Malaysia pernah dikenali sebagai Harimau Asia, simbol kemajuan ekonomi yang digeruni.
Namun, hari ini, kita lebih menyerupai kucing domestik jinak yang hanya menunggu ihsan pelabur asing sambil meyakinkan diri bahawa dunia masih memerlukan kita.
Setiap kali ekonomi global bergoncang, kerajaan akan mengulang skrip yang sama:
“Malaysia adalah hab semikonduktor global.”
Tetapi benarkah kita kuasa besar, atau hanya buruh upahan dalam rantaian bekalan dunia?
Ketika perang perdagangan AS-China semakin tegang, Trumponomics 2.0 mengenakan tarif 25% ke atas cip dari China, Taiwan, Korea Selatan, dan Malaysia. Syarikat AS mula menyusun semula rantaian bekalan mereka, memberi peluang kepada negara-negara serantau untuk merebut pelaburan baharu.
Vietnam memperoleh pelaburan AS$5 bilion dalam fabrikasi dan reka bentuk cip. India melancarkan insentif AS$10 bilion. Singapura memperkukuh kedudukan sebagai pusat teknologi tinggi.
Malaysia? Masih “memantau perkembangan” – seolah-olah dunia menunggu kita membuat keputusan.
Delusi Malaysia sebagai “Hab Semikonduktor”
Malaysia sering berbangga dengan eksport cip AS$16.2 bilion ke AS (2024), tetapi sejauh mana kita benar-benar menguasai industri ini?
TSMC? Taiwan. Samsung? Korea Selatan. Intel? Amerika Syarikat.
Kilang kita beroperasi, tenaga kerja kita digunakan, tetapi teknologi dan paten utama masih dipegang syarikat asing. Mereka datang kerana kos buruh rendah, bukan kerana kekuatan ekosistem inovasi kita.
Vietnam membina asas teknologi kukuh, India pula aktif membangunkan pusat reka bentuk cip, sementara Malaysia masih percaya bahawa kehadiran kilang semata-mata cukup untuk memacu industri.
Syarikat tempatan seperti Inari, MPI, dan SilTerra memainkan peranan dalam ekosistem ini, tetapi tanpa kawalan ke atas teknologi dan modal strategik, mereka kekal di peringkat sub-kontraktor.
Akhirnya, Malaysia hanya menyewakan tanah kepada gergasi industri tanpa memperoleh nilai tambah sebenar.
MITI & MOF: Pemantau atau Pemacu?
MITI berkata mereka sedang “memantau perkembangan semasa.” Tapi sejak bila memantau dianggap strategi ekonomi?
Kerajaan sebenarnya ada Pelan Tindakan Ekosistem Semikonduktor Nasional (NSAP) 2023, tetapi tanpa bajet yang cukup dan hala tuju jelas, ia hanya sekadar dokumen dasar tanpa impak sebenar. Apa gunanya pelan jika ia tidak diterjemahkan kepada tindakan?
Kita sudah lihat kegagalan dasar-dasar lain sebelum ini, seperti Dana R&D yang akhirnya disalurkan kepada projek yang tidak membawa nilai industri sebenar.
Insentif fiskal yang sepatutnya membantu syarikat tempatan pula sering disalurkan kepada syarikat asing yang akhirnya membawa keluar teknologi dan keuntungan tanpa menyokong pemain serta membangunkan ekosistem tempatan.
MOF pula melihat insentif sebagai beban fiskal, bukan pelaburan strategik. Taiwan dan Korea Selatan memperuntukkan sebahagian besar KDNK mereka untuk R&D, sedangkan Malaysia hanya 1.44% – terlalu kecil untuk bersaing dalam industri bernilai tinggi.
Pelaburan dalam inovasi harus selari dengan cita-cita. Tanpa perubahan dasar yang berani, Malaysia akan terus bermimpi menjadi hab teknologi, tetapi realitinya sekadar buruh dalam industri yang dikuasai negara lain.
MOSTI: Di Mana Syarikat Malaysia?
