Malaysia Tidak Perlu Lagi Dasar Baru, Tapi Dasar yang Lebih Jujur | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malaysia Tidak Perlu Lagi Dasar Baru, Tapi Dasar yang Lebih Jujur

Oleh Wan Mohd Farid Wan Zakaria

Malaysia kelihatan bergerak, tetapi ke mana arahnya semakin kabur. Ekonominya masih mencatat pertumbuhan sederhana, namun erti kemajuan kian dipersoalkan. 

 

Pelaburan kekal direkodkan dalam angka rasmi, tetapi hala tuju dan impaknya semakin longgar dari segi makna sebenar kepada rakyat. Apa yang lebih genting ialah ketidakseimbangan antara naratif dasar dengan realiti pasaran.

 

Ringgit kini berada sekitar RM4.25 bagi setiap dolar Amerika Syarikat, tidak serendah dijangka oleh sesetengah penganalisis, tetapi cukup melemahkan kuasa beli domestik.

 

Indeks FBM KLCI pula mendatar sekitar 1,500 mata. Prestasi yang lesu ini mencerminkan sentimen pelabur yang masih berhati-hati terhadap prospek pertumbuhan korporat dan hala tuju ekonomi negara.

 

Sehingga akhir April 2025, pelabur asing telah menarik keluar sebanyak RM1.9 bilion daripada pasaran ekuiti tempatan, menurut laporan Malaysian Rating Corporation Berhad (MARC).

 

Dalam tempoh yang sama, pasaran bon mencatat aliran masuk bersih sebanyak RM10.2 bilion, menunjukkan minat pelabur beralih kepada instrumen berpendapatan tetap yang dilihat lebih stabil dan kurang terdedah kepada risiko dasar.

 

Corak peralihan ini bukan berlaku secara kebetulan. Ia mencerminkan kebimbangan terhadap ketelusan dasar, tahap keyakinan terhadap institusi, serta kegagalan pentadbiran dalam menawarkan arah ekonomi yang meyakinkan.

 

Ekonomi Sebagai Cerminan Tanggungjawab Awam

Pasaran bukan semata-mata tempat jual beli, tetapi cerminan keyakinan terhadap dasar. Bila pelabur keluar, ia bukan sekadar reaksi kepada angka pertumbuhan. Ia manifestasi terhadap keraguan kepada kestabilan, kebolehjangkaan, dan integriti dasar.

 

Institusi utama negara turut menunjukkan arah yang sama. Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melaporkan RM18.31 bilion hasil pelaburan untuk suku pertama 2025, iaitu penurunan 13% berbanding tahun lalu, mencerminkan cabaran dalam pasaran tempatan.

 

Sebahagian besar pulangan ini dijana dari luar negara, memperlihatkan keberkesanan pempelbagaian geografi yang semakin diberi keutamaan.

 

Khazanah Nasional pula mengubah strategi pelaburannya ke pasaran maju seperti Amerika Syarikat, Jepun dan Kesatuan Eropah, antara lain sebagai tindak balas kepada ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi serantau.

 

Ini bukan sekadar strategi keuntungan, jika dinilai, ia lebih kepada isyarat ketidakyakinan terhadap ekosistem pelaburan domestik.

 

Pelaburan Masuk, Tapi Untuk Siapa?

Kerajaan terus menegaskan bahawa ekonomi Malaysia masih menarik untuk pelaburan asing. Realitinya, pelaburan berskala besar memang berlaku.

 

Microsoft telah mengumumkan pelaburan sebanyak USD 2.2 bilion, Google pula USD 2 bilion, dan Amazon Web Services komited dengan USD 6.2 bilion untuk membina infrastruktur digital, pusat data dan transformasi kecerdasan buatan di Malaysia.

 

Tapi, sejauh mana pelaburan berskala besar ini memberi kesan nyata kepada rakyat? Peluang pekerjaan bernilai tinggi kekal terhad, gaji sebenar masih statik, dan peluang memperbaiki taraf hidup masih tersekat.

 

Statistik pelaburan yang gah tidak membawa makna jika tidak berjaya mengangkat kesejahteraan sebenar majoriti rakyat.

 

Retorik Tidak Menggantikan Ketelusan

Setiap kali berlaku tekanan pasaran, maka hadir pelan mega baharu. Reka bentuknya kemas, kenyataan medianya mantap. Pelaksanaannya pula sentiasa lewat, kabur dan tidak konsisten.

