Kepimpinan Tanpa Heroisme: Amanah yang Tidak Memerlukan Tepukan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kepimpinan Tanpa Heroisme: Amanah yang Tidak Memerlukan Tepukan

Oleh ARIFFIN SABIRIN

Dalam banyak wacana kepimpinan hari ini, kita sering disajikan dengan naratif heroisme.

 

Pemimpin digambarkan sebagai wira, penyelamat keadaan, tokoh luar biasa yang berdiri di hadapan, membuat keputusan dramatik, dan diraikan oleh khalayak.

 

Kepimpinan dipersembahkan seolah-olah sebuah pentas, dan pemimpin ialah pelakon utama yang wajar dipuji, dipetik kata-katanya, dan dijadikan simbol kejayaan.

 

Namun, setelah hampir tiga dekad saya terlibat secara langsung dalam dunia perancangan harta Islam, dan lebih dua dekad memikul amanah memimpin Wasiyyah, saya sampai kepada satu kesimpulan yang mungkin tidak popular: kepimpinan yang paling berkesan selalunya tidak memerlukan heroisme.

 

Malah, dalam kerangka kepimpinan berteraskan Syariah, heroisme sering kali menjadi gangguan kepada amanah.

 

Kepimpinan Tanpa Heroisme Memerlukan Disiplin Dalaman

Kepimpinan bukan tentang siapa yang paling menonjol, tetapi siapa yang paling konsisten menjaga prinsip apabila tiada siapa melihat. Ia bukan tentang siapa yang paling lantang bercakap, tetapi siapa yang paling berhati-hati membuat keputusan kerana sedar kesannya melangkaui dirinya sendiri.

 

Dalam banyak keadaan, pemimpin yang benar-benar memikul amanah akan kelihatan biasa-biasa sahaja malah kadangkala disalah tafsir sebagai tidak cukup “berkarisma”.

 

Saya belajar bahawa kepimpinan tanpa heroisme menuntut satu disiplin dalaman yang tinggi: disiplin untuk tidak menjadikan diri sendiri sebagai pusat naratif. Ia menuntut kerendahan hati untuk mengakui bahawa sistem lebih penting daripada individu, proses lebih utama daripada populariti, dan kebenaran tidak memerlukan wajah untuk menjadi sah.

 

Sistem Lebih Utama Daripada Individu

Dalam konteks Syariah, ini sangat jelas. Syariah tidak dibina untuk mengangkat individu, tetapi untuk menjaga maqasid; agama, nyawa, akal, keturunan, dan harta.

 

Apabila seorang pemimpin terlalu diraikan, ada risiko keputusan mula dipengaruhi oleh keinginan untuk mengekalkan imej, mempertahankan reputasi, atau memenuhi jangkaan emosi khalayak. Pada saat itu, kepimpinan boleh tergelincir daripada amanah kepada persembahan.

 

Saya bukan datang daripada latar belakang Syariah. Saya dibentuk oleh dunia perbankan, iaitu dunia yang menekankan struktur, risiko, tadbir urus, dan kebolehkesanan.

 

Apabila saya mula memperjuangkan prinsip Syariah dalam pengurusan harta dan kepimpinan organisasi, skeptisisme yang saya hadapi bukan kecil. Saya tidak dilihat sebagai “hero” yang layak bercakap tentang Syariah. Saya tidak memiliki simbolisme agama yang mudah diterima masyarakat.

 

Kebebasan Dari Pujian Membolehkan Keputusan Tepat

Namun, pengalaman itu mengajar saya sesuatu yang penting, iaitu kepimpinan tanpa heroisme membebaskan kita daripada keperluan untuk kelihatan betul, dan memaksa kita untuk benar-benar betul. '

 

Apabila kita tidak bergantung kepada pujian, kita lebih bebas untuk berkata “tidak” apabila perlu, lebih berani untuk menolak jalan pintas, dan lebih sabar untuk membina sesuatu yang betul walaupun lambat.

 

Dalam perjalanan membangunkan sistem dan inovasi Syariah, termasuk proses digitalisasi, saya tidak pernah melihat diri saya sebagai wira perubahan.

 

Malah, jika diukur dari sudut penerimaan awam, keputusan-keputusan itu sering meletakkan saya di posisi yang sunyi. Kritikan datang lebih awal daripada sokongan. Keraguan lebih kuat daripada keyakinan orang ramai.

