Sejumlah 40 buah anak syarikat daripada lima agensi persekutuan mencatatkan kerugian bernilai RM2.66 bilion sepanjang 2023 dengan yang paling tinggi direkodkan ialah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menjadi perbualan yang amat merunsingkan.
Syarikat-syarikat ini ialah syarikat yang modal keseluruhan atau sebahagian besarnya dimiliki oleh kerajaan. Ini bermakna kerajaan SEPATUTNYA mempunyai kawalan yang ketara dalam membuat keputusan dalam pengurusan syarikat.
Objektif utama syarikat-syarikat ini ditubuhkan adalah bertujuan untuk melaksanakan pelbagai fungsi penting bagi negara dan masyarakat.
Secara kolektifnya adalah untuk memenuhi keperluan asas masyarakat. Peranan syarikat-syarikat ini seharusnya terlibat dalam menyediakan barangan dan perkhidmatan yang dianggap sebagai keperluan asas masyarakat, seperti tenaga, pengangkutan, komunikasi, dan makanan.
Ini bertujuan untuk memastikan ketersediaan barangan dan perkhidmatan pada harga yang berpatutan, mampu milik dan kualiti yang terjamin.
Selain dari itu kerajaan seharusnya memastikan bahawa sayarikat-syarikat ini benar-benar berdaya saing dalam memacu pertumbuhan ekonomi mengikut kerangka ekonomi yang hendak dilaksana dan akhirnya akan memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara.
Syarikat-syarikat ini juga seharusnya menjadi tulang belakang kerajaan melalui pelaburan dalam pelbagai sektor, bagi membolehkan penciptaan pekerjaan baharu, meningkatkan produktiviti, dan memajukan teknologi. Ini perlu dioptimumkan dan perkembangan terkini juga amat merundum perkembangannya.
Menilai
Kita perlu melihat semula bagaimana syarikat-syarikat ini dapat memainkan peranan mengekalkan kestabilan ekonomi negara, dengan dijadikan instrumen untuk menggerakkan kerangka ekonomi negara seperti menstabilkan bekalan beras tempatan contohnya.
Perusahaan milik negara seharusnya boleh memainkan peranan dalam mengawal selia harga barangan dan perkhidmatan seperti air dan elektrik, serta menyediakan bantuan sosial kepada orang yang memerlukan contohnya dalam pendidikan tinggi seperti mewujudkan lebih banyak universiti untuk golongan yang tidak berkemampuan.
Syarikat milik kerajaan atau GLC juga memainkan peranan secara optimum untuk memacu serta menjalankan projek strategik negara seperti pengurusan lapangan terbang contohnya.
Syarikat ini diamanahkan untuk melaksanakan projek strategik negara yang memberi impak besar kepada ekonomi negara. Projek-projek ini mungkin termasuk pembangunan infrastruktur, pembangunan sumber asli, atau perolehan teknologi canggih.
Secara umum peranan GLC adalah membantu sesebuah negara dalam mengerakkan aktiviti ekonomi secara terancang.
Dalam menggerakkan model ekonomi sesebuah negara itu GLC akan mengupayakan aktiviti ekonomi yang menjadi tujahan utama negara ini.
Terasnya dengan adanya GLC ini, pengurusan sepatutnya akan lebih telus dan efisien dan yang penting akan memberikan impak kepada Malaysia untuk berkembang menjadi negara maju yang akan dapat terlepas dari jerat negara pendapatan kelas menengah.
Semestinya rakyat negara ini mengimpikan GLC yang mampu menjadi instrumen pengurusan aset berkepentingan umum yang baik untuk negara dan rakyat.
Selagi agensi ini diurus secara profesional dan bebas daripada campur tangan daripada sebarang kepentingan politik sudah tentulah keadaan sekarang dapat diperbaiki.
Mesti Diurus Secara Profesional
Kuncinya ialah pengurusan mesti profesional. Kita melihat perlu wujud keseimbangan antara pulangan pelaburan dan kitar semula aset. Ini adalah salah satu asas penting kepada GLC untuk berjaya mengikut matlamat operasinya.
Selain menyasarkan sasaran berupa keuntungan jangka panjang kewangan dan kesan sosial yang positif bagi masyarakat Malaysia kini muncul pula penarafan baharu yang perlu menjadi tumpuan GLC.
Syarikat-syarikat ini juga diharapkan mampu menerapkan pelaburan yang berterusan melalui prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus korporat (ESG).
Pelaksanaan prinsip ESG dalam GLC ini juga dibahagikan kepada 3 kelompok inisiatif, iaitu:
- Persekitaran (lingkungan): praktis gaya hidup berasaskan lingkungan, inisiatif dekarbonisasi, pasar karbon, dan penggunaan kenderaan berbahan bakar elektrik.
- Sosial (sosial): kesetaraan jantina, persiapan regenerasi dari kalangan muda, fokus pada pendidikan dan pemberdayaan masyarakat, program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), serta inklusi kewangan.
- Tadbir urus (tata kelola): tindakan anti suap dan korupsi, laporan konsolidasi kewangan, dan tata kelola organisasi.
Profesionalisme sumber manusia GLC perlu dipertingkatkan. Mereka memerlukan sumber manusia profesional terbaik yang mempunyai pengetahuan menyeluruh dalam menjalankan perniagaan.
Dua nilai utama ini diperoleh daripada laluan kerjaya yang panjang bermula daripada kakitangan, perpindahan antara GLC, serta pendidikan/latihan berterusan yang sesuai dengan dinamik perniagaan perlu diperbanyakkan.
Kewibawaan kerajaan dalam penempatan lembaga pengarah dan pengarah urusan seharusnya lebih proportional dalam menentukan kedua-dua nilai ini, dan tidak lebih dominan dalam pertimbangan politik dan perwakilan elemen institusi masyarakat atau kementerian.
Kekurangan kapasiti lembaga pengarah dan pengarah urusan terhadap kedua-dua nilai ini memberi kesan kepada lemahnya kepimpinan dan keupayaan dalam melaksanakan dan memantau dasar strategik dan operasi syarikat untuk memenangi persaingan. - DagangNews.com