Jika Malaysia benar-benar kuasa besar semikonduktor, di manakah syarikat tempatan yang setanding dengan TSMC, Samsung atau Intel? Kenapa SilTerra, satu-satunya syarikat fabrikasi cip tempatan, gagal berkembang seperti TSMC?
Hakikatnya, kita masih sekadar hab pemasangan.
Hari ini, kita sibuk bercakap tentang inovasi, tetapi apa yang kita boleh tunjuk? Universiti menghasilkan prototaip yang tidak pernah sampai ke pasaran global.
MOSTI selalu bercakap tentang ‘teknologi masa depan’, tetapi tanpa strategi yang memihak kepada syarikat tempatan, Malaysia hanya kekal sebagai pengguna cip negara lain.
Selagi kerajaan melihat teknologi sebagai bahan pemasaran dan bukan agenda nasional, kita hanya membekalkan tenaga kerja murah kepada industri semikonduktor dunia tanpa memiliki apa-apa.
Negara lain melahirkan jurutera, membina ekosistem, melindungi paten teknologi. Taiwan dan Korea Selatan melahirkan lebih 10,000 jurutera semikonduktor setiap tahun melalui universiti dan institut teknikal yang berorientasikan industri.
Di Malaysia, hanya sekitar 20% graduan kejuruteraan mendapat pekerjaan dalam sektor teknologi tinggi kerana silibus yang tidak relevan dengan keperluan industri.
Malaysia bukan kekurangan bakat, tetapi sistem pendidikan kita gagal menyediakan mereka untuk industri ini. Syarikat global memerlukan jurutera yang bersedia bekerja di lapangan, bukan sekadar graduan yang hanya cemerlang dalam teori.
Apa yang Boleh Dilakukan?
Malaysia masih boleh mengejar jika segera membina ekosistem teknologi yang berpaksikan inovasi tempatan. Ini bukan sekadar pelaburan, tetapi survival ekonomi jangka panjang.
Mengatakan Malaysia perlu “menjadi pemilik teknologi” tidak mencukupi. Bagaimana kita boleh mencapainya?
- Tingkatkan Pelaburan R&D kepada 3-4% KDNK
Dana strategik mesti diwujudkan dengan kerjasama GLC dan sektor swasta untuk membiayai syarikat tempatan.
- Model Insentif Bersasar
Geran khas dan pembiayaan perlu diberikan kepada syarikat Malaysia dalam reka bentuk cip dan fabrikasi semikonduktor.
- Lindungi Hak Teknologi dan Paten Tempatan
Taiwan menguasai ribuan paten reka bentuk cip, memberi mereka kelebihan daya saing global. Malaysia perlu dasar yang memastikan teknologi yang dibangunkan oleh syarikat tempatan tidak jatuh ke tangan syarikat asing.
- Gunakan Pendekatan Taiwan & Korea Selatan
Taiwan membangunkan TSMC melalui dana awam dan kerjasama sektor swasta. Malaysia boleh menubuhkan konsortium teknologi untuk menyatukan universiti, industri, dan dana pelaburan.
- Jadikan Pulau Pinang dan Kulim sebagai Kluster Inovasi
Korea Selatan menggunakan model ‘Industrial Innovation Clusters’ untuk menghubungkan syarikat teknologi tempatan dengan pembiayaan dan pasaran global. Malaysia boleh menggunakannya dengan memastikan Pulau Pinang dan Kulim benar-benar menjadi pusat pembangunan teknologi cip.
Mengaum atau Mengiau?
Lambat laun, Pulau Pinang dan Kulim Hi-Tech mungkin hanya tinggal nama seperti Mimaland dan MAPS.
Tanpa tindakan drastik, Malaysia bakal hilang dari peta semikonduktor dunia. Kita boleh mengubah nasib atau sekadar melihat negara lain melangkah ke hadapan.
Mengaum sebagai pemimpin atau mengiau untuk meminta-minta? - DagangNews.com