 

Namun, kepimpinan tanpa heroisme mengajar saya bahawa tugas pemimpin bukan untuk diyakini serta-merta, tetapi untuk memastikan keputusan yang dibuat boleh dipertanggungjawabkan hari ini, esok, dan selepas kita tiada. Ia adalah kepimpinan yang sanggup menunggu masa membuktikan kebenaran, bukan memaksa penerimaan segera.

 

Kejayaan Kolektif, Bukan Individu

Satu lagi ciri kepimpinan tanpa heroisme ialah kesediaan untuk memberi kredit dan memikul kesalahan. Dalam organisasi, kejayaan sebenarnya lahir daripada kerja kolektif, disiplin pasukan, dan sistem yang dibina dengan teliti. Kejayaan bukan diasbabkan oleh kepimpinan individu.

 

Apabila pemimpin terlalu ghairah menjadi hero, kejayaan mudah disandarkan kepada individu, manakala kegagalan ditolak ke bawah. Ini bukan sahaja tidak adil, tetapi merosakkan budaya amanah.

 

Sebaliknya, kepimpinan tanpa heroisme melihat diri sebagai penjaga sistem. Jika sistem berfungsi, itu kejayaan bersama.

 

Jika sistem gagal, pemimpinlah yang perlu terlebih dahulu bertanya: “Di mana kelompongan tadbir urus yang saya terlepas pandang?” Pendekatan ini mungkin tidak glamor, tetapi ia melahirkan organisasi yang lebih stabil dan berdaya tahan.

 

Warisan Kepimpinan Berteraskan Syariah

Dalam kerangka Syariah, konsep ini selari dengan kefahaman amanah. Amanah bukan anugerah, tetapi tanggungjawab. Ia tidak menjanjikan kemasyhuran, tetapi menuntut pertanggungjawaban.

 

Pemimpin yang memahami amanah tidak mencari kedudukan untuk diraikan, tetapi bersedia memikul beban yang tidak kelihatan oleh orang ramai.

 

Kepimpinan tanpa heroisme juga mendidik kita untuk tidak bergantung kepada simbol diri. Apabila organisasi terlalu bergantung kepada seorang figura, kelangsungannya menjadi rapuh.

 

Tetapi apabila kepimpinan menumpukan kepada pembinaan sistem, nilai, dan budaya, organisasi mampu bergerak walaupun individu silih berganti.

 

Bagi saya, inilah warisan sebenar kepimpinan berteraskan Syariah — bukan nama yang diingati, tetapi sistem yang terus memberi manfaat.

 

Ketenangan Jiwa Sebagai Ganjaran

Ada yang beranggapan kepimpinan tanpa heroisme itu lemah, terlalu senyap, atau kurang daya tarikan. Hakikatnya, ia menuntut kekuatan yang lebih mendalam: kekuatan untuk tidak memusatkan diri, kekuatan untuk tidak bertindak demi imej, dan kekuatan untuk meletakkan kebenaran di hadapan walaupun diri sendiri tidak diraikan.

 

Dalam dunia yang semakin meraikan “personal branding”, saya sedar pendirian ini mungkin kelihatan ketinggalan.

 

Namun, saya yakin bahawa dalam jangka panjang, umat dan masyarakat tidak memerlukan lebih ramai hero, tetapi lebih ramai penjaga amanah. Mereka yang sanggup bekerja dalam senyap, membina dalam diam, dan mempertahankan prinsip walaupun tanpa tepukan.

 

Akhirnya, kepimpinan tanpa heroisme memberi saya satu nikmat yang sukar digambarkan: ketenangan jiwa. Ketenangan kerana tidak terikat kepada persepsi orang. Ketenangan kerana keputusan dibuat berdasarkan prinsip, bukan reaksi. Dan ketenangan kerana sedar bahawa apabila kita tidak menjadikan diri sebagai pusat, amanah lebih mudah dijaga.

 

Sebagai pemimpin organisasi, kepuasan utama saya bukanlah kepada “personal glory”, tetapi apabila melihat setiap keputusan dan tindakan menatijahkan sistem yang berfungsi, manfaat yang berterusan, dan niat yang kekal lurus.

 

Kerana apa? Kerana dalam kepimpinan berteraskan Syariah, yang paling penting bukan siapa kita kelihatan di hadapan manusia, tetapi bagaimana amanah itu terpelihara di sisi Allah dan dalam realiti kehidupan umat. - DagangNews.com