Selamat menyambut Ramadan. Minggu ini tulisan saya agak berlainan kerana saya ingin menyentuh isu ‘parenting’ atau keibubapaan yang selalu terlepas pandang.
Isu ini berkait dengan urusan harta apabila ada anak yang didakwa sebagai ‘derhaka’ kepada ibu bapa.
Saya mendengar kisah daripada kedua-dua belah pihak, ibu bapa dan anak-anak. Ibu bapa bercerita mereka tidak mahu memberikan sebahagian harta kepada anak tertentu kerana anak itu ‘derhaka’ pada persepsi mereka.
Derhaka dalam persepsi ibu bapa
Apabila saya tanya apa yang dimaksudkan dengan ‘derhaka’ itu, sama ada anak-anak ini telah mencederakan secara fizikal, mengabaikan ibu bapa sehingga jatuh sakit atau tidak makan, atau menyakiti hati ibu bapa dengan bertutur kata kasar dan keras.
Ada ibu bapa yang memberikan maklum balas bahawa anak mereka tidak kerap bertemu dengan mereka dan tidak menyantuni mereka, tetapi dalam masa yang sama bertutur dengan lemah lembut serta memberikan komitmen menanggung segala perbelanjaan ibu bapa seperti kos perubatan dan sara hidup.
Jawapan saya kepada ibu bapa yang memberikan ulasan ini ialah kita perlu refleksi semula apa yang telah berlaku sepanjang proses pembesaran anak-anak ini. Adakah ibu bapa telah mengabaikan sentuhan emosi dan jiwa anak-anak ini? Adakah anak-anak ini dibiarkan membesar tanpa bimbingan emosi dan sentuhan kasih sayang ibu bapa?
Dalam keadaan ibu bapa sibuk mencari wang untuk membesarkan anak, mereka sering terlupa bahawa hubungan kasih sayang dan sentuhan emosi dengan anak-anak ialah elemen penting yang mengikat perasaan antara ibu bapa dan anak-anak.
Ibu bapa yang berfikir bahawa tanggungjawab mereka hanyalah sekadar mencari wang untuk menanggung dan membesarkan anak-anak sahaja menyebabkan anak-anak berasa ‘jauh’ daripada ibu bapa.
Dalam proses pembesaran, terutamanya pada peringkat remaja apabila personaliti diri mula terbina, anak-anak memerlukan bukan sahaja wang tetapi juga kasih sayang dan perhatian daripada ibu bapa.
Perkara yang dipandang remeh oleh ibu bapa seperti bertanya, “Bagaimana sekolah hari ini?”, “Cuti sekolah nanti kita hendak buat apa?”, “Siapa cikgu popular di sekolah?” sebenarnya ialah perkara yang penting kepada anak-anak.
Apabila pertanyaan kasual ini dilontarkan, anak-anak akan menerima mesej bahawa ibu bapa mengambil berat tentang mereka dan hubungan itu akan menjadikan anak-anak berasa sangat selesa untuk mengadu apa sahaja masalah mereka. Ibu bapa akan menjadi sahabat baik mereka.
Kisah dalam kereta
Ketika anak saya membesar, dia bercerita kepada saya bagaimana dia berasa marah kerana selalu diejek ‘gemuk’ di sekolah.
Jawapan saya ialah dia patut berasa kasihan kepada orang yang mengejeknya kerana orang itu sebenarnya mempunyai masalah kompleks rendah diri dan dengan mengejek anak saya, dia sebenarnya cuba menegakkan ego bahawa dia lebih baik.
Saya berpesan kepada anak saya bahawa dia sebenarnya cantik dan sempurna secara keseluruhan emosi, bukan sahaja dari segi penampilan fizikal.
Orang yang mengejeknya itu yang buta dan rugi kerana tidak mengenali anak saya secara peribadi. Kalau dia mengenalinya, pastinya dia akan menghargai anak saya sebagai rakan sekolahnya.
Anak saya terus tersenyum dan tidak lagi berasa tertekan di sekolah selepas mendengar nasihat saya. Malah, dengan penuh keyakinan diri, dia muncul sebagai pendebat dalam pasukan debat sekolah dan universiti, malah muncul juara peringkat kebangsaan.
Perbualan ini berlaku di dalam kereta ketika saya menjemputnya pulang dari sekolah hampir 16 tahun yang lalu. Kami masih ingat dengan jelas perbualan itu dan selalu tergelak bersama apabila mengingatinya.
Anak-anak mungkin tidak ingat apa makanan yang dihidangkan di atas meja, tetapi memori mereka subur dengan ‘sentuhan emosi’ seperti perbualan ini. Itulah yang mengikat perasaan kami dengan kuat.
Adakah benar anak derhaka apabila tiada ikatan perasaan yang kuat dengan ibu bapa?
‘Derhaka’ ialah satu tuduhan yang berat terhadap anak.
Apabila anak itu telah menjalankan semua tanggungjawabnya dengan baik seperti bertutur lemah lembut kepada ibu bapa, menampung sepenuhnya semua perbelanjaan kehidupan ibu bapa seperti makan minum, tempat tinggal dan belanja perubatan, malah menanggung juga perbelanjaan ahli keluarga lain seperti yang diminta ibu bapanya, pada saya anak itu telah mencuba sedaya upaya untuk menjadi anak yang baik mengikut laras agama.
Hanya kerana anak itu tidak baring di paha ibu bapanya dan tidak bercerita kisah kehidupannya yang sepanjang waktu membesar dilalui bersendirian tanpa ibu bapa dalam kisah itu, tidak bermakna dia ‘derhaka’ dan tidak taat.
Perasaannya terhadap ibu bapa tetap ada kerana dia faham tanggungjawabnya sebagai anak mengikut ketetapan agama. Namun, disebabkan ketiadaan sentuhan kasih sayang dan emosi sepanjang membesar, dia kekok dan tidak tahu bagaimana hendak menzahirkan perasaan itu.
Apabila berjumpa kes sebegini, saya selalu menasihatkan ibu bapa bahawa mereka sepatutnya bersyukur mendapat anak seperti ini kerana terlalu banyak kes di luar sana yang saya temui di mana anak benar-benar ‘derhaka’ dengan mengabaikan ibu bapa sehingga ibu bapa terlantar kesakitan, kelaparan dan bersendirian.
Selain memaki hamun, anak yang benar-benar derhaka seperti ini juga membebankan lagi ibu bapa yang telah tua dengan meminta wang daripada mereka.
Sebagai manusia, kita kadang-kadang terlupa untuk bersyukur kerana sentiasa menganggap kita malang mendapat anak ‘derhaka’ seperti ini, sedangkan di luar sana ada lebih ramai lagi ibu bapa yang dilayan dengan lebih teruk oleh anak yang benar-benar derhaka.
Kenapa ibu bapa boleh membesarkan 10 anak tetapi 10 anak tidak boleh menjaga ibu bapa?
Selepas mendengar cerita ibu bapa dan meneutralkan emosi mereka, saya meneutralkan pula anak-anak.
Mereka perlu faham bahawa ibu bapa mereka semakin menua dan yang datang bersama usia lanjut ini bukan sahaja fizikal yang lemah, tetapi juga emosi yang sensitif, tidak stabil dan kadangkala tidak rasional.
Anak-anak, di celah-celah kesibukan menguruskan keluarga sendiri dan berdepan dengan tuntutan serta cabaran kerjaya, perlu memupuk kesabaran yang tinggi dalam melayan segala kerenah ibu bapa.
Ada anak yang berkongsi bahawa mereka tidak tahu apa lagi yang diharapkan oleh ibu bapa kerana telah berkorban segala yang termampu untuk membahagiakan mereka, tetapi masih tidak mencukupi.
Saya secara konsisten menyanggah perumpamaan bahawa ibu bapa boleh menjaga 10 anak tetapi 10 anak tidak boleh menjaga ibu bapa. Menjaga anak-anak dengan menjaga ibu bapa yang tua ialah dua spektrum yang berbeza.
Anak-anak kecil, jika tidak menurut kata, boleh dimarahi atau dipukul jika perlu. Kita boleh mengunci rumah untuk mengelakkan mereka keluar. Anak-anak tiada ego terhadap ibu bapa.
Ibu bapa yang tua pula tidak boleh dimarahi atau dikurung. Fikiran mereka tidak boleh sentiasa dirasionalkan. Ego mereka sebagai ibu bapa jauh lebih tinggi daripada ego kita sebagai anak kerana merekalah yang melahirkan dan membesarkan kita serta jauh lebih berpengalaman dalam hidup.
Apa yang kita cadangkan kepada mereka untuk perubatan atau keselesaan hidup, walaupun pada fikiran rasional kita itulah yang terbaik berdasarkan kekangan dan sumber semasa, ibu bapa mungkin menyangkal dan tidak bersetuju. Ibu bapa akan bertegas menyuruh anak-anak patuh kepada arahan dan kemahuan mereka. Jika anak enggan patuh, maka anak itu terus dilabel ‘derhaka’.
Kepada anak-anak yang telah cuba memberikan yang terbaik, label ‘derhaka’ ini sangat mengguris perasaan dan menyebabkan mereka berasa jauh hati.
Teruskan berbakti kerana Allah SWT
Kepada anak-anak, saya berpesan agar terus berbakti pada tahap maksimum kepada ibu bapa walaupun dilabel ‘derhaka’. Niatkan dalam hati untuk berbakti kerana Allah SWT walaupun label ‘derhaka’ ini sukar untuk ditelan.
Saya pernah menasihatkan seseorang supaya bersabar dan terus berbakti walaupun dia kerap dimaki hamun oleh ibu bapanya yang telah uzur, berumur dan tidak waras.
Memang kehidupan kita bergantung kepada doa ibu bapa, namun maki hamun dan label ‘derhaka’ oleh ibu bapa yang berada dalam kategori ini, insya-Allah tidak menjejaskan anak-anak selagi anak itu mempunyai niat yang betul dan telah memberikan bakti terbaik dalam kemampuannya.
Alhamdulillah, kehidupan hamba Allah itu baik-baik sahaja walaupun selepas kematian ibu bapanya.
Allah Maha Mengetahui apa yang ada dalam hati kita sebagai anak dan kepada-Nya sahajalah kita berserah. Teruslah berbakti. - DagangNews.com








