Pasaran modal Malaysia tidak pernah ketandusan kisah IPO yang melonjak di hari pertama hanya untuk lenyap selepas euforia reda. Oriental Kopi Holdings Berhad kini berada dalam naratif klasik ini.
Dengan IPO pada harga RM0.44 sesaham, syarikat ini berjaya mengumpul dana sebanyak RM183.96 juta, menjadikannya antara IPO paling hangat di Pasaran ACE.
Lebih mengejutkan, IPO ini terlebih langgan sebanyak 59.96 kali, mencerminkan keyakinan luar biasa pelabur terhadap jenama ini.
Tetapi adakah ini permulaan empayar F&B yang kukuh atau sekadar permainan spekulasi IPO yang berulang?
Mampukah Oriental Kopi bertahan dalam jangka panjang, atau hanya mengulangi sejarah IPO yang akhirnya lenyap dalam pasaran?
Lonjakan Pendapatan Luar Biasa dan Sejarah Mungkin Berulang
Oriental Kopi bukan sekadar jenama kopitiam biasa. Ia adalah manifestasi strategi perniagaan yang pintar dan agresif.
2021 | Pendapatan syarikat bermula dengan RM5 juta. |
2022 | Meningkat kepada RM48 juta. |
2023 | Melonjak ke RM133 juta. |
2024 | Pendapatan mencatat RM277.3 juta. |
Dengan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 280.9%, Oriental Kopi kini berdiri sebagai syarikat F&B dengan pertumbuhan terpantas di Malaysia.
Penganalisis meramalkan pendapatan syarikat akan terus meningkat kepada RM373 juta pada 2025 dan RM539 juta menjelang 2026.
Sejarah mungkin berulang… Kenapa? Kerana sejarah pasaran modal Malaysia sudah menyaksikan fenomena ini.
OldTown White Coffee misalnya, melancarkan IPO pada 2011 dengan harga RM1.25 sesaham, mengumpulkan dana sebanyak RM79.2 juta.
Pada awalnya, syarikat ini berkembang pesat dengan model francais dan kopi segera. Tetapi apabila pasaran mula tepu dan pesaing baharu muncul, pertumbuhannya mendatar. Harga saham kehilangan daya tarikan sebelum akhirnya syarikat itu diambil alih oleh syarikat swasta dan dinyahsenarai.

Bukan “Secret Recipe”: Kecekapan Operasi sebagai Kunci Kejayaan
Apa yang membezakan Oriental Kopi daripada pesaingnya bukan hanya konsep kopitiam moden, tetapi juga strategi rantaian bekalan menegak yang memberinya kawalan penuh ke atas kos, kualiti, dan pengeluaran.
Berbanding syarikat F&B lain yang masih bergantung kepada pembekal pihak ketiga, Oriental Kopi memilih untuk menguasai ekosistem perniagaannya sendiri.
- Kilang dan dapur pusat sendiri – Syarikat memiliki dapur pusat dan kilang pengeluaran, membolehkan mereka mengawal kualiti bahan mentah dan menjimatkan kos operasi. Ini memberikan fleksibiliti dalam menghadapi ketidaktentuan harga pasaran dan membolehkan penyesuaian segera terhadap permintaan pengguna.
- Segmen makanan berbungkus (FMCG) sebagai pelengkap perniagaan – Oriental Kopi telah mula meneroka pasaran produk makanan berbungkus (FMCG) seperti kopi siap bancuh dan roti bakar berbungkus, yang kini dijual di pasar raya dan platform e-dagang. Langkah ini mengurangkan kebergantungan kepada jualan runcit di kafe dan membolehkan syarikat menembusi pasaran lebih luas.
- Kawalan penuh terhadap pengalaman pelanggan – Dengan 19 cawangan sedia ada dan rancangan untuk menambah 14 lagi di Malaysia serta dua di Singapura menjelang 2025, syarikat ini tidak bergantung kepada model francais, membolehkan kawalan lebih ketat terhadap kualiti produk dan perkhidmatan.
Model ini membolehkan Oriental Kopi mengekalkan margin keuntungan yang lebih tinggi berbanding pesaing yang masih berdepan isu kawalan kos dan ketidaktentuan harga bahan mentah.
Tetapi, sejauh mana strategi ini dapat menjamin pertumbuhan yang mampan dalam jangka panjang?
Strategi Pengembangan: Naratif Pertumbuhan Atau Perjudian Kapitalisme?
Oriental Kopi mengumumkan pelan pertumbuhan yang agresif, dengan pelaburan modal yang besar:
- RM75.78 juta untuk modal kerja.
- RM53.68 juta bagi membangunkan ibu pejabat baharu, dapur pusat, dan gudang.
- RM36.4 juta bagi pengembangan kafe di Malaysia.
- RM5 juta untuk pengukuhan segmen FMCG.
- RM5.5 juta untuk aktiviti pemasaran di luar negara.
Dari sudut angka, ini kelihatan seperti strategi pertumbuhan yang kukuh. Sejarah pasaran telah membuktikan bahawa banyak syarikat yang bermula dengan pertumbuhan pesat akhirnya kecundang kerana gagal menyesuaikan diri dengan perubahan landskap perniagaan.
Persoalannya; berapa ramai pelabur yang benar-benar menilai sama ada strategi ini berkesan, atau sekadar pertaruhan kapitalisme korporat yang berisiko?
Model pertumbuhan melalui penambahan cawangan telah lama ditinggalkan oleh gergasi industri F&B. Starbucks, Tim Hortons, dan McDonald’s tidak sekadar membuka lebih banyak kedai, tetapi mereka melabur dalam digitalisasi, automasi, dan pengalaman pelanggan yang diperibadikan.
Mereka memahami bahawa pertumbuhan tidak hanya datang dari menambah cawangan, tetapi dari mencipta ekosistem yang saling menguntungkan antara teknologi dan pengalaman pengguna.

Sebaliknya, Oriental Kopi masih bergantung kepada pendekatan tradisional dengan menganggap bahawa lebih banyak kedai bermakna lebih banyak jualan. Dalam dunia yang semakin bergantung pada digitalisasi, apakah model ini masih relevan?
Pasaran akan menguji Oriental Kopi selepas euforia IPO berlalu. Sejauh mana mereka mampu bertahan dalam landskap F&B yang semakin berevolusi jika masih berpegang pada formula tradisional?
Dalam dunia di mana lebih 40% transaksi F&B di Malaysia kini berlaku melalui aplikasi penghantaran makanan seperti GrabFood, FoodPanda, dan ShopeeFood, adakah membuka lebih banyak lokasi fizikal benar-benar memberi kelebihan daya saing?
Realiti Ekonomi: Pasaran yang Kejam
Kapitalisme moden tidak mempunyai tempat untuk mereka yang gagal membaca realiti ekonomi.
Naratif IPO yang menggoda tidak dapat menutup kekurangan asas kewangan yang kukuh.
- Peningkatan Kos Operasi: Margin Keuntungan Kian Mengecil
Sejak 2022, harga bahan mentah utama seperti kopi, susu, dan gula telah meningkat lebih 15%, memberi tekanan serius terhadap kos operasi Oriental Kopi. Dengan gaji minimum yang meningkat kepada RM1,500 pada 2022 dan RM1,700 pada 2025, syarikat ini berdepan cabaran besar dalam mengekalkan margin keuntungan, terutama dalam industri yang memerlukan tenaga kerja intensif.
Selain itu, kos sewa premis di bandar utama seperti Kuala Lumpur dan Johor Bahru terus meningkat, menambah lagi beban kewangan. Bagaimana Oriental Kopi akan bertahan dengan margin keuntungan yang semakin terhimpit tanpa menaikkan harga, yang akhirnya menjejaskan daya saing mereka?
- Model Perniagaan Lama Tidak Lagi Relevan
McDonald’s, KFC, dan Tim Hortons telah lama mengadaptasi digitalisasi – menggunakan pesanan layan diri, aplikasi penghantaran makanan, dan memanfaatkan data pelanggan untuk meningkatkan kecekapan serta pengalaman pengguna. Oriental Kopi, sebaliknya, masih terperangkap dalam model tradisional yang bergantung pada kunjungan pelanggan ke kedai secara fizikal, seolah-olah dunia masih bergantung kepada konsep ini.
Sekiranya Oriental Kopi terus dengan pendekatan ini, mereka berisiko tertinggal dalam persaingan yang semakin intensif. Jika mereka tidak berubah, mereka akan tenggelam dalam arus besar transformasi digital yang melanda industri F&B sekarang.
Nilai Sebenar atau Sekadar Euforia Pasaran? Adakah Saham Oriental Kopi Berbaloi Untuk Dipegang?
Oriental Kopi kini diperdagangkan pada P/E ratio sebanyak 40 kali bagi FY2024, jauh lebih tinggi berbanding purata industri F&B serantau yang berada dalam lingkungan 15 hingga 27 kali.
Ketika IPO pada harga RM0.44 sesaham, syarikat ini dinilai pada P/E ratio sebanyak 20 kali, tetapi lonjakan harga saham kepada RM0.875 selepas penyenaraian telah meningkatkan penilaian ini secara drastik, menjadikannya salah satu IPO yang paling premium dalam sektor ini.
P/E ratio yang tinggi sering kali mencerminkan optimisme pelabur terhadap pertumbuhan masa depan, tetapi ia juga boleh menjadi tanda amaran jika pertumbuhan syarikat tidak sejajar dengan jangkaan pasaran.
Sebagai perbandingan, sebelum dinyahsenarai pada 2018, OldTown White Coffee mempunyai P/E ratio sekitar 21 kali berdasarkan unjuran pendapatan tahunan.

Ini menunjukkan Oriental Kopi kini berniaga pada premium yang lebih tinggi daripada beberapa pemain industri yang lebih mampan dan berskala lebih besar.
Dengan unjuran pertumbuhan pendapatan yang semakin perlahan berbanding tahun-tahun awalnya, pasaran akan menentukan sama ada penilaian ini wajar atau hanya pantulan euforia IPO yang akan mengalami pembetulan dalam tempoh 12 hingga 18 bulan akan datang.
Sekiranya Oriental Kopi mampu mengadaptasi transformasi digital, mengukuhkan margin keuntungan, dan membina daya saing jangka panjang, mereka boleh menjadi calon naik ke Pasaran Utama Bursa Malaysia dalam tempoh 5 tahun.
Ini hanya boleh dicapai jika syarikat mengekalkan pertumbuhan stabil tanpa mengorbankan keuntungan, serta tidak terperangkap dalam strategi operasi yang sudah ketinggalan zaman.
Sebaliknya, jika Oriental Kopi masih bergantung kepada pertumbuhan fizikal semata-mata tanpa strategi digital yang jelas, risiko penurunan harga saham menjadi lebih besar. Pasaran telah melihat terlalu banyak IPO yang melonjak seketika hanya untuk kehilangan daya tarikan apabila realiti prestasi kewangan mula menyusul.
Adakah Oriental Kopi benar-benar berada dalam landasan pertumbuhan jangka panjang, atau atau hanya satu lagi jenama yang akan dilupakan dalam beberapa tahun akan datang, bersama longgokan IPO lain yang gagal memenuhi janji pertumbuhan mereka?
Semua Boleh Buat Duit! Tapi Jangan Sampai Kena Sembelih
Lonjakan harga saham dan lebihan langganan bukan bukti kejayaan, tetapi sekadar permulaan ujian sebenar.
Oriental Kopi boleh menikmati sorakan euforia IPO, tetapi pasaran tidak kenal belas kasihan. Jika pertumbuhan syarikat ini hanya berpaut pada momentum awal tanpa asas kukuh, ia berisiko menjadi satu lagi IPO yang naik seketika sebelum tenggelam, ia ibarat seperti roti bakar basi yang dibiarkan terlalu lama di atas meja.
Warren Buffett pernah berkata – beli perniagaan, bukan cerita. Irving Kahn pula mengingatkan bahawa jika semua orang berlari ke satu arah, mungkin sudah tiba masanya untuk berhenti dan bertanya kenapa. Pelaburan yang berjaya bukanlah mengenai mengikuti trend pasaran, tetapi memahami fundamental syarikat yang sebenar.

Tetapi berapa ramai pelabur yang membaca prospektus dan laporan kewangan sebelum membeli saham ini? Atau adakah mereka hanya masuk kerana takut ketinggalan (FOMO), seperti kawanan babi yang berlari ke penyembelihan tanpa menyedari apa yang menanti di hujung jalan?
Oriental Kopi masih punya peluang untuk membuktikan dirinya, tetapi pasaran tidak bersimpati kepada mereka yang gagal memahami logik brutal kapitalisme – berevolusi atau lenyap.
Tiada tempat untuk syarikat yang selesa dengan kejayaan sementara tetapi enggan membaca perubahan struktur ekonomi yang sedang berlaku di depan mata.
Dan pelabur? Inilah soalan sebenar! Adakah ini perniagaan yang benar-benar berdaya tahan, atau sekadar satu lagi projek spekulasi di pentas teater pasaran modal?
Seperti biasa, yang masuk awal mungkin meraih keuntungan besar, tetapi yang datang lewat hanya akan menyaksikan bagaimana euforia itu musnah dalam realiti pasaran yang kejam. - DagangNews.com








