Kepimpinan dalam zaman perang: Ketenangan adalah strategi, kematangan adalah kekuatan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kepimpinan dalam zaman perang: Ketenangan adalah strategi, kematangan adalah kekuatan

Pentingnya disiplin diri seorang pemimpin: mengawal emosi, menapis maklumat dan tidak bertindak secara terburu-buru walaupun tekanan sangat tinggi. - Gambar hiasan oleh Muradi
Oleh ARIFFIN SABIRIN

Dunia hari ini tidak lagi bergerak dalam keadaan status quo. Krisis demi krisis datang silih berganti sejak dua dekad yang lalu.

 

Bermula daripada kegawatan ekonomi yang dicetuskan oleh krisis subprima pada 2008, ketidaktentuan geopolitik seperti konflik Ukraine-Rusia yang memberi kesan langsung kepada rantaian bekalan global, inflasi yang menjejaskan keyakinan pasaran, sehinggalah pandemik COVID-19.

 

Kini, ujian yang lebih berat daripada ujian-ujian sebelumnya sedang menanti di hadapan pintu, iaitu perang Iran-AS-Israel.

 

Dalam keadaan sebegini, organisasi bukan sahaja diuji dari sudut kewangan dan operasi, malah lebih besar lagi, organisasi diuji dari sudut kepimpinan. Hakikatnya, krisis tidak memusnahkan organisasi. Krisis hanya mendedahkan kelemahan kepimpinan yang sedia ada.

 

Seorang pemimpin yang hebat bukan diukur ketika organisasi berada dalam keadaan senang dan berkembang, tetapi ketika organisasi berada dalam tekanan, ketidakpastian dan ketakutan.

 

Dalam suasana krisis perang yang penuh dengan ketidaktentuan ini, terdapat dua sifat utama yang perlu dizahirkan oleh seorang pemimpin, iaitu ketenangan dan kematangan.

 

Ketenangan sebagai sumber kekuatan

Ketenangan bukan sekadar sikap luaran, tetapi merupakan keadaan dalaman yang terhasil daripada pengalaman, keyakinan, kejelasan visi serta kebergantungan kepada prinsip dan integriti yang kukuh.

 

Dalam suasana krisis, emosi akan menjadi sangat mudah terkesan oleh ketakutan terhadap masa depan, kebimbangan terhadap aliran tunai serta tekanan daripada pihak berkepentingan.

 

Ketenangan seorang pemimpin berfungsi sebagai “penstabil emosi” kepada seluruh organisasi. Apabila orang yang dipimpin melihat pemimpin mereka tenang, tidak panik dan mampu berfikir secara rasional, maka mereka juga akan berasa yakin dan selamat.

 

Sebaliknya, jika pemimpin sendiri gelisah dan bertindak secara reaktif, keresahan itu akan merebak ke seluruh organisasi dengan cepat.

 

Ketenangan membolehkan seorang pemimpin membuat keputusan yang lebih baik. Dalam keadaan panik, manusia cenderung membuat keputusan jangka pendek yang bersifat defensif dan responsif.

 

Namun, dalam keadaan tenang, seorang pemimpin mampu melihat gambaran yang lebih menyeluruh, menilai risiko dengan lebih objektif dan memilih strategi yang lebih lestari.

 

Di sinilah pentingnya disiplin diri seorang pemimpin: mengawal emosi, menapis maklumat dan tidak bertindak secara terburu-buru walaupun tekanan sangat tinggi.

 

Kematangan dalam membuat keputusan

Jika ketenangan ialah asas, maka kematangan ialah manifestasinya dalam tindakan.

 

Kematangan kepimpinan merujuk kepada keupayaan untuk membuat keputusan yang seimbang antara kepentingan jangka pendek dengan jangka panjang semua pemegang taruh, antara keperluan organisasi dengan kebajikan pekerja, serta antara realiti semasa dengan visi masa depan.

 

Dalam zaman krisis perang, banyak keputusan sukar perlu dibuat seperti pengurangan kos, penyusunan semula operasi atau perubahan strategi perniagaan. Keputusan-keputusan ini tidak popular, malah kadangkala menyakitkan.

 

Namun, kematangan seorang pemimpin terserlah apabila beliau mampu membuat keputusan tersebut dengan penuh hikmah tanpa mengorbankan nilai dan prinsip asas organisasi.

 

Pemimpin yang matang tidak akan menyalahkan keadaan semata-mata. Sebaliknya, beliau akan mengambil akauntabiliti penuh terhadap keputusan yang dibuat serta bersedia menjelaskan rasional di sebaliknya kepada seluruh warga organisasi dengan tenang dan tanpa bersikap defensif.

 

Kematangan juga bermaksud keupayaan untuk mendengar dan membuat keputusan secara kolektif. Dalam suasana krisis, maklumat dari lapangan sangat penting.

