Perjalanan Eksplorasi Pendigitalan Hibah Wasiyyah sejak 5 tahun lalu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Perjalanan Eksplorasi Pendigitalan Hibah Wasiyyah sejak 5 tahun lalu

Oleh ARIFFIN SABIRIN

Wasiyyah telah melancarkan versi hibah fintechnya, iaitu satu teknologi yang dibangunkan sendiri oleh anak-anak muda Malaysia di Wasiyyah pada 25 November 2025 yang lalu.

 

Soalan yang sering diajukan kepada saya ialah, “Mengapa perlu bersusah payah mentransformasikan kaedah membuat hibah kepada fintech? Bukankah kaedah Wasiyyah yang sedia ada sudah cukup baik dan patuh Syariah?”

 

Izinkan saya menjelaskan perspektif saya sebagai ‘orang tua’ dalam industri perancangan harta secara Syariah di Malaysia. Ya, sejak beroperasi pada tahun 2004, Wasiyyah ialah organisasi yang bertanggungjawab memperkenalkan kaedah hibah di Malaysia pada saat kebanyakan pemain industri masih rancak bercakap tentang wasiat.

 

Konsep hibah ini bukanlah saya yang memperkenalkannya. Saya hanyalah pentadbir organisasi yang berlatarbelakangkan pengurusan dan pemasaran.

 

Panel Syariah pertama Wasiyyah yang diketuai oleh mantan Mufti Johor, Dato’ As-Sheikh Nooh bin Gadut, ialah pihak yang bertanggungjawab membantu Wasiyyah membangunkan kaedah hibah tersebut.

 

Dengan bantuan ahli Panel Syariah lain yang terdiri daripada tokoh-tokoh Syariah dan undang-undang yang berpengalaman serta dihormati, kami dengan teliti membangunkan spesifikasi dan SOP hibah yang terawal di Malaysia pada tahun 2004.

 

Perintah pengesahan hibah daripada Mahkamah Tinggi Syariah Alor Setar pada tahun 2005 pula ialah perintah pertama yang kami peroleh, membuktikan bahawa kaedah hibah yang dilaksanakan Wasiyyah adalah patuh Syariah dan boleh berkuat kuasa.


 

wasiyyah

Penekanan terhadap Kepatuhan Syariah

Sejak awal penubuhan, Wasiyyah sangat menekankan kepatuhan Syariah dalam pelaksanaan hibah. Rukun dan syaratnya mesti dipatuhi dengan ketat. Panel Syariah kami memperkenalkan kaedah akad hibah yang memerlukan kehadiran fizikal pemberi, penerima hibah dan saksi.

 

Sighah-nya mesti berturutan antara ijab dan qabul supaya tidak terselang. Lafaz akad hibah mesti disebut dengan jelas dan dirakamkan secara video. Saksi juga perlu melafazkan bahawa mereka secara nyata telah menyaksikan akad antara pemberi dan penerima hibah.

 

Hanya selepas rakaman lafaz akad dibuat, sesi menandatangani dokumen hibah dijalankan, dan ia juga dirakamkan dalam video. Selain dokumen hibah bertulis, video ini yang disimpan dalam arkib digital Wasiyyah turut bertindak sebagai bukti ketika perbicaraan pengesahan hibah di Mahkamah Syariah.

 

Permulaan Perjalanan Digitalisasi Wasiyyah

Walaupun sesi akad hibah ini merupakan kaedah terbaik yang diamalkan Wasiyyah sejak 2004, kaedah ini menghadapi kesukaran ketika pandemik Covid-19. Atas kebimbangan peningkatan kematian, masyarakat berebut-rebut ingin membuat hibah kerana memahami keberkesanannya berbanding wasiat.

 

Namun sesi akad hibah secara fizikal tidak dapat dilaksanakan kerana kekangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Maka saya bersama pasukan mencari idea agar akad hibah tetap boleh dilaksanakan walaupun pemberi, penerima hibah dan saksi berada di lokasi berbeza.

 

Pengenalan Kaedah Akad Hibah Melalui Televideo

Selepas beberapa bulan bertungkus-lumus, Wasiyyah memperkenalkan kaedah akad hibah melalui televideo pada Jun 2020, iaitu tiga bulan selepas PKP dikuatkuasakan. Kaedah ini membolehkan pemberi, penerima hibah dan saksi berada dalam satu sesi akad hibah secara televideo.

 

Mereka melafazkan akad dalam rakaman televideo tersebut. Video disimpan sebagai bukti kewujudan akad hibah. Kaedah ini terbukti sah, dan Wasiyyah menerima pengesahan Mahkamah Syariah Selangor pada tahun 2022.

