutlak kepada PAS. Sebaliknya, ia mencerminkan kekecewaan yang mendalam terhadap PKR.
Retorik reformasi sudah hilang taring apabila janji-janji besar gagal ditunaikan. Agenda reformasi GLC senyap tanpa jejak, perundangan pembiayaan politik masih tergantung, dan jerung rasuah masih tidak terusik.
Isu ini turut dikuatkan oleh laporan Indeks Persepsi Rasuah 2024 yang mengekalkan Malaysia pada kedudukan ke-57 dengan skor 50/100. Transparency International Malaysia pula melaporkan 71% rakyat percaya rasuah dalam kerajaan kekal sebagai masalah serius yang belum ditangani secara berkesan.
Naratif Ketakutan: Strategi Lama, Dunia Baru
HIRUK sepatutnya menjadi pentas kebangkitan semula. Ia wajar berfungsi sebagai ruang menyusun kekuatan, memperbaharui hala tuju dan menyuntik semula keyakinan akar umbi terhadap idealisme reformasi. Sepatutnya ia menjadi wadah untuk menilai keupayaan calon secara terbuka, berdasarkan prinsip, bukan persepsi.
Sebaliknya, HIRUK telah dijadikan medan menyebarkan naratif ketakutan. Terdengar suara-suara yang berkata, jika tersalah pilih calon, kestabilan kerajaan bakal tergugat. PRU16 disebut sebagai taruhan. Parti seolah-olah tidak lagi yakin dengan nilai rasional dalam pemilihan dalaman.
Lebih aneh, nama Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, tiba-tiba menjadi simbol ancaman dalam wacana parti sendiri. Seakan-akan pemilihan Timbalan Presiden PKR akan menentukan nasib negeri Kedah atau keselamatan kerajaan persekutuan.
Sanusi bukan calon dalam pertandingan parti. Mengangkat namanya dalam kempen hanya mendedahkan kegagalan untuk menyusun strategi berdasarkan kekuatan sendiri.
Ini bukan politik berprinsip. Ini petanda parti sedang ketandusan arah dan cuba menyatukan penyokong melalui rasa takut, bukan hujah.
Apa Erti Kemenangan?
Jika Rafizi menang, sedikit sebanyak persepsi nepotisme boleh diredakan. Jika Izzah menang, PKR harus sedia dilabel sebagai parti keluarga sepenuhnya.
Hakikatnya, rakyat tidak peduli siapa yang menang. Mereka hanya bertanya tentang janji PADU, tentang jerung rasuah yang masih bebas, tentang subsidi serta kos sara hidup yang terus meningkat.
Siapa pun yang menang, jika isu ini tidak diselesaikan, rakyat tetap akan kecewa.
PRU16 Bukan Peluang Kedua
Jika PKR masih menganggap PRU16 sebagai medan menjanjikan harapan baru, mereka silap besar. Data menunjukkan:
- 15 kerusi campuran bakal hilang kalau trend ini kekal.
- Perikatan Nasional (PN) makin kukuh dalam kalangan pengundi muda dan separa bandar.
- Populariti Perdana Menteri juga dikatakan bawah 40%, walaupun belum ada angka rasmi. Tapi cukup untuk cipta panik.
Situasi ini jelas. PRU16 bukan lagi soal siapa kuat, tetapi siapa yang rakyat sudah tidak mahu.
Apa Yang Dipilih Hari Ini, Akan Dijawab Di Kertas Undi Esok
Pemilihan kali ini bukan soal memuaskan penyokong, tetapi tentang arah masa depan. Politik yang gagal membaca zaman akan menjadi fosil demokrasi.
Segala yang diputuskan hari ini bukan dinilai oleh ahli parti, tapi oleh mereka di luar pagar – yang kecewa, yang diam, yang menunggu untuk menghukum di kertas undi. - DagangNews.com








