“Apabila kebenaran tidak lagi dicari, dan reputasi hanya milik yang pandai menyembunyikan keburukan.”
April 2025 membuka satu ironi global. Amerika Syarikat mengisytiharkan “Liberation Day” dengan tarif 25 peratus ke atas semua kenderaan asing. Dow Jones menjunam lebih 2,200 mata. Nikkei 225 tenggelam sembilan peratus. Bitcoin melonjak ke AS$87,000. Pelabur menyerah kepada kegilaan pasaran.
Malaysia terpinga-pinga di tepi gelanggang. Ketika pasaran dunia bergoncang, satu berita yang lebih senyap tetapi lebih menghancurkan kepercayaan tiba. Malaysia kini rasmi dalam senarai kelabu FATF (Financial Action Task Force). Ringkas di kertas. Berat di realiti.
FBM KLCI jatuh ke paras 1,400 mata. Ringgit melemah kepada RM4.45. Dana rakyat seperti KWSP, PNB dan Tabung Haji merasai hentakan secara langsung. IMF menganggarkan senarai kelabu boleh menyebabkan penyusutan aliran modal sehingga 7.6 peratus daripada KDNK.
Dalam bahasa mudah, lebih RM130 bilion pelaburan asing lesap, hilang begitu sahaja.
Reputasi Tanpa Perbicaraan
FATF menyebutnya “pengawasan intensif”. Dunia membacanya sebagai stigma. Tiada mahkamah. Tiada pembelaan. Tiada proses rayuan. Hanya satu keputusan teknokratik yang meletakkan seluruh negara dalam ruang keraguan yang tidak dapat dijelaskan dengan naratif PR.
Malaysia telah mematuhi 38 daripada 40 syor teknikal. Cantik atas kertas. Tetapi dunia hari ini tidak lagi terpukau dengan pematuhan formal. Dunia menuntut pelaksanaan. Dunia mahu melihat keberanian. Dunia mahu tindakan yang menyentuh mereka yang tidak pernah disentuh.
Christine Lagarde pernah mengingatkan bahawa integriti dan ketelusan mesti menjadi nilai asas. Bukan sekadar tanda lulus dalam audit pematuhan. Ukuran sebenar sebuah negara bukan pada jumlah undang-undang yang diluluskan. Tetapi pada siapa yang sanggup dibawa ke muka pengadilan, walaupun dia berkuasa.
Sistem Yang Kenyang Dengan Kepalsuan
Malaysia tidak kekurangan institusi. Kita ada segalanya. Apa yang kita kekurangan ialah keberanian moral. Undang-undang kita gah di Parlimen tetapi lumpuh di lapangan. Persepsi yang buruk bukan datang dari propaganda luar. Ia datang dari kelemahan dalaman yang tidak pernah kita selesaikan.
Bila penguatkuasaan menjadi selektif, institusi mula hilang makna. Bila undang-undang hanya digunakan untuk menundukkan lawan politik, bukan untuk menegakkan keadilan, sistem menjadi bangunan kosong. Struktur ada. Fungsi hilang.
Integriti yang dijaja dalam wacana hanya menjadi topeng yang dipakai sewaktu sidang media. Selepas itu, wajah sebenar kekebalan dan kekuasaan kembali memerintah.
Inovasi Yang Tidak Menyelamatkan Malah Mencurigakan
Malaysia mahu menjadi hab kewangan digital. Lima bank digital telah diberi lesen. Tokenisasi aset dan eksplorasi mata wang digital bank pusat menjadi agenda nasional. Transaksi kripto melonjak 150 peratus. Mencecah RM13.9 bilion.
Tetapi dunia tidak peduli seberapa canggih kita mahu menjadi jika langkah kita tidak berdiri pada asas yang kukuh. Inovasi tanpa integriti hanya akan dilihat sebagai muslihat. Sebuah topeng untuk menyembunyikan kelonggaran kawal selia.
Dalam dunia kewangan digital, reputasi bukan satu kelebihan tambahan. Ia adalah prasyarat untuk bertahan.
Negara Yang Terlalu Takut Yang Patut Dihukum
Negara seperti Iceland dan Mauritius juga pernah berada dalam senarai kelabu. Mereka tidak berselindung di sebalik naratif teknikal. Mereka bertindak dengan pantas dan berani.