 

Namun demikian, kami mendapati kaedah ini turut mempunyai kelemahan. Jika lafaz akad antara pemberi dan penerima atau penyaksian tidak jelas atau tersekat akibat talian internet yang tidak stabil, rakaman perlu dilakukan semula. Akibatnya, ada sesi rakaman akad hibah yang memakan masa beberapa jam!

 

Pengenalan Kaedah Akad Hibah Melalui Aplikasi UsraHDD

Wasiyyah terus mencari idea untuk memudahkan lagi pelaksanaan akad hibah. Dengan usaha anak-anak muda tempatan di Wasiyyah, kami memperkenalkan aplikasi mudah alih Usra Hibah Digital Document (UsraHDD) pada Mei 2023.

 

Aplikasi ini membolehkan pemberi, penerima hibah dan saksi berada dalam satu sesi akad hibah secara maya pada waktu sebenar melalui aplikasi UsraHDD. Lafaz ijab dan qabul boleh dilakukan dengan hanya menekan butang pada telefon bimbit.

 

Dokumen hibah kemudian disimpan secara digital dalam sistem storan awan. Ini ialah sistem akad hibah digital tanpa kertas pertama di dunia, selari dengan strategi ESG Wasiyyah yang mengutamakan pemeliharaan alam sekitar.

 

Ia jauh lebih pantas dan hanya memerlukan kurang 20 minit untuk diselesaikan, berbanding kaedah televideo yang mengambil masa beberapa jam. Sambutan masyarakat sangat baik, dan lebih daripada 10,000 orang telah menggunakan UsraHDD sejak dilancarkan pada 2023.

 

Hibah yang dibuat melalui UsraHDD juga mendapat pengesahan Mahkamah Syariah Johor dan Selangor yang mengesahkan bahawa kaedah ini diterima dan berkuat kuasa mengikut Hukum Syariah dan undang-undang Syariah di Malaysia.

 

 

wasiyyah

 


Pengenalan Akad Hibah Fintech

Wasiyyah bagaimanapun tidak pernah berhenti berinovasi. Kami mendapati masih terdapat ruang untuk penambahbaikan. Sekali lagi, pasukan anak-anak muda berkemahiran teknologi di Wasiyyah bertungkus-lumus membangunkan kaedah hibah fintech.

 

Melalui kaedah ini, pemberi boleh berijab hibah pada bila-bila masa – 24 jam sehari, 365 hari setahun. Sistem hibah fintech akan menerima qabul hibah bagi pihak Wasiyyah sebaik sahaja ijab disempurnakan oleh pemberi hibah. Harta kemudiannya akan diagihkan oleh Wasiyyah sebagai syarikat amanah kepada benefisiari mengikut kaedah dan formula yang dikehendaki pemberi hibah.

 

Sekali lagi, Wasiyyah mencatat sejarah kerana ini ialah kaedah hibah fintech pertama di dunia. Ia tanpa kertas, digital sepenuhnya, dan yang paling penting, pemberi hibah boleh melaksanakannya pada bila-bila masa tanpa kekangan.

 

Rekod demi Rekod Terus Dicipta

Sebagai penyedia hibah terbesar dan syarikat amanah paling berpengalaman di Malaysia dalam urusan hibah orang Islam, Wasiyyah terus mencipta rekod demi rekod. Namun saya sentiasa mengingatkan pasukan bahawa rekod bukanlah matlamat utama. Rekod tidak bermakna jika tidak memberi manfaat kepada masyarakat.

 

Keutamaan kami di Wasiyyah ialah membantu seramai mungkin orang Islam merancang harta secara Syariah, khususnya melalui kaedah hibah yang inovatif, mudah, namun tetap patuh Syariah.


 

wasiyyah

 


Kami faham bahawa masalah harta pusaka orang Islam semakin rumit untuk diselesaikan, dan hibah ialah salah satu cara berkesan untuk mengatasinya. Namun jika kita bergantung kepada kaedah hibah bertulis secara tradisional, ia amat merumitkan dan menjadi penghalang masyarakat untuk melaksanakannya.

 

Dengan teknologi ‘breakthrough’ yang inovatif, semangat berpasukan yang jitu, kepatuhan Syariah tanpa kompromi dan rekod perkhidmatan selama 21 tahun, Wasiyyah terus bergerak maju meneroka kaedah digital pelaksanaan hibah.

 

Harapan kami hanyalah satu – semoga Allah SWT menerima segala penat lelah kami sebagai amal kebaikan untuk dibawa ke akhirat. Aamiin. - DagangNews.com

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH

 

 

 

Ariffin Sabirin
Tn Hj Ariffin Sabirin adalah Pengasas, Presiden Kumpulan dan CEO Wasiyyah Shoppe Bhd