 

Arahan supaya syarikat pelaburan berkaitan kerajaan menyalurkan beratus bilion ringgit kepada sektor strategik menimbulkan persoalan.

 

Apakah sektor itu? Siapa yang menentukan keutamaannya? Apakah indikator kejayaannya? Tanpa ketelusan dan pemantauan yang bebas, pelaburan sebesar ini berisiko menjadi instrumen penampal kelemahan fiskal, bukan strategi pemulihan sebenar.

 

Pelaburan awam memerlukan integriti. Ia bukan alat publisiti untuk menunjukkan kerajaan sedang bertindak, sedangkan hasilnya tidak sampai kepada rakyat.

 

Lambat Bertindak = Gagal

Negara jiran seperti Vietnam menunjukkan betapa reformasi pelaburan boleh dipercepatkan. Pada suku pertama 2025, Vietnam berjaya menarik masuk USD 10.98 bilion pelaburan asing langsung, naik 34.7% berbanding tahun lalu.

 

Malaysia sebaliknya terus terikat dalam birokrasi bersilang dan ketidakpastian dasar. Setiap kelewatan keputusan adalah pekerjaan yang tidak wujud, pelabur yang berpaling arah, dan masa depan yang tidak terbina. 

 

Ini bukan semata-mata kegagalan teknikal. Ia kegagalan kepimpinan untuk memahami bahawa dalam ekonomi moden, kecepatan ialah kelebihan daya saing.

 

Keberanian Dasar Bukan Ukuran Saiz Belanjawan

Ramai menyangka keberanian ekonomi terletak pada jumlah angka. Tetapi nilai sebenar terletak pada keputusan untuk membetulkan sistem yang rosak walau ia tidak popular.

 

Negara memerlukan pentadbiran yang berani menstruktur semula proses pelaburan, menghapuskan kebergantungan kepada birokrasi politik, dan mengembalikan integriti kepada institusi kewangan.

 

Hanya apabila keputusan ekonomi bebas daripada pengaruh jangka pendek, barulah keyakinan akan pulih.

 

Pelabur tidak mengharapkan ganjaran luar biasa. Mereka hanya mahukan dasar yang jelas, stabil dan konsisten. Itulah perkara yang gagal diberikan oleh Malaysia sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Isyarat Semakin Jelas

 

Pasaran tidak berbohong. Apabila ringgit terus melemah, pelabur asing membawa keluar modal, institusi pelaburan negara memilih untuk melabur di luar, dan dagangan bursa terus lesu, itu bukan kebetulan. 

 

Ia ialah kenyataan senyap bahawa pasaran sudah hilang keyakinan terhadap arah pentadbiran. Tetapi kerajaan masih sibuk mengulang skrip lama bahawa segala-galanya dalam kawalan.

 

Pasaran tidak bertindak atas naratif. Ia bertindak atas logik, integriti, dan jangkaan terhadap masa depan. Rakyat juga begitu. Mereka tidak menilai pertumbuhan melalui angka yang dihias, tetapi melalui belanja dapur, ansuran bulanan, dan kestabilan pekerjaan. 

 

Di antara kenyataan rasmi dan pengalaman harian, realiti tidak memihak kepada kerajaan

Malaysia masih mempunyai asas yang kukuh. Sistem kewangan masih stabil. Infrastruktur masih tersedia. Lokasi masih strategik. 

 

Semua ini sepatutnya jadi kelebihan. Tapi kelebihan tanpa keberanian hanya melahirkan pentadbiran yang hidup dari satu pembentangan ke satu pembentangan, dari satu naratif ke satu lagi, tanpa sebarang isi.

 

Negara ini tidak perlukan dasar baharu. Ia perlukan seseorang yang berani matikan mikrofon dan mula bekerja, kerana terlalu ramai yang selesa menipu dengan suara yang meyakinkan. - DagangNews.com

 
Segala pandangan yang dikemukakan adalah pandangan peribadi penulis, Wan Mohd Farid Wan Zakaria, dan tidak mewakili mana-mana institusi tempat beliau berkhidmat atau pernah berkhidmat. Penulisan ini berdasarkan sumber terbuka serta analisis akademik yang sah, tanpa niat menyinggung mana-mana pihak secara peribadi atau institusi secara langsung.