Pelantikan Tan Sri Abdul Rashid Hussain menepati kriteria meritokrasi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pelantikan Tan Sri Abdul Rashid Hussain menepati kriteria meritokrasi

Oleh Dr RAZLI RAMLI

Pelantikan Tan Sri Abdul Rashid Hussain sebagai Presiden ke-10 Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang berkuat kuasa pada 1 Julai 2025, dan sebagai Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) sejak 20 Disember 2023, telah menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat.

 

Ada suara-suara sumbang yang mempersoalkan kelayakan beliau, khususnya kerana latar belakang beliau yang sinonim dengan sektor kewangan konvensional, serta kritikan bahawa individu lain yang lebih “Islamik” dari segi penampilan atau sejarah kerjaya sepatutnya diberikan tanggungjawab tersebut.
 

Namun, perlu ditegaskan bahawa pelantikan ke jawatan tinggi dalam institusi seperti UIAM dan Tabung Haji bukan semata-mata berdasarkan simbolisme Islam luaran, tetapi berdasarkan merit, kepakaran dan rekod kepimpinan yang berwibawa. 

 

Tan Sri Abdul Rashid Hussain merupakan tokoh korporat yang disegani, dengan pengalaman luas dalam urus tadbir institusi kewangan dan pelaburan bertaraf nasional dan antarabangsa. Keupayaan beliau dalam mengemudi organisasi besar amat diperlukan dalam landskap semasa yang kompleks, termasuk dalam usaha memantapkan tadbir urus Tabung Haji dan memperkukuh peranan UIAM sebagai pusat kecemerlangan ilmu Islam bertaraf global.

 

 

IIUM

 

 

Masyarakat juga perlu berhenti menilai seseorang hanya berdasarkan persepsi terhadap masa lalu atau latar kerjaya konvensional.

 

Islam tidak menolak pengalaman dunia korporat selagi ia kini dimanfaatkan untuk kemaslahatan ummah.

 

Jika individu seperti Tan Sri Abdul Rashid Hussain mampu membawa transformasi positif dengan keikhlasan, profesionalisme dan semangat khidmat, maka kita seharusnya memberi ruang dan sokongan, bukan prasangka.

 

Islam menganjurkan keadilan dalam menilai dan menyantuni manusia dan inilah masanya untuk kita menghayati prinsip itu dengan lebih matang.

 

 

bas

 

 

Sebagai Setiausaha Kehormat Persatuan Senior Kewangan Islam, penulis berpandangan perlantikan Tan Sri Abdul Rashid ini adalah tepat berdasar beberapa sebab.

 

Pertama sekali, kita harus mengakui bahawa institusi seperti Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Tabung Haji memerlukan kepimpinan yang bukan sahaja memahami prinsip Islam, tetapi juga mempunyai kebolehan mentadbir yang kukuh, pengalaman luas dalam dunia industri, serta rekod integriti yang bersih.

 

Dalam menguruskan institusi-institusi Islam yang strategik dan kompleks, keperluan kepada kepimpinan yang berpengalaman serta berintegriti tinggi adalah suatu keutamaan yang tidak boleh dikompromi. Tan Sri Abdul Rashid Hussain bukanlah individu sembarangan, beliau merupakan tokoh yang mempunyai latar belakang korporat dan kewangan yang sangat kukuh, dan pernah menerajui RHB Group, salah satu institusi kewangan utama negara. 

 

Pengalaman luas beliau dalam membangunkan sistem kewangan moden yang telus, tersusun dan berlandaskan prinsip pengurusan risiko serta kawalan dalaman yang mantap menjadikan beliau aset berharga dalam memimpin institusi penting seperti Lembaga Tabung Haji dan UIAM.

 

Kedua, dalam konteks semasa, tadbir urus yang cekap merupakan tunjang kepada keyakinan awam terhadap institusi Islam. Tabung Haji, sebagai pengurus dana umat Islam untuk ibadah haji, dan UIAM, sebagai pusat kecemerlangan ilmu Islam bertaraf global, tidak boleh berkompromi dalam aspek ketelusan, akauntabiliti dan kecekapan pengurusan. 

 

Pelantikan individu ke jawatan tertinggi dalam institusi seperti ini tidak boleh dibuat hanya atas dasar penampilan luaran atau simbolisme agama semata-mata. Risiko institusi dan reputasi terlalu tinggi jika ia diterajui oleh individu yang tidak memiliki kompetensi, pengalaman strategik dan rekod kepimpinan yang terbukti. Islam menuntut agar amanah diletakkan pada mereka yang layak dan berkeupayaan, bukan sekadar memenuhi persepsi umum.