 

Pemimpin yang matang tidak bersifat autoritarian, sebaliknya membuka ruang kepada pandangan, maklum balas dan idea daripada pasukan mereka. Hal ini bukan sahaja meningkatkan kualiti keputusan, malah membina rasa memiliki dalam kalangan pekerja.

 

Komunikasi yang jelas dan jujur

Salah satu kesilapan besar dalam kepimpinan ketika krisis ialah kegagalan berkomunikasi secara berkesan.

 

Ada pemimpin yang memilih untuk menyalahkan orang lain atau berdiam diri kerana tidak mahu menimbulkan panik. Namun, kekosongan maklumat akan diisi dengan spekulasi, dan spekulasi selalunya lebih menakutkan daripada realiti.

 

Seorang pemimpin yang tenang dan matang akan berkomunikasi secara jelas, konsisten dan jujur. Mereka tidak perlu memberikan semua jawapan, tetapi mereka perlu menunjukkan bahawa mereka memahami situasi dan sedang menguruskannya sebaik mungkin.

 

Komunikasi yang baik juga melibatkan empati. Dalam krisis, pekerja bukan sahaja berdepan dengan tekanan kerja, tetapi juga tekanan peribadi seperti kenaikan kos sara hidup, ketidakstabilan ekonomi dan kebimbangan terhadap masa depan.

 

Pemimpin yang berkesan ialah mereka yang mampu memahami dimensi kemanusiaan ini dan menyesuaikan pendekatan mereka dengan penuh hikmah.

 

Berpegang kepada prinsip dan nilai

Krisis sering kali menggoda organisasi untuk mengorbankan prinsip demi kelangsungan jangka pendek.

 

Namun, sejarah telah menunjukkan bahawa organisasi yang berjaya bertahan dalam jangka panjang ialah organisasi yang tetap berpegang kepada nilai teras mereka walaupun dalam keadaan sukar.

 

Bagi organisasi yang berteraskan prinsip Syariah seperti Wasiyyah, hal ini menjadi lebih penting. Kepimpinan bukan sekadar soal strategi dan keuntungan, tetapi juga soal amanah, keadilan dan keberkatan.

 

Seorang pemimpin yang matang akan memastikan bahawa setiap keputusan yang dibuat tidak bercanggah dengan prinsip yang dipegang.

 

Mereka memahami bahawa kejayaan sebenar bukan sekadar bertahan dalam krisis, tetapi keluar daripada krisis dengan integriti yang lebih kukuh.

 

Membina daya tahan organisasi

Krisis perang mengajar kita bahawa dunia hari ini sangat tidak menentu. Oleh itu, kepimpinan tidak boleh hanya bersifat reaktif, tetapi perlu membina daya tahan (resilience) dan kemapanan dalam organisasi.

 

Pemimpin yang tenang dan matang akan melihat krisis sebagai peluang untuk memperkukuh asas organisasi, bukan sekadar bertahan.

 

Pengukuhan aliran tunai, mempelbagaikan sumber pendapatan, melabur dalam pembangunan bakat serta membina budaya kerja yang fleksibel dan adaptif akan menjadi keutamaan ketika ini.

 

Kepimpinan adalah amanah, bukan kuasa

Akhirnya, kita perlu kembali kepada hakikat bahawa kepimpinan ialah satu amanah.

 

Dalam konteks pengurusan krisis di Wasiyyah, amanah ini menjadi lebih berat kerana melibatkan ramai pihak, iaitu pekerja, pelanggan, masyarakat dan ummah.

 

Seorang pemimpin yang benar-benar memahami konsep amanah tidak akan menggunakan krisis sebagai alasan untuk bertindak sesuka hati.

 

Sebaliknya, mereka akan lebih berhati-hati, lebih bertanggungjawab dan lebih bersungguh-sungguh dalam memastikan setiap keputusan membawa kebaikan kepada semua pihak.

 

Tenang dan Yakin

Zaman krisis perang ini bukan sekadar menguji kekuatan ekonomi dan operasi organisasi, tetapi juga menguji kualiti kepimpinan.

 

Dalam dunia yang penuh dengan ketidakpastian, pekerja tidak hanya mencari jawapan, mereka mencari ketenangan. Mereka tidak hanya memerlukan arahan, mereka memerlukan keyakinan.

 

Seorang pemimpin yang tenang mampu menstabilkan organisasi. Seorang pemimpin yang matang mampu memandu organisasi ke arah yang betul. Dan seorang pemimpin yang berpegang kepada prinsip mampu memastikan bahawa perjalanan melalui krisis ini bukan sahaja selamat, tetapi juga diberkati.

 

Inilah hakikat kepimpinan sebenar: bukan sekadar membawa organisasi mencapai kejayaan, tetapi memastikan kejayaan itu dicapai dengan cara yang betul walaupun dalam keadaan yang paling mencabar. - DagangNews.com

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH

 

 

 

Ariffin Sabirin
Tn Hj Ariffin Sabirin adalah Pengasas, Presiden Kumpulan dan CEO Wasiyyah Shoppe Bhd