Minggu ini kita lari sedikit daripada cerita biasa tentang harta pusaka. Kita berkongsi tentang kepimpinan organisasi, iaitu salah satu daripada topik yang memang sangat menarik perhatian saya.
Sejak remaja, saya telah secara aktif terlibat dengan kepimpinan berorganisasi. Saya aktif sebagai Ketua Pengakap sekolah sehingga ditauliahkan sebagai Pengakap Diraja Johor pada tahun 1987.
Bagi saya, ini adalah kemuncak pencapaian kepimpinan ketika remaja kerana sijil ini sangat berharga dan tidak mudah untuk diperoleh. Ia merupakan satu-satunya sijil di Malaysia yang ditandatangani oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dan semua Raja Melayu di atas sekeping kertas.

Saya juga menjadi Pengerusi dan Exco kepada banyak persatuan di sekolah sehingga universiti. Pendedahan ini membantu saya untuk mengasah dan membangunkan kemahiran kepimpinan. Saya suka mengingatkan anak-anak muda supaya bergiat aktif dalam aktiviti kokurikulum kerana ia akan banyak membantu kita dalam kerjaya.
Pastinya pengalaman ini sangat membantu dalam urusan seharian saya memimpin Wasiyyah sejak 21 tahun yang lalu. Ada banyak ilmu yang saya pelajari daripada pengalaman kepimpinan ini, namun saya ingin mengutarakan 3 pengajaran utama dalam artikel minggu ini.
1. Pemimpin Gila Kuasa
Pemerhatian saya dalam kalangan rakan-rakan sebaya yang merupakan pemimpin organisasi hari ini mengesahkan teori saya bahawa terdapat perbezaan ketara antara pemimpin organisasi yang mempunyai pengalaman kepimpinan dari zaman pelajar berbanding pemimpin organisasi yang tiada pengalaman kepimpinan.
Pemimpin organisasi yang berpengalaman kepimpinan dari zaman remaja cenderung untuk menjadi pemimpin yang lebih efektif. Walaupun mereka mempunyai kuasa, mereka tidak sesuka hati menggunakan kuasa itu. Ini kerana sejak remaja mereka telah dilatih untuk menggunakan kuasa itu secara bijaksana bagi manfaat bersama.
Mereka faham kaedah bekerja secara berpasukan dan membuat keputusan yang memberi kesan kepada organisasi secara kolektif. Mereka rapat dengan pasukan mereka seumpama dalam satu keluarga. Mereka dihormati malah disayangi oleh pasukan mereka.
Sekiranya mereka meninggalkan organisasi itu, pasukan mereka akan meratapi pemergiannya dan mereka akan kekal menjadi rakan baik dan penasihat pasukan walaupun sudah tidak bersama organisasi itu.
Pemimpin yang tiada pengalaman kepimpinan sejak zaman remaja pula cenderung untuk menggunakan kuasanya secara maksimum. Kerana kurang pengalaman kepimpinan, mereka tidak tahu kemahiran bagaimana untuk memimpin kecuali dengan menggunakan kuasa yang diberikan.
Mereka akan cenderung menggunakan kuasa untuk menghukum pasukan. Pasukan akan dipaksa untuk menuruti segala perintah tanpa soal jawab. Pemimpin autokratik seperti ini apabila meninggalkan organisasi, akan disorak dan diraikan oleh pasukan. Di luar organisasi, pemimpin seperti ini akan dijauhi.

2. ‘Satu untuk semua dan semua untuk satu’
Dalam berpengakap, saya diajar bahawa pasukan (team) ialah segala-galanya dalam berorganisasi. Apapun matlamat organisasi, ia hanya boleh dicapai apabila keseluruhan pasukan berjaya menggembleng tenaga dan fikiran mereka ke arah yang sama. Organisasi kita mungkin mempunyai reputasi yang hebat.
Di Wasiyyah, saya ada lebih 120 orang ahli pasukan yang majoritinya ialah sebaya dengan anak-anak saya. Saya dan Timbalan Presiden Kumpulan Wasiyyah ialah orang paling tua di Wasiyyah. Kami bertindak seperti seorang ayah yang bertanggungjawab membimbing dan membangunkan bakat anak-anak muda ini.
Walaupun pengalaman kepimpinan dan berorganisasi menyebelahi kami, semua keputusan di Wasiyyah dibuat secara kolektif dalam kalangan pemegang taruh yang terlibat. Kami hanya menetapkan hala tuju, strategi pada peringkat makro dan objektif sesuatu keputusan perlu dibuat.
Perancangan taktikal seperti apa bentuk tindakan, apa sumber yang perlu digunakan, garis masa, kaedah pemantauan dan bentuk keputusan yang dikehendaki, semuanya dibuat secara kolektif oleh pasukan.
Jika hasil yang diharapkan tidak menjadi, keseluruhan pasukan akan bertanggungjawab terhadap kegagalan itu. Jika ia berjaya, keseluruhan pasukanlah yang memiliki kredit di atas kejayaan itu. Inilah yang dimaksudkan "Satu untuk semua dan semua untuk satu."
Percayalah, ini formula kepimpinan organisasi paling ampuh. Sebagai pengamal formula kepimpinan ini, saya saksi hidup keberkesanannya.
Kami mungkin bukan organisasi yang besar, namun Wasiyyah sejak penubuhan 21 tahun yang lalu, TIDAK PERNAH RUGI malah sentiasa mencatat prestasi kewangan yang semakin memuncak dari setahun ke setahun. Syarikat senaraian awam pun ada yang rugi setiap tahun!
3. Hanya Aku yang Tahu Segala-galanya
Ramai pemimpin memilih untuk menyimpan segala ilmu dan pengetahuan daripada pasukan. Dalam fikirannya, jika dia mendedahkan apa yang diketahuinya, ada kemungkinan ahli dalam pasukannya akan 'lawan tauke'. Ini pemikiran lapuk dan ketinggalan zaman.
Sepanjang 21 tahun memimpin Wasiyyah, saya tidak pernah berfikiran begitu. Apa sahaja yang saya ketahui, baik dari segi ilmu teknikal pengurusan dan perancangan harta mahupun ilmu kepimpinan dan berorganisasi, saya mahukan pasukan saya turut menguasainya.
Kesan amalan ini, hari ini saya boleh memimpin Wasiyyah dengan berkesan. Keseluruhan pasukan saya tahu apa yang perlu dibuat dan bagaimana ia perlu dibuat mengikut acuan Wasiyyah. Saya hanya perlu fokus kepada kerja-kerja strategik yang sepatutnya dilakukan oleh seorang Presiden Kumpulan sahaja.
Tugas saya menjadi mudah kerana saya hanya menetapkan hala tuju, objektif dan sasaran sahaja. Saya tidak 'mengurus secara mikro'. Ahli pasukan saya yang telah diberikan tanggungjawab secara spesifik berdasarkan deskripsi tugas dan indeks prestasi utama, dialah yang perlu melaksanakan tugasan mikro itu.
'Laporan terus' atau penyelia kepada ahli pasukan itu bertanggungjawab untuk memastikan semua urusan taktikal berdasarkan sasaran yang ditetapkan secara kolektif dicapai. Keseluruhan pasukan akan bertanggungjawab ke atasnya. Saya hanya memantau perkembangan semasa dan memberikan bimbingan apabila diperlukan.

Pemimpin ialah orang yang bertanggungjawab membawa organisasi kepada kejayaan, namun pemimpin juga merupakan orang yang bertanggungjawab yang membawa kemusnahan kepada organisasinya.
Pemimpin sebenar tidak bergantung kepada kuasa untuk mentadbir, sebaliknya menggunakan kuasa bagi mempengaruhi prestasi pasukan supaya mencapai matlamat yang ditetapkan.
Pasukan yang menghormati dan menyayangi pemimpinnya akan bekerja bersungguh-sungguh untuk menjayakan agenda yang dipersetujui bersama.
Pasukan yang benci pemimpinnya akan bekerja sambil lewa atau mensabotaj agenda pemimpin itu kerana ia dilihat sebagai agenda peribadi dan bukan agenda bersama. Anda pemimpin dalam kategori yang mana? - DagangNews.com
KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH









