Kepimpinan Berasaskan Nilai: Formula Pengurusan Yang Sering Terlepas Pandang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kepimpinan Berasaskan Nilai: Formula Pengurusan Yang Sering Terlepas Pandang

Oleh ARIFFIN SABIRIN

Soalan yang sering diajukan kepada saya: Apakah rahsia di sebalik kejayaan Wasiyyah Shoppe Berhad (kini dikenali sebagai Wasiyyah)?

  • Adakah kejayaan ini disebabkan oleh produk patuh syariah yang inovatif?

  • Adakah kerana penggunaan teknologi digital?

  • Adakah kerana usaha tanpa jemu sejak 21 tahun lalu?

  • Atau mungkin kerana pasukan muda yang kreatif dan sokongan padu Lembaga Pengarah serta panel syariah yang berkaliber?

 

Jawapan saya: semuanya benar, namun kesemua elemen ini sebenarnya digerakkan oleh satu formula teras yang jarang diberi perhatian — iaitu Kepimpinan Berasaskan Nilai (Value-Based Leadership).

 

 

Xi

 

 

Nilai Sebagai Teras Kepimpinan

Selama lebih dua dekad saya memimpin Wasiyyah, dari sebuah syarikat kecil tanpa sumber kepada peneraju syarikat amanah patuh syariah terbesar di Malaysia, satu prinsip tidak pernah berubah — kepimpinan berasaskan nilai.

 

Ramai pemimpin organisasi meletakkan kejayaan pada produk, pemasaran, atau teknologi. Namun, dari pengalaman saya, kesemuanya hanyalah faktor sokongan. Nilai yang dipegang dan diterjemahkan dalam budaya organisasi adalah tunjang sebenar kejayaan.

 

Nilai itulah yang menjadi penentu dalam setiap keputusan — dari strategi pengurusan, pembangunan modal insan, pembinaan perkhidmatan, sehinggalah kepada impak terhadap masyarakat dan ummah.

 

 

Xi
Wasiyyah satu-satunya syarikat amanah di dunia yang memiliki pensijilan perkhidmatan pewarisan patuh syariah selari dengan standard AAOFII

 

 

Dari Hari Pertama: Patuh Syariah & Manfaat Kepada Ummah

Sejak hari pertama, Wasiyyah tidak pernah diasaskan untuk mengejar keuntungan semata-mata. Fokus kami adalah menyediakan perkhidmatan perancangan harta pusaka Islam yang patuh syariah dan memperkasa fiqh mawarith di Malaysia.

 

Ini adalah tanggungjawab fardhu kifayah kepada ummah. Oleh itu, nilai seperti integriti, keikhlasan, kejujuran dan keadilan menjadi asas dalam semua polisi dan perkhidmatan.

 

Saya sering ingatkan kepada seluruh warga Wasiyyah: setiap keputusan perlu menjawab dua soalan penting —

  1. Adakah ia patuh syariah?

  2. Adakah ia memberi manfaat kepada ummah?

Jika jawapannya ya, maka ia adalah keputusan yang berasaskan nilai.

 

Membina Karakter, Bukan Sekadar Menetapkan KPI

Antara kesilapan utama pemimpin ialah terlalu menekankan pencapaian dan produktiviti, tetapi mengabaikan pembangunan nilai dalam insan.

 

Di Wasiyyah, saya menetapkan setiap pemimpin, ketua jabatan dan daie untuk membina karakter orang bawahan mereka, bukan sekadar memberikan arahan. Kita menggabungkan teori pengurusan moden dengan nilai Islamik yang selari dengan maqasid syariah.

 

Hasilnya kini dapat dilihat. Kakitangan kami bersemangat, perkhidmatan semakin cekap dan maklumat disampaikan dengan tepat.

 

 

Xi

Nilai Dalam Inovasi Perkhidmatan

Di Wasiyyah, kami tidak pernah meniru perkhidmatan syarikat lain. Setiap inovasi seperti Hibah Hartanah Bercagar, UsraHDD dan Al-Wasitah lahir daripada kajian akademik serta disahkan oleh pakar syariah.

 

Mengapa sanggup melabur jutaan ringgit untuk R&D? Kerana nilai yang kami pegang. Kami yakin rezeki yang barakah datang dari usaha ikhlas yang benar-benar menyelesaikan masalah umat.

 

Kepimpinan Yang Meletakkan Ummah Di Hadapan

Kepimpinan berasaskan nilai juga mengajar kami bahawa kejayaan tidak boleh diukur dengan keuntungan semata-mata, tetapi dengan sejauh mana kita menyumbang kepada masyarakat.

 

Contohnya, Wasiyyah ialah satu-satunya syarikat amanah di Malaysia yang tidak mengenakan caj pengurusan pusaka kepada waris. Keputusan ini dibuat kerana kami tidak mahu waris terbeban dengan kos. Ini adalah nilai yang kami pegang teguh.

 

Selain itu, kami juga komited dalam pendidikan masyarakat — menerusi artikel, seminar dan program komuniti seperti Karnival Keluarga Bahagia di Johor Bahru baru-baru ini. Saya sendiri telah menulis lebih 350 artikel berkaitan pusaka patuh syariah di media arus perdana sejak lapan tahun lalu.

 

 

Xi

 

 

Mencipta Legasi Melalui Nilai

Hari ini, apabila masyarakat menyebut nama Wasiyyah, mereka melihat kami sebagai sebuah institusi yang membawa misi besar untuk umat Islam.

 

Inilah hasil konsistensi dalam mengamalkan kepimpinan berasaskan nilai selama dua dekad. Saya sentiasa berpesan kepada pasukan — kita bukan sekadar membina organisasi perniagaan, tetapi membina legasi yang memberi manfaat kepada ummah — walaupun selepas kita tiada.

 

Kembali Kepada Nilai

Sebagai penutup, saya menyeru kepada semua pemimpin organisasi — sama ada di sektor awam mahupun swasta — kembalilah kepada asas kepimpinan berasaskan nilai.

 

Letakkan integriti mengatasi keuntungan. Letakkan manfaat ummah melebihi kepentingan peribadi. Insya-Allah, kejayaan yang dicapai akan lebih kukuh, diberkati dan berkekalan. - DagangNews.com
 

 

Ariffin Sabirin
Tn Hji Ariffin Sabirin adalah Pengasas dan CEO Kumpulan Wasiyyah