Ogos datang lagi, dan seperti skrip lama yang diulang, negara ini bertukar wajah. Jalan raya penuh dengan Jalur Gemilang.
Ada yang megah berkibaran pada kereta, ada yang bergoyang di kapcai, ada juga yang lusuh di tiang bangunan. Warna merah putih biru dan kuning jadi macam ‘filter’ negara sepanjang sebulan, menutup seketika parut jiwa yang semakin kusam.
Di pasar malam, bendera mini dijual tiga helai lima ringgit, lengkap dengan tiang plastik. Budak-budak beli, pasang di basikal, konon jadi pelumba MotoGP. Di rumah, iklan Merdeka muncul di televisyen, ada yang sentimental sampai bergenang air mata, ada yang lawak jenaka sampai tumpah kuah mi segera.
Di TikTok pula, #MerdekaChallenge trending. Ada yang menari, ada yang baca pantun sambil buat muka serius, semua dalam klip 30 saat dengan hashtag #SayangiMalaysiaku.
Suasana memang meriah. Tetapi di balik semua itu, ada juga sesuatu yang membuatkan kita angkat kening.
Bila Bendera Jadi Viral
Setiap tahun, pasti ada kisah bendera songsang. Tahun ini, sebuah kedai perkakasan di Pulau Pinang jadi bahan tular. Video rakaman tersebar, ruangan komen berapi, tiga puluh lapan laporan polis dibuat, akhirnya pemilik tampil memohon maaf.
Tidak cukup dengan itu, sebuah klinik di Johor turut kecoh kerana bendera dipasang terbalik. Terbaru, sebuah pasar raya mini di Johor juga terlibat. Kedua-dua premis dikenakan tindakan tutup selama 30 hari.
Kita boleh agak tahun depan pun sama. Isu ini macam “drama tahunan” yang tak pernah habis. Padahal sudah 68 tahun merdeka, rupa bendera sendiri pun masih ada yang tersalah pasang. Macam mana ya, boleh terbalik juga? Bukankah pelik?
Kitab Bangsa, Bukan Kain
Hakikatnya, Jalur Gemilang bukan sekadar kain berwarna. Ia kitab bangsa. Merah itu darah perjuangan, putih itu keikhlasan, biru itu persatuan, kuning itu kedaulatan dan maruah. Bintang pecah empat belas pula lambang janji negeri-negeri hidup bersama.
Kalau ia terbalik, itu bukan sekadar silap ikat. Ia cermin kecil yang menyoal kita: adakah jiwa bangsa ini masih tegak, atau sudah condong.
Songsang di tiang boleh diluruskan. Songsang di jiwa, itulah tanda sejarah sedang diulang sebagai sandiwara.

Kita Sibuk Bentuk, Lupa Makna
Di negara lain, bendera terbalik adalah tanda darurat. Di sini, ia lebih jadi tanda kecuaian dan bahan kecaman. Kita cepat melenting pada bendera yang salah pasang, tetapi jarang melenting bila nilai bangsa sendiri runtuh. Kita sibuk luruskan tiang, tetapi hati dibiarkan bengkok.
Inilah paradoks kita. Simbol dijaga, makna diabaikan.
Dari Sekolah, Bukan Dari Viral
Kalau mahu perubahan sebenar, ia mesti bermula dari sekolah. Murid murid perlu diajar bukan sekadar hafal lirik “Tanggal 31” tetapi memahami makna Jalur Gemilang.
Pertandingan mengibarkan bendera biarlah semeriah bola sepak antara rumah sukan. Kalau nilai ini dibiasakan sejak kecil, patriotisme tidak perlu lagi bergantung kepada kemarahan bermusim atau kecoh di media sosial.
Namun realitinya, pendidikan sivik masih diberi ruang sempit. Akhirnya cinta negara kita lebih banyak bergantung pada iklan televisyen dan konten TikTok.
Patriotisme Bermusim
Kita jujur. Semangat patriotik kita memang bermusim. Bulan Ogos, semua orang patriotik. Kereta penuh bendera, pejabat dihias warna merah putih, lagu patriotik jadi siulan. Tapi bila masuk September, semuanya reda. Bendera simpan balik, lagu patriotik hilang dari radio, dan jiwa kita kembali sibuk dengan hal sendiri.
Patriotisme bukan untuk “dipakai” sekali setahun. Ia patut hidup setiap hari. Ia wujud bila kita jujur bekerja, bila kita menepati janji, bila kita hormat jiran walaupun tak sama bangsa, dan bila kita berani menolak salah guna kuasa.
Kalau semua itu tiada, patriotisme tinggal sekadar hashtag media sosial.
Amanah Yang Kita Lupa
Ramai masih anggap merdeka sekadar nostalgia. Kisah datuk nenek melawan penjajah. Tetapi merdeka bukan muzium sejarah. Ia janji hari ini untuk hari esok. Generasi muda bakal membesar dalam dunia yang jauh lebih rumit. Ekonomi tidak menentu, teknologi mengubah gaya hidup, politik global penuh kejutan.
Kalau jiwa bangsa songsang hari ini, bagaimana mereka mahu berdiri tegak esok? Mereka bukan hanya perlu mewarisi bendera, tetapi makna di dalamnya.
Bendera Tidak Pernah Berdusta
Bendera tidak pernah menipu. Kalau ia tegak, itu kita. Kalau ia songsang, itu juga kita. Ia sekadar cermin, bukan penyelamat.
Maka sempena Merdeka 2025, biarlah Jalur Gemilang tidak lagi songsang. Tidak di tiang, tidak di jiwa.
Kerana merdeka bukan pesta bunga api, bukan klip 30 saat di TikTok, bukan hashtag seminggu sekali setahun.
Merdeka adalah amanah. Dan jika kita terus mengkhianatinya, jangan salahkan bendera. Salahnya ada pada bangsa yang lebih gemar menunjukkan di luar daripada membetulkan di dalam. - DagangNews.com