Pendakwaan kes rasuah berprofil tinggi dipercepat, tanpa mengira kedudukan pelaku. Pangkalan data pemilik sebenar syarikat diwujudkan secara telus dan mudah diakses oleh pihak berkuasa dan masyarakat. Kawal selia terhadap sektor bukan kewangan diperketat, termasuk sektor guaman, hartanah dan perkhidmatan profesional yang selama ini menjadi ruang gelap.
Yang paling penting, mereka membuktikan bahawa sistem kehakiman boleh berfungsi tanpa campur tangan politik.
Malaysia juga mampu melakukan perkara yang sama, jika ada kesungguhan untuk melepaskan kawalan elit terhadap mekanisme penguatkuasaan.
Masalah sebenar bukanlah kekurangan akta, tetapi keengganan untuk menyentuh tangan-tangan yang selama ini kebal.
Kegagalan Yang Tertulis Hitam Putih
Dalam penilaian FATF, Malaysia gagal dalam beberapa Immediate Outcomes paling kritikal, termasuk keberkesanan penyiasatan dan pendakwaan (I.O.7), keberkesanan tindakan terhadap pengubahan wang haram rentas sempadan (I.O.8), dan ketelusan pemilikan sebenar (I.O.5).
Ini bukan kelemahan teknikal, tetapi refleksi terus kepada masalah struktur dan keberanian institusi.
Selagi kes-kes besar tergantung tanpa penyelesaian, dan pelaku utama kekal bebas dengan perlindungan politik, selagi itulah negara ini akan terus dianggap lemah, walaupun skornya tinggi atas kertas.
Cadangan: Pecahkan Monopoli Pendakwaan
Jika Malaysia serius mahu keluar dari senarai kelabu, satu langkah konkrit mesti dipertimbangkan – memisahkan fungsi pendakwaan jenayah kewangan daripada Pejabat Peguam Negara dan mewujudkan Suruhanjaya Pendakwaan Bebas.
Badan ini, yang diberi kuasa undang-undang dan di bawah pengawasan Parlimen, harus bertanggungjawab terus kepada rakyat, bukan kepada eksekutif.
Tanpa reformasi struktur sebegini, segala retorik integriti hanya akan terus menjadi kosmetik.
Antara Dasar Dan Pelaksanaan
Malaysia tidak kekurangan dasar. Kita tidak kurang pelan. Kita tidak kurang janji. Tetapi dasar tanpa pelaksanaan hanyalah retorik. Akta tanpa keberanian hanyalah perhiasan. Ia memualkan!
Dunia hari ini tidak menilai berdasarkan bilangan pindaan yang diluluskan. Dunia mahu tahu siapa yang akhirnya dibawa ke muka pengadilan. Dunia mahu tahu sama ada sistem berani berfungsi terhadap orang yang paling berkuasa.
Dalam era penilaian ESG, algoritma risiko dan indeks reputasi digital, pelabur tidak membuat keputusan berdasarkan pengumuman. Mereka menilai ketelusan dan keberkesanan. Mereka mahu bukti bahawa sistem mampu melindungi dana mereka daripada kleptokrasi.
Gagal menguatkuasakan undang-undang secara adil bukan sekadar kelemahan pentadbiran. Ia adalah petanda bahawa kerosakan telah berakar umbi.
Wajah Yang Kita Takutkan
Kita terlalu sibuk mempertahankan persepsi. Kita terlalu giat menjual imej. Kita terlupa bahawa reputasi tidak dibina melalui penafian. Ia hanya akan kukuh apabila kita sanggup mengaku salah, memperbaiki kesilapan dan menanggung akibatnya.
Selagi Malaysia lebih berminat untuk kelihatan baik daripada menjadi baik, selagi itu kita akan terus menjadi negara yang menunggu pengesahan luar untuk merasa berjaya.
Dan mungkin, pada saat paling jujur nanti, kita akan sedar bahawa iblis sebenar bukanlah persepsi luar. Ia adalah ketakutan kita sendiri untuk bercermin. Kerana kita tahu, wajah yang terpancar bukan wajah yang kita sanggup terima. - DagangNews.com