 

Oleh itu, masyarakat Islam perlu lebih objektif dan adil dalam menilai sesuatu pelantikan. Usah berfikiran sempit dengan menganggap pengalaman terdahulu beliau dalam sektor kewangan konvensional menjadikan beliau berdosa sehingga hari ini sehinggakan pengalaman tadbir urus yang luas beliau diketepikan begitu sahaja. 

 

 

bas

 

 

Ketiga, transformasi peribadi dan pendekatan Islamik semasa beliau hari ini, Tan Sri Rashid telah membuktikan komitmen beliau kepada nilai-nilai Islam dalam kepimpinan beliau. Ini termasuk pelibatan aktif dalam agenda pendidikan Islam, pelaksanaan program sosial berteraskan maqasid syariah, serta pendekatan pengurusan yang telus dan beretika.

 

Malah, pengalaman seperti itulah yang boleh membantu memperkukuh sistem pengurusan institusi Islam agar lebih berdaya saing, berstruktur dan dihormati di peringkat antarabangsa. Sekiranya Tan Sri Rashid Hussain dapat membawa kemantapan dalam tadbir urus, membina kembali keyakinan awam dan merancang hala tuju strategik institusi-institusi ini secara berkesan, maka sewajarnya kita menyambut pelantikan ini dengan keterbukaan, harapan dan sokongan penuh.

 

Memang tidak dapat dinafikan bahawa kita semua mendambakan kepimpinan yang bukan sahaja ‘berwajah’ Islamik, tetapi juga benar-benar berjiwa Islamik dalam setiap tindakan dan keputusannya. Namun, adalah penting untuk kita tidak menyempitkan definisi kepimpinan Islamik semata-mata kepada penampilan luaran, latar belakang pendidikan agama, atau sejarah peribadi. 

 

Akhirnya, dalam konteks tadbir urus dan pengurusan institusi besar seperti Tabung Haji dan universiti, Islamik itu juga bermaksud adil, amanah, cekap, bertanggungjawab, dan memberikan manfaat sebenar kepada umat. Nilai-nilai ini tidak eksklusif kepada sesiapa yang hanya tampil secara simbolik, tetapi kepada mereka yang membuktikan kebolehan dan integriti melalui tindakan dan keputusan yang konsisten.

 

Kepimpinan berasaskan merit menuntut kita melihat kelayakan, pengalaman dan rekod prestasi sebagai asas utama dalam membuat pelantikan. Individu yang berjiwa Islamik adalah mereka yang menyantuni amanah dengan penuh dedikasi, menjaga kepentingan awam, dan mampu membawa perubahan yang berkesan serta berkekalan.

 

Dalam dunia yang mencabar ini, institusi-institusi Islam memerlukan pemimpin yang bukan sahaja memahami nilai-nilai agama, tetapi juga mahir dalam mengurus risiko, membuat keputusan strategik dan mengimbangi tuntutan syariah dengan realiti semasa. Maka, memilih berdasarkan merit adalah sebahagian daripada tuntutan keadilan Islam itu sendiri.

 

Kita tidak menolak bahawa satu hari nanti, akan muncul generasi muda yang lebih inovatif, lebih dekat dengan masyarakat, dan mempunyai ciri-ciri Islamik yang kuat. Tetapi buat masa ini, kestabilan dan kekuatan institusi-institusi utama Islam di Malaysia masih memerlukan individu seperti Tan Sri Abdul Rashid, yang boleh menjadi jambatan antara profesionalisme, pengalaman dan nilai-nilai Islam.
 

 

UIAM

 

 

Pada hemat penulis, pelantikan Tan Sri Abdul Rashid Hussain bukan satu kekurangan kepada institusi Islam, tetapi satu langkah ke hadapan dalam memperkukuh reputasi, integriti dan keberkesanan institusi tersebut.

 

Kita mahu institusi Islam kita menjadi contoh kepada dunia, bukan hanya dari segi penampilan, tetapi dari sudut tadbir urus, pencapaian dan nilai yang dibawa. - DagangNews.com

 

Dr Razli Ramli adalah Ketua Strategi dan Pengurusan Risiko yang juga Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) UTM dan juga Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di UIAM dan merupakan Setiausaha Kehormat ARIF

 

 


utm

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IKTISAD