Sistem cukai jalan digital yang kononnya moden, kini menjadi kelemahan terbesar negara.
Kelonggarannya membolehkan pemilik kenderaan culas terus beroperasi tanpa cukai jalan dan insurans yang sah, mengancam keselamatan pengguna jalan raya.
Sudah tiba masanya untuk tindakan tegas: hapuskan sistem ini dan gantikan dengan plat kenderaan tahunan sebagai bukti pembaharuan cukai dan insurans.
Langkah ini akan memastikan penguatkuasaan lebih ketat, telus, dan tidak mudah dimanipulasi.
Plat Kenderaan Tahunan: Penghalang Mutlak Kenderaan Haram
Pendekatan ini berfungsi secara mudah dan tegas: setiap tahun, pemilik kenderaan wajib mendapatkan plat baharu dengan reka bentuk unik yang dikeluarkan oleh JPJ atau pihak agensi yang diberi kuasa.
Mudah! Tiada plat baharu, tiada lesen untuk beroperasi di jalan raya.
Bagi memastikan ketulenan dan keselamatan, plat ini mesti dilengkapi dengan ciri keselamatan berteknologi tinggi, termasuk:
- Kod QR Unik – Setiap plat dipaut terus ke pangkalan data JPJ untuk pengesahan serta-merta.
- Hologram Keselamatan – Menggunakan teknologi yang mustahil untuk dipalsukan.
- Dakwat Fluoresen – Hanya boleh dikesan menggunakan cahaya UV oleh penguatkuasa.
- Nombor Siri Tersendiri – Menjadikan setiap plat unik dan tidak boleh diklon.
Dengan sistem ini, tiada lagi kenderaan yang beroperasi tanpa insurans atau cukai jalan yang sah.
Mana-mana kenderaan yang masih menggunakan plat tahun sebelumnya secara automatik dianggap haram di jalan raya dan boleh dikenakan tindakan serta-merta.

Penguatkuasaan Lebih Efektif, Tiada Lagi Alasan
Masalah terbesar sistem digital ialah ia memerlukan alat imbasan atau semakan dalam talian.
Dalam banyak kes, polis trafik atau JPJ tidak dapat segera mengesan kesalahan kerana bergantung kepada teknologi yang kadangkala gagal atau lambat berfungsi.
Dengan sistem plat tahunan, penguatkuasaan menjadi semudah pemerhatian visual.
Pegawai penguatkuasa hanya perlu melihat reka bentuk plat – jika ia bukan plat terkini, itu sudah cukup untuk mengenakan tindakan.
Lebih kritikal, sistem ini berpotensi menutup ruang manipulasi yang mungkin wujud dalam sistem digital sedia ada.
Tanpa pemeriksaan fizikal yang kerap, terdapat kemungkinan pemilik kenderaan memperbaharui cukai jalan secara digital semata-mata untuk memperoleh rekod sah dalam sistem, tetapi kemudiannya membatalkan insurans mereka bagi mengurangkan kos, menjadikan mereka tetap beroperasi di jalan raya tanpa perlindungan yang sah.
Sekiranya sistem plat tahunan diperkenalkan, kelemahan ini dapat diatasi sepenuhnya, kerana kenderaan tanpa plat baharu boleh dikesan secara visual dan dikenakan tindakan serta-merta tanpa kebergantungan kepada semakan digital yang memerlukan akses sistem.
Tingkatkan Denda: Setimpal dengan Risiko Nyawa Orang Lain
Sudah tiba masanya kerajaan berhenti memberikan ‘peluang kedua’ kepada pemilik kenderaan yang cuai dan sengaja mengambil ringan undang-undang.
Kesalahan tidak memperbaharui cukai jalan dan insurans bukan lagi isu remeh – ia adalah ancaman keselamatan kepada orang tidak bersalah yang terpaksa berkongsi jalan dengan kenderaan tanpa perlindungan sah.

Denda minimum perlu dinaikkan ke kadar sekurang-kurangnya bersamaan dengan kos insurans dan cukai jalan tahunan kenderaan tersebut.
Sebagai contoh mudah:
- Jika insurans dan cukai jalan sebuah kenderaan berharga RM1,500 setahun, maka pemilik yang gagal memperbaharuinya perlu membayar denda minimum RM1,500.
- Jika kesalahan berulang kali dilakukan dalam tempoh dua tahun berturut-turut, pemilik boleh disenarai hitam daripada memperbaharui lesen memandu atau mendapatkan sebarang pinjaman kenderaan baharu.
Denda yang lebih tinggi ini akan melenyapkan mentaliti pemilik kenderaan yang lebih rela mengambil risiko daripada membayar insurans.
Sekarang, mereka hanya mempunyai dua pilihan – membayar cukai jalan dan insurans seperti yang sepatutnya, atau bersedia menanggung penalti yang jauh lebih tinggi.
Jalan Raya Lebih Selamat, Tiada Lagi Kenderaan “Haram”
Tiada lagi alasan untuk mengekalkan sistem lama yang sudah terbukti gagal.
Melalui pelaksanaan sistem plat tahunan, kerajaan dapat memastikan setiap kenderaan di jalan raya mempunyai perlindungan insurans yang sah, menghapuskan risiko pampasan tidak dapat dituntut apabila berlaku kemalangan.
Lebih daripada itu, sistem ini juga berfungsi sebagai mekanisme pembersihan jalan raya daripada kenderaan lama dan berisiko tinggi.
Jika sesebuah kenderaan gagal melepasi pemeriksaan teknikal yang diperlukan untuk pembaharuan cukai jalan, maka ia tidak akan mendapat plat baharu dan secara automatik dianggap tidak layak beroperasi.

Jangan Tunggu Sampai Masalah Bertambah Parah
Jadi, kita masih mahu terus hidup dalam ilusi bahawa sistem cukai jalan digital ini berfungsi dengan sempurna? Sudah tentu!
Dalam dunia khayalan yang direka oleh birokrat badut, setiap pemilik kenderaan kononnya berdisiplin tinggi.
Mereka bangun pagi, tersenyum melihat tarikh tamat cukai jalan, dan dengan penuh kesedaran serta rasa tanggungjawab segera memperbaharuinya. Tiada siapa yang sengaja membiarkan cukai jalan mereka luput.
Tiada siapa yang akan berkata, “Ala, JPJ bukannya periksa satu-satu pun.” Tiada siapa yang memandu kenderaan tanpa cukai jalan dan insurans bertahun-tahun dengan penuh keyakinan bahawa sistem ini terlalu lemah untuk menangkap mereka.
Tetapi di dunia sebenar, jalan raya kita penuh dengan kenderaan haram yang bebas bergerak kerana mereka tahu penguatkuasaan hanya wujud atas kertas.
Tiada pelekat? Tiada masalah. Tiada insurans? Lagi lah seronok! Pihak berkuasa tidak mungkin mampu menahan setiap kenderaan yang lalu lalang semata-mata untuk menyemak cukai jalan dan insurans satu per satu.
Dan apabila kenderaan tanpa insurans ini melanggar seseorang? Mangsa boleh menangis puas-puas kerana mereka tidak akan menerima walau satu sen pampasan.
Tetapi jangan risau, kerajaan pasti akan mengeluarkan kenyataan rasmi berbunyi, “Kami akan mengkaji perkara ini,” dan selepas itu… SENYAP.
Sebab itu plat kenderaan tahunan perlu diwajibkan, bukan sekadar untuk memudahkan penguatkuasaan, tetapi untuk menyekat terus mentaliti haprak yang gemar mengambil kesempatan ke atas sistem yang longgar.

Tanpa plat terkini, mereka tidak boleh lagi bersembunyi di sebalik kelemahan sistem digital yang menjadi lubuk emas buat mereka mengelak tanggungjawab.
Tiada plat, tiada jalan. Titik. Mungkin, kerajaan masih mahu menunggu sehingga tragedi berskala nasional berlaku sebelum mereka bertindak.
Mungkin juga perlu ada kemalangan besar, penuh dengan darah dan tangisan, agar mereka akhirnya tersentak dari lena birokrasi badut?
Atau adakah kita perlu tunggu sehingga seorang “VIP” sendiri dirempuh oleh kenderaan tanpa insurans, barulah kita akan melihat perubahan?
Jadi, terpulanglah kepada JPJ dan Kementerian Pengangkutan. Mahu bertindak sekarang, atau tunggu sehingga kegagalan ini menjadi tajuk utama berita dan rakyat bangkit menuntut jawapan? - DagangNews.com








