Pengaruh Penggunaan Bahasa dalam Hala Tuju Hidup | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pengaruh Penggunaan Bahasa dalam Hala Tuju Hidup

Oleh NINOT AZIZ

Yang merah itu saga,
     Yang kurik itu kundi;
Yang indah itu bahasa,
     Yang baik itu budi.

 

Bahasa merupakan aspek penting dalam kehidupan kita. Sejak kecil, cinta terhadap bahasa tumbuh dengan mendalam.

 

Sajak, pantun, dan hikayat menjadi teman dalam memahami dan meluahkan perasaan serta mencetus pemikiran.

 

Buku hikayat di gerobok lama seperti Malim Deman, Awang Sulong Merah Muda, dan Syair Siti Zubaidah turut memperkaya cinta terhadap khazanah warisan budaya.

 

Kehadiran bahasa tidaklah hanya terbatas pada bentuk klasik sahaja, malah dalam kegiatan menulis seperti rencana dan sajak turut menjadi kaedah untuk memperjelaskan fakta, buah pemikiran dan menajamkan hujah. Ini patut menjadi kelaziman supaya dapat meninggikan keupayaan berfikir dan berwacana. 

 

Sesungguhnya, penggunaan bahasa dalam penulisan yang baik merupakan satu kaedah melakar perjalanan dan cita-cita masa depan. Ia membolehkan kita merancang hala-tuju dengan wawasan dan menggapai kejayaan luarbiasa dengan melafazkan wawasan indah penuh semangat. 

 

Namun, di dunia hari ini, kita menyaksikan penggunaan bahasa yang terlalu santai dalam media seperti lagu, radio, dan iklan. Bahasa terlampau remeh dan kadangkala menjijikkan sering kali mendapat sorotan.

 

Malangnya, inilah yang menjadi ikutan dan aspirasi generasi muda. Adakah ini mencerminkan tahap tamadun kita pada masa kini. 

 

BUDAYA RASA RENDAH DIRI (INFERIORITY COMPLEX)

 

Gulai peria di bawah saji,
Piringnya retak terkena paku;
Berbudi bahasa amalan terpuji,
Mengapa tidak seiring laku? 
~ Radio Klasik

 

Apabila penguasaan bahasa lemah, mulalah perasaan rendah diri kurang keyakinan berleluasa.

 

Satu fenomena sosial yang semakin menular adalah kecenderungan bagi masyarakat memanggil individu dengan gelaran yang lebih tinggi seperti 'Tuan', tanpa mengambil kira pangkat atau status sebenar individu tersebut.

 

Pada mulanya, ini cumalah digunakan terhadap individu yang berpangkat ataupun berpengetahuan. Kini, kebiasaan ini menular digunakan pada sesiapa dalam masyarakat. 

 

Namun, pada satu masa dahulu, gelaran Encik sudah memadai untuk menunjukkan tanda hormat kepada mereka yang berjasa dan menjawat kedudukan tinggi. Panggilan Saudara itu pula menunjukkan kebersamaan dan sehaluan dalam hala-tuju. 

 

Namun, evolusi yang berlaku dalam penggunaan bahasa kini menunjukkan kecenderungan untuk memberi gelaran 'Tuan' secara meluas kepada sesiapa sahaja. Apakah impak dari kelaziman sebegini ini terhadap budaya dan nilai masyarakat kita?

 

Penggunaan gelaran 'Tuan' secara meluas ini bukan sekadar perubahan linguistik semata-mata. Ia juga memberi implikasi yang mendalam terhadap persepsi dan interaksi sosial.

 

Memberi gelaran 'Tuan' kepada seseorang boleh menimbulkan perasaan inferioriti kompleks serta jurang status yang dirasakan, yang seterusnya boleh menjadi punca kepada budaya taat setia buta tanpa pertimbangan yang sewajarnya.

 

Raden Mas dalam perahu
Kerbau berlaga dengan kuda
Tuan emas orang pun tahu
Kami tembaga mutunya muda
~ PTS

 

Di sisi lain, penerima gelaran 'Tuan' pula mungkin mengalami lonjakan rasa kepentingan diri dan kebanggaan yang berlebihan, sehingga menjauhkan diri daripada nilai-nilai kesederhanaan dan perkhidmatan.

 

Kita perlu sedar bahawa pemilihan kata dan gelaran bukanlah perkara remeh, tetapi mempunyai impak yang mendalam terhadap identiti dan sikap seseorang.

 

Pokok cempedak di tepi tangga,
Berbuah sebiji gugur tertuang.
Jangan mudan berasa bangga
Bila diri dipuji orang 
~ Dewan Bahasa dan Pustaka

 

Penerimaan gelaran tersebut mungkin menimbulkan perasaan bangga dan terhormat, tetapi tanpa disedari, ia boleh membawa kepada penjauhan diri dari landasan kesederhanaan dan perkhidmatan terutamanya dalam kalangan pemimpin dalam mana-mana orgaisasi.

 

Daya tarikan kemegahan sering kali mampu mengaburkan tugas dan tujuan seseorang, menyebabkan perpecahan dari nilai-nilai asas perkhidmatan dan tanggungjawab yang sepatutnya dipegang teguh.

 

Fenomena ini menekankan betapa pentingnya bahasa dan kecekapan penggunaannya dalam membentuk interaksi dan persepsi dalam masyarakat. 

 

Jangan sekali-kali kita mengabaikan kekuatan bahasa dalam mempengaruhi tingkah laku dan sikap kita. Sebaliknya, kita perlu berusaha mencipta wacana yang memupuk kesamarataan, pemahaman, dan saling hormat di kalangan individu.

 

Dengan memahami peranan bahasa sebagai medium untuk berhubung dan berinteraksi, kita dapat mencapai persefahaman yang lebih mendalam dan mewujudkan masyarakat yang harmoni dan sejahtera. 

 

Oleh itu, amalkanlah kecekapan dalam penggunaan bahasa untuk memupuk satu budaya dialog dan keserasian yang mampu memperkukuhkan ikatan di kalangan masyarakat.

 

Janganlah sikap mengagung-agungkan orang lain dalam peradaban umpama senjata memakan diri, merugikan bangsa, masyarakat dan  juga diri sendiri.

 

Tegak rumah kerana sendi,
   Runtuh sendi rumah binasa,
Tegak bangsa kerana budi,
   Runtuh budi hilanglah bangsa

 

Ninot Aziz merupakan Presiden Persatuan Sastera Lisan Malaysia 2023/2024 dan adalah penggiat seni serta kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Isnin.   Emel : [email protected]

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA

tnb