NEM 4.0: Menjadikan Solar Tiang Seri Peralihan Tenaga Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

NEM 4.0: Menjadikan Solar Tiang Seri Peralihan Tenaga Malaysia

Oleh Persatuan Industri Tenaga Boleh Baru dan Alam Sekitar

Tenaga suria kini muncul sebagai pemacu utama dalam usaha Malaysia beralih daripada pergantungan kepada bahan api fosil kepada sistem tenaga yang lebih bersih dan lestari.

 

Satu daripada mekanisme paling berkesan yang diperkenalkan oleh kerajaan ialah program Net Energy Metering (NEM), yang memberi peluang kepada pengguna sama ada individu, agensi kerajaan atau sektor industri untuk memasang sistem solar fotovoltaik (PV) di bumbung bangunan mereka.

 

Melalui skim ini, tenaga yang dijana boleh digunakan sendiri, manakala lebihan tenaga boleh dijual semula ke grid elektrik nasional. Model sebegini bukan sahaja mengurangkan bil elektrik pengguna, malah mendorong lebih ramai rakyat untuk bersama-sama mengamalkan gaya hidup mampan.

 

Pelaksanaan NEM 3.0 yang bermula pada 2021 dibahagikan kepada tiga kategori utama iaitu NEM Rakyat, NEM GoMEn yang diperuntukkan kepada agensi kerajaan, serta NOVA yang menyasarkan sektor komersial dan industri.

 

Pada Januari 2024, kerajaan menambah kuota baharu iaitu 100 MW untuk kategori NEM Rakyat dan 300 MW untuk NOVA, selain melanjutkan tempoh tawaran sehingga 30 Jun 2025 atau sehingga kuota dipenuhi. Langkah ini jelas membuktikan bahawa sambutan terhadap tenaga solar semakin meningkat dan permintaan terhadap sistem penjanaan sendiri semakin besar.

 

Namun begitu, pelaksanaan NEM 3.0 tidak terlepas daripada beberapa kelemahan. Antara isu yang sering dibangkitkan termasuklah kadar kredit eksport yang dianggap kurang menarik, di samping proses kelulusan yang masih memakan masa.

 

pintare

 

Kos tinggi jauhkan minat B40

Selain itu, kos pemasangan sistem solar yang masih tinggi menyebabkan ramai golongan B40 tidak mampu untuk menyertainya. Dari sudut teknikal pula, berlaku cabaran dalam menguruskan lebihan eksport tenaga pada waktu tengah hari kerana ia berpotensi mengganggu kestabilan voltan dan frekuensi grid.

 

Walaupun kelemahan ini wujud, ramai pakar berpendapat bahawa skim ini tidak seharusnya dimansuhkan. Sebaliknya, ia perlu diperbaiki dan diperluas agar manfaatnya dapat dirasai oleh lebih ramai pihak di negara ini.

 

Inilah yang menjadi asas kepada cadangan NEM 4.0, iaitu satu mekanisme baharu yang bukan sahaja mengekalkan kelebihan NEM sedia ada, tetapi turut memperkukuh sistem grid nasional.

 

Prinsip utama dalam cadangan ini adalah memastikan kadar eksport ditentukan mengikut masa penggunaan. Sebagai contoh, pada waktu tengah hari tidak memerlukan kadar eksport ini kerana sistem menggunakan 100% tenaga suria dan tidak bergantung pada grid, manakala kadar eksport pada waktu senja hinggalah waktu malam sangatlah diperlukan dengan permintaan yang tinggi.

 

Dengan pendekatan ini, pengguna didorong untuk menggunakan lebihan tenaga solar pada waktu malam kerana lebihan solar akan ditolak dengan penggunaan load yang secukupnya. 

 

Selain daripada struktur kadar baharu, NEM 4.0 juga menekankan keperluan teknikal yang lebih ketat bagi setiap pemasangan. Inverter yang digunakan perlu mempunyai fungsi sokongan grid, iaitu mampu mengawal voltan dan frekuensi bagi mengelakkan gangguan bekalan.

 

Bagi sistem berskala besar, data operasi seperti arus, voltan dan eksport pula mesti disalurkan kepada pengendali grid secara masa nyata agar kawalan automatik dapat dilakukan apabila diperlukan. Pendekatan ini penting untuk mengelakkan situasi di mana lebihan tenaga solar menyebabkan grid menjadi tidak stabil.

 

NEM-BESS

Satu lagi elemen utama dalam cadangan NEM 4.0 ialah integrasi sistem solar dengan teknologi storan tenaga atau bateri. Gabungan ini, yang boleh digelar sebagai skim NEM-BESS, membolehkan lebihan tenaga pada waktu siang disimpan dan digunakan semula pada waktu malam.

 

Untuk sektor industri pula, kerajaan boleh memperkenalkan mekanisme tindak balas permintaan, di mana pengguna diberi insentif untuk mengurangkan penggunaan elektrik pada waktu puncak. Melalui cara ini, grid negara bukan sahaja lebih stabil, tetapi juga lebih cekap dalam menguruskan keseimbangan antara penawaran dan permintaan tenaga.

 

Kuota NEM pada masa hadapan juga dicadangkan untuk tidak lagi ditentukan di peringkat nasional semata-mata, sebaliknya mengikut kapasiti setiap feeder atau substation.

 

Dengan cara ini, pengagihan kuota menjadi lebih adil dan seimbang, selain mengelakkan kesesakan grid di kawasan tertentu. Kerajaan boleh menerbitkan peta “hosting capacity” yang membolehkan pengguna mengetahui lokasi mana yang sesuai untuk pemasangan sistem solar. Malah, insentif tambahan juga boleh diberikan kepada kawasan industri atau kawasan strategik yang sememangnya memerlukan tenaga pada waktu siang.

 

Proses permohonan pula wajar dipermudahkan melalui sistem digital yang telus dengan tempoh kelulusan yang jelas. Golongan B40 perlu diberikan peluang untuk turut serta melalui skim sewa beli atau perjanjian pembelian tenaga (PPA) komuniti.

 

Ketelusan juga perlu diperkukuh dengan memastikan formula kadar kredit serta laporan impak tahunan diterbitkan kepada umum. Dengan cara ini, keyakinan rakyat terhadap skim tenaga boleh diperbaharui dapat dipertingkatkan.

 

Lebih penting, pelaksanaan NEM 4.0 perlu selari dengan dasar tenaga negara yang lebih luas seperti Self-Consumption (SELCO) 2025. Bangunan yang mempunyai keupayaan tinggi untuk menggunakan tenaga sendiri boleh memilih model SELCO, manakala NEM lebih sesuai diberikan keutamaan di kawasan yang mempunyai kapasiti grid untuk menampung eksport.

 

Malaysia juga berpotensi untuk merintis konsep Virtual Power Plant (VPP), iaitu gabungan sistem PV kecil dengan bateri yang berfungsi seperti sebuah stesen janakuasa maya.

 

 

seda

 

 

NEM 4.0

Bagi memastikan kelancaran pelaksanaan, NEM 4.0 perlu digerakkan secara berperingkat. Dalam tempoh enam bulan pertama, garis panduan teknikal perlu dikemas kini, struktur kadar berasaskan masa diperkenalkan, dan portal digital dibangunkan.

 

Dalam tempoh 6 hingga 12 bulan berikutnya, projek perintis NEM-BESS serta peta hosting capacity boleh dilaksanakan. Seterusnya, dalam tempoh setahun hingga setahun setengah, aggregator VPP boleh diuji dan laporan impak NEM 4.0 diterbitkan. Akhirnya, dalam tempoh dua tahun, kuota mikro di setiap feeder boleh diperkenalkan bersama insentif lokasi dan piawaian inverter nasional.

 

Kesimpulannya, NEM 3.0 telah membuktikan keberkesanannya dalam memperluas penggunaan tenaga suria dalam kalangan rakyat.

 

Namun, dengan kadar penembusan solar yang semakin tinggi, Malaysia memerlukan mekanisme yang lebih pintar, inklusif dan mampan.

 

NEM 4.0 mampu menjawab cabaran tersebut dengan memperkenalkan kadar eksport berasaskan masa, integrasi dengan bateri, sokongan teknikal kepada grid, kuota lokasi, serta proses digital yang lebih telus.

 

Jika dilaksanakan dengan baik, skim ini bukan sahaja membantu rakyat menjimatkan bil elektrik, malah memperkukuh kestabilan grid dan mempercepatkan peralihan tenaga negara seiring dengan sasaran National Energy Transition Roadmap (NETR) untuk mencapai 70 peratus tenaga boleh diperbaharui menjelang 2050.

 

Dengan itu, Malaysia bukan sahaja berupaya memperluas manfaat solar kepada semua lapisan masyarakat, malah memperkasa grid nasional untuk masa depan yang lebih hijau dan lestari. - DagangNews.